PM Belgium akui kekalahan partinya dalam pilihan raya

10/06/2024

MOSCOW, 10 Jun. - Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, berkata parti Open Flemish Liberals and Democrats (Open Vld) yang dipimpinnya telah kalah dalam pilihan raya parlimen persekutuan dan serantau serta menggesa agar kerajaan baharu dibentuk secepat mungkin, lapor Sputnik.

“Ini adalah malam yang sangat sukar bagi kami. Kami telah kalah dalam pilihan raya ini. Ini bukan keputusan yang kami jangkakan.

“Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Saya akan menumpukan perhatian kepada urusan semasa sehingga pengganti saya dilantik," kata De Croo pada persidangan di Brussels pada Ahad.

Pemimpin parti Open Vld, Tom Ongena berkata parti itu tidak merancang untuk menyertai pembentukan kerajaan masa depan dan akan menjadi pembangkang.

Parti nasionalis Flemish, Vlaams Belang dan New Flemish Alliance sedang mendahului dalam pilihan raya parlimen persekutuan Belgium dan masing-masing akan menerima 20 dan 24 kerusi dalam dewan perundangan yang mempunyai 150 kerusi. Open Vld hanya akan menerima 7 kerusi. - ©BERNAMA



Attachments