Kerjasama China-Australia boleh merentasi Pasifik, atasi perbezaan - PM China

16/06/2024

ADELAIDE, Australia, 16 Jun. - Perdana Menteri China, Li Qiang berkata pada Ahad bahawa selagi kedua-dua pihak saling menghargai, kerjasama antara China dan Australia boleh merentasi Lautan Pasifik, mengatasi perbezaan dan mencapai kejayaan bersama, lapor Xinhua.

Beliau membuat kenyataan itu ketika melawat Zoo Adelaide bagi kerjasama China-Australia dalam perlindungan dan penyelidikan panda.

Beliau diiringi Gabenor Australia Selatan Frances Adamson, Ketua Menteri Australia Selatan Peter Malinauskas, Menteri Luar Negeri Australia Penny Wong dan Menteri Perdagangan dan Pelancongan Don Farrell.

Zoo Adelaide, satu-satunya zoo Australia yang menempatkan sepasang panda gergasi, Wang Wang dan Fu Ni di Hemisfera Selatan.

Li berpuas hati dengan kesejahteraan mereka di Australia, sambil menyoroti peranan panda gergasi itu sebagai duta persahabatan antara kedua-dua negara.

Li turut menekankan bahawa usaha Kerajaan China dalam pemuliharaan panda gergasi telah mencapai kemajuan ketara, menyumbang secara positif kepada biodiversiti global dan perlindungan spesies terancam.

Mengenai kepulangan Wang Wang dan Fu Ni ke China berdasarkan perjanjian dua hala, Li menyatakan kesediaan China untuk meneruskan kerjasama dengan Australia dalam perlindungan dan penyelidikan panda.

Beliau turut berharap agar Australia akan kekal sebagai persekitaran yang mesra untuk panda gergasi. -©BERNAMA



Attachments