Penunjuk perasaan di seluruh Perancis bantah parti kanan

16/06/2024

PARIS, 16 Jun. - Sejumlah 250,000 orang turun ke jalan-jalan di seluruh Perancis pada Sabtu untuk membantah kebangkitan parti berhaluan kanan, menurut pihak polis.

Konfederasi Umum Buruh (CGT) menganggarkan kira-kira 640,000 penunjuk perasaan menyertai 150 perhimpunan di seluruh negara, lapor Xinhua.

Sementara itu, sembilan orang ditahan di luar perarakan di Paris, manakala tiga pegawai polis cedera ringan.

Ketua La France Insoumise (LFI),  Mathilde Panot menyeru pengundi melaksanakan tanggungjawab dalam pilihan raya legislatif.

“Pilihan raya akan berlangsung pada 30 Jun dan 7 Julai," katanya.

Bekas Presiden Perancis, Francois Hollande berkata bahawa beliau akan bertanding dalam pilihan raya legislatif sebagai calon di Correze.

“Jika saya membuat keputusan ini, ia kerana saya merasakan bahawa keadaan adalah serius, lebih teruk daripada yang pernah berlaku...," katanya kepada media di Tulle.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan pada Ahad lalu pembubaran Parlimen, berikutan kekalahan partinya dalam pilihan raya Parlimen Eropah 2024. -©BERNAMA



Attachments