Euro 2024 : Sepanyol atasi Croatia, Itali tewaskan Albania

16/06/2024

BERLIN, 16 Jun. - Sepanyol memastikan permulaan sempurna dalam Euro 2024 selepas menewaskan Croatia dengan tiga gol manakala Itali bangkit menewaskan Albania 2-1 dalam Kumpulan B pada Sabtu.

Tiga gol separuh masa pertama dijaringkan Alvaro Morata, Fabian Ruiz dan Daniel Carvajal membolehkan Sepanyol memulakan kempen Euro 2024 mereka dengan cemerlang dalam Kumpulan B manakala Croatia tidak memberi ancaman kepada pertahanan Sepanyol sepanjang 90 minit berlangsung.

Sepanyol memecah kebuntuan pada minit ke-30 apabila hantaran Ruiz menemui Morata, dan melepasi penjaga gol Dominik Livakovic. Pasukan Luis de la Fuente segera menjaringkan gol kedua hanya tiga minit kemudian apabila Ruiz menjaringkan rembatan rendah ke sudut kanan.

Croatia ketinggalan 3-0 pada akhir separuh masa pertama selepas Carvajal menyudahkan hantaran daripada Lamine Yamal, yang menjadi pemain termuda pernah muncul dalam kejohanan pada usia 16 tahun dan 338 hari. Croatia hampir menjaringkan gol namun rembatan berbahaya Josip Stanisic berjaya disekat pihak lawan manakala Simon menyelamatkan tandukan Andrej Kramaric.

Dalam perlawanan lain Kumpulan B, Itali bangkit dari ketinggalan 1-0 apabila Alessandro Bastoni membatalkan gol pembukaan Nedim Bajrami sebelum gol kemenangan Nicolo Barella 2-1 memastikan Itali meraih tiga mata penuh. - ©BERNAMA



Attachments