ADD KE-7 : Malaysia sertai 15 negara dalam rundingan pasaran buruh berasaskan teknologi

12/02/2024

DUBAI, 12 Feb. - Wakil Kementerian Sumber Manusia Malaysia adalah antara peserta dari 15 negara Asia dalam mesyuarat Perundingan Menteri Dialog Abu Dhabi (ADD) ke-7, yang diadakan sebagai sebahagian daripada World Government Summit 2024 (WGS 2024) di sini pada Ahad.

 

Dialog itu memberi tumpuan kepada memanfaatkan teknologi canggih untuk inisiatif inovatif yang bertujuan mengawal selia pasaran buruh dan meningkatkan perlindungan pekerja.

 

Dalam edisi ADD kali ini, sembilan negara yang mengambil bahagian, termasuk Bangladesh, India, Indonesia, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam, dikenali kerana menghantar pekerja ke luar negara.

 

Sebaliknya, tujuh negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Malaysia merupakan destinasi bagi pekerja-pekerja ini mendapatkan pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

 

Menteri Sumber Manusia UAE Dr Abdulrahman Al Awar menyatakan kepentingan ADD sebagai platform penting yang memberi tumpuan kepada mobiliti buruh di rantau berkenaan.

 

Beliau menekankan peranan mesyuarat itu dalam menangani cabaran masa depan dalam pasaran buruh di seluruh Asia-Pasifik.

 

"Pasaran buruh sedang mengalami transformasi ekonomi dan sosial yang besar, bersama-sama dengan perubahan struktur yang meluas yang mempengaruhi sifat kerja dan jenis perniagaan, pekerjaan, dan kemahiran yang diperlukan untuk mengekalkan tahap transformasi global, terutamanya perubahan radikal yang mempengaruhi aspek teras pembangunan ekonomi.

 

“Ini telah membawa kepada cabaran baru dalam pasaran buruh, memerlukan dasar-dasar yang selari dengan sifat transformasi penting ini," katanya yang dipetik Agensi Berita Emirates (WAM).

 

Al Awar seterusnya menekankan kepentingan ADD dalam mengukuhkan perkongsian dan menggariskan keutamaan masa depan untuk kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota.

 

“UAE komited untuk membentuk perkongsian melalui Dialog Abu Dhabi dan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk memajukan perlindungan dan keadilan sosial," katanya.

 

Semasa ADD, empat sesi diadakan yang memberi tumpuan kepada peranan teknologi dalam pengawalseliaan pasaran buruh, antara lain bagaimana teknologi dapat membantu menyelesaikan pertikaian dan mengurus perkhidmatan perbankan bagi majikan.

 

Sesi lain juga meneroka penggunaan teknologi untuk meningkatkan perlindungan gaji dan maklumat kesihatan untuk pekerja, meningkatkan mobiliti kemahiran di antara negara-negara selain membangunkan perkongsian untuk memenuhi keperluan pasaran buruh yang berubah, serta mempromosikan kesamarataan jantina dalam dasar pekerjaan, terutamanya dalam bidang teknologi dan memastikan layanan yang adil untuk pekerja wanita. - ©BERNAMA



Attachments