Cuti persekolahan dimanfaatkan untuk program berkhatan beramai-ramai

11/02/2024

 

KUCHING, 11 Feb. - Golongan ibu bapa memanfaatkan cuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang turut jatuh pada musim cuti persekolahan untuk menyertai program berkhatan beramai-ramai untuk anak mereka, di bandar raya ini.

Hari ini, seramai 70 orang kanak-kanak menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anak daripada keluarga kurang berkemampuan B40 kawasan Satok secara percuma, anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata majlis itu, bertujuan membantu anak-anak B40 yang kurang berkemampuan membiayai kos bersunat dan rawatan selepas bersunat.

"Apabila saya diberitahu ada kanak-kanak yang belum bersunat pada umur 15 tahun, saya pun bertanya dan mendapati mereka sengaja lambatkan proses bersunat, kerana kosnya mencecah RM300… dahulu bersunat ini percuma," katanya ketika berucap di majlis itu di Dewan Anak Seni Kampung Bandarsah, hari ini.

Ibrahim berkata program tersebut, turut mendapat kerjasama daripada Biro Kebajikan dan Persatuan Penolong Perubatan Cawangan Kuching.

Dalam pada itu, seramai 21 kanak-kanak menyertai majlis Sunathon Perdana Taman Sukma 2024, di Masjid Ikhwanul Islam melibatkan kawasan Samariang.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang juga merupakan ADUN Samariang. - ©BERNAMA

​ 


Attachments