Pemilihan Presiden Finland saksikan pertembungan antara Stubb dan Haavisto

11/02/2024

HELSINKI, 11 Feb. - Bekas perdana menteri Alexander Stubb dan bekas menteri luar Pekka Haavisto akan bersaing dalam pilihan raya penentu pada Ahad bagi menentukan siapa yang akan menjadi Presiden Finland, selepas tiada calon memperoleh undi yang mencukupi pada pusingan pertama.

Pusingan pertama telah diadakan pada dua minggu lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). Pusat mengundi akan dibuka dari 9 pagi hingga 8 malam waktu tempatan (0800-1900 GMT) dengan keputusan awal dijangka diketahui pada petang Ahad. Stubb, seorang konservatif dan Haavisto dari Greens memperoleh undi terbanyak daripada sembilan calon pada pusingan pertama.

Calon presiden yang bakal dipilih akan memulakan tugas pada awal Mac bagi menggantikan Presiden Sauli Niinisto yang telah tamat dua penggal selama enam tahun dan tidak dibenarkan untuk bertanding semula. - ©BERNAMA



Attachments