ABUJA, 9 Ogos. - Nigeria pada Selasa mengumumkan sekatan ke atas organisasi, kumpulan dan individu yang dikenal pasti menyokong junta tentera di Niger yang kini dilanda krisis, lapor Xinhua.
Ajuri Ngelale, jurucakap Presiden Nigeria Bola Tinubu, memberitahu pemberita bahawa langkah itu dibuat berdasarkan konsensus sedia ada pemimpin Afrika Barat mengenai kebuntuan di Niger.
Presiden Nigeria, yang juga pengerusi semasa bagi pihak berkuasa ketua-ketua negara dan kerajaan 15 anggota Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), mengarahkan sekatan membabitkan bank pusat Nigeria, dikenakan terhadap kumpulan dan individu yang terlibat dalam rampasan kuasa di Niger, kata Ngelale.
Lebih seminggu yang lalu, blok serantau bersetuju untuk mengenakan sekatan ke atas pemimpin tentera Niger yang terlibat dalam rampasan kuasa baru-baru ini, menyatakan bahawa junta tentera di Niger mesti menyerahkan kuasa dalam tempoh seminggu dan segera membebaskan semula presiden terpilih negara itu, Mohamed Bazoum, atau ECOWAS akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memulihkan ketertiban perlembagaan, termasuk menggunakan kekerasan.
Pemimpin ECOWAS juga bersetuju untuk mengenakan sekatan kewangan dan perjalanan ke atas pemimpin tentera Niger yang terlibat dalam rampasan kuasa serta mewujudkan zon larangan berlepas ke atas negara itu. Mereka memutuskan untuk membekukan aset Niger di bank pusat dan komersial negara ECOWAS.
Ngelale berkata keputusan akan dibuat pada sidang kemuncak ECOWAS pada Khamis mengenai langkah yang akan diambil seterusnya blok itu. - ©BERNAMA