Singapura buka kedutaan di Dili, Timor-Leste

25/07/2023

SINGAPURA, 25 Julai. - Singapura akan membuka kedutaan di Dili, Timor-Leste, umum Menteri Hal Ehwal Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan pada Isnin.

“Ini merupakan satu peristiwa penting yang akan menjadi titik fokus dalam kerjasama dua hala kami dengan Timor-Leste," kata Balakrishnan. Balakrishnan kini berada di Timor-Leste untuk lawatan rasmi lima hari sejak Ahad (23 Julai).

Pengumuman itu dibuat pada sidang media bersama Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito Dos Santos Freitas. Transkrip itu muatkan dalam laman sesawang Kementerian Luar Singapura.

Balakrishnan berkata ketika Timor-Leste terus membangun sebagai sebuah negara, terutama penyertaannya dalam ASEAN, beliau percaya "inilah masa untuk menubuhkan sebuah kedutaan untuk menjadi titik tumpuan dalam kerjasama kami, untuk sokongan kami dan untuk penerokaan peluang bersama pada masa hadapan."

Menteri itu berkata Singapura akan menempatkan duta pemastautin, tetapi buat masa ini, Robin Hu berkhidmat sebagai Duta Bukan Pemastautin.

Singapura merupakan rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Timor-Leste pada 2021. Republik itu juga merupakan pelabur asing utama di Timor-Leste. - ©BERNAMA



Attachments