ESTCON 2022 buka peluang untuk penyelesaian peralihan tenaga, masa depan mampan

01/12/2022


KUCHING, 1 Dis. - Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2022 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini akan memberi laluan kepada pakar dalam mencari penyelesaian berkaitan peralihan dan perubahan tenaga dalam memelihara masa depan yang mampan di peringkat global.


Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata hasil daripada kongres itu juga menyumbang dalam mempersiapkan negeri ke arah pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).


“ESTCON 2022 ialah platform untuk pakar pelbagai bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan membincangkan cabaran dan penyelesaian berkaitan tenaga masa depan dan membangun komuniti pintar.


“Dasar negeri menuju ke arah kelestarian alam sekitar dan tenaga hijau, jadi kita berada dalam hala tuju yang betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ESTCON 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.


Bertemakan 'Tenaga Masa Depan dan Komuniti Pintar', yang selaras dengan inisiatif peralihan tenaga Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE), ESTCON 2022 ialah acara utama Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan lapan persidangan antarabangsa diadakan serentak.


Sementara itu, Naib Canselor UTP dan Pengerusi ESTCON 2022 Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib ketika berucap berkata kongres itu menarik kehadiran kira-kira 800 peserta dan delegasi dari 17 negara termasuk ahli akademik, penyelidik, saintis, jurutera dan pakar industri.


“Dengan membina jambatan antara penyelidik, ahli akademik dan industri, dan menghubungkan minda inovatif merentas disiplin, kami berharap ESTCON 2022 akan menyediakan platform yang memberi inspirasi dan inovasi untuk bertukar dan membangunkan pengetahuan yang akan membawa kepada kerjasama berkekalan," katanya.


Kongres itu disokong antaranya oleh Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Akademi Sains Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia dan Lembaga Teknologis Malaysia, dengan Petronas sebagai rakan utama.


ESTCON 2022 menampilkan dua penceramah terkemuka, penceramah pleno dan ahli forum yang akan berkongsi kepakaran mereka, termasuk trend dan isu mengenai peralihan tenaga dan komuniti pintar daripada perspektif global.


Sepanjang dua hari itu, peserta juga akan terlibat dalam perbincangan pada forum The Role of Hydrogen Economy in Tackling the Energy Trilemma, The Impact of the Energy Transition on Petroleum Engineering and Geoscience Graduates dan Powering Circular Economy and Smart Cities Through Blockchain Technology.-©BERNAMA