Pertandingan kemahiran laluan kereta api China-Laos julung kali diadakan

24/11/2022


VIENTIANE, 24 Nov. - Pertandingan kemahiran vokasional pekerja seksyen Boten-Vientiane laluan kereta api China-Laos diadakan buat julung kalinya di lapangan Stesen Kereta Api Vientiane, Laos pada Selasa.

 

Pertandingan selama tiga hari itu bertujuan berkongsi pengalaman, meningkatkan kemahiran para pekerja serta memilih dan memupuk pekerja mahir dalam sektor kereta api untuk Laos.

 

Sejak landasan kereta api China-Laos beroperasi secara rasmi, syarikat Laos-China Railway aktif merekrut pekerja domestik, menawarkan kursus latihan bagi menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai cara pemanduan kereta api, memeriksa dan membaik pulih tren serta mengaturkan jadual perjalanan perkhidmatan tren.

 

Usaha itu bertujuan memupuk sejumlah besar pekerja mahir dalam sektor kereta api untuk Laos yang turut menjadi praktik sebenar dalam pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi.

 

Untuk rekod, pertandingan kali ini melibatkan 17 acara dalam lima kategori yang merangkumi memandu kereta api, perkhidmatan penumpang, pengangkutan kargo, lokomotif dan penyelenggaraan gerabak.

 

Seramai lebih 300 peserta termasuk pekerja dari China dan Laos menyertai pertandingan itu. Kemahiran yang dikuasai para peserta merupakan tahap vokasional tertinggi di seksyen Boten-Vientiane landasan kereta api China-Laos.

 

Pertandingan yang melibatkan pemeriksaan teori dan pengendalian secara praktikal itu diadakan di lima pusat pertandingan iaitu Stesen Vientiane, Stesen Vientiane Selatan, Stesen Vang Vieng, Stesen Luang Prabang dan Stesen Boten. - ©BERNAMA



Attachments