KUALA LUMPUR, 24 Nov. - Gandingan Jellson Jabillin-Enrique Maccartney Harold optimis mampu memberi impak menerusi acara 10 meter (m) platform seirama lelaki, di Grand Prix Terjun FINA 2022 walaupun tidak berada dalam situasi terbaik.
Jellson, 21, menyatakan keyakinan terhadap kemampuan dirinya apabila telah menjalani latihan tanpa 'mengelat', bagi memastikan tahap prestasinya cemerlang untuk beraksi di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bermula esok hingga Ahad (27 Nov).
Beliau bagaimanapun tidak berani meletakkan sasaran tinggi apabila aksi di laman sendiri itu menjadi penampilan sulung mereka bergandingan, dan berharap mampu mencari rentak keserasian untuk beraksi di pentas berprestij pada tahun hadapan.
“Saya punya lutut kiri koyak patellar tendon seminggu sebelum ke Sukan Komanwel pada Ogos lepas, dan ketika ini lutut saya hanya baik sekitar 75 peratus. Namun, saya masih meneruskan perjuangan untuk berada dalam latihan, kerana akan rasa rugi sekiranya tidak sertai kejohanan ini.
“Ini penampilan kali pertama dengan Enrique jadi sudah semestinya rasa teruja, namun kami tidak mahu sasarkan terlalu tinggi kerana beliau (Enrique) juga baru pulih daripada pembedahan lutut kiri," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA ke-31 itu memaklumkan, beliau akan mengambil bahagian dalam dua acara 10m platform individu dan 10m platform seirama lelaki bersama pasangannya, Enrique Maccartney.
Sementara itu, penerjun muda Enrique Maccartney berkongsi perasaan teruja untuk beraksi dalam kejohanan tersebut, walaupun menyedari akan mengambil risiko besar apabila lutut kirinya belum pulih sepenuhnya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) sudah memberikan kebenaran untuk beraksi dalam kejohanan Grand Prix Terjun FINA 2022, kira-kira dua minggu lepas.
“Sebelum ini saya ada ketumbuhan di lutut kiri, dan sudah menjalani pembedahan. ISN sudah memberi kebenaran untuk teruskan kerjaya dalam sukan terjun dua minggu lepas. Macam sekarang sudah tidak terlalu sakit di mana saya rasa sudah 80 peratus bersedia untuk kembali beraksi.
“Memang gemuruh untuk penampilan kali pertama dengan Jellson, kerana sebelum ini saya sering terjun bersama Bernard Rhodict. Namun saya yakin latihan kami selama sebulan ini akan membuahkan hasil walaupun agak sukar untuk letak sasaran tinggi," katanya. - ©BERNAMA