Justin tetap kekalkan rutin jalani latihan awal pagi

23/11/2022

KUALA LUMPUR, 23 Nov. - Walaupun mula menjalani latihan bersama skuad senior kebangsaan, pemain perseorangan lelaki meningkat naik, Justin Hoh, tetap mengekalkan rutin latihan diamalkannya ketika bersama pasukan junior sebelum ini.

 

Pemain muda itu berkata beliau masih bangun seawal 4 pagi bagi menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, biarpun sesi bersama skuad senior bermula 6.30 pagi.

 

“Saya telah biasa bangun 4 pagi ketika berlatih di bawah Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek.

“Walaupun ada ekstra dua jam, saya gunakan waktu tersebut untuk buat latihan ekstra sebelum mula berlatih dengan skuad senior pada pukul 6.30 pagi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

 

Beliau pada masa sama mengakui intensiti sesi latihan bersama skuad senior sangat tinggi dan sukar, namun tetap gembira dapat menimba pengalaman sedemikian.

 

Pemain berusia 18 tahun itu berharap dapat memperagakan aksi terbaik pada kejohanan Malaysia International Challenge 2022 di Perak, pada 13 hingga 18 Dis selepas kecewa gagal menyinar pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, bulan lepas.

 

“Kejohanan Malaysia International Challenge adalah kejohanan senior, jadi banyak juga pemain ranking tinggi sertai pertandingan ini. Saya hanya mahu lakukan yang terbaik dan berharap dapat mengumpul pengalaman," katanya.

 

Biarpun tersingkir awal pada pusingan 16 terbaik di Kejohanan Remaja Dunia 2022, Justin tetap mencatat pencapaian membanggakan dengan merangkul tiga gelaran iaitu Bonn International 2022 di Jerman, Terbuka Croatia dan India Junior International Series 2022.- ©BERNAMA

 


Attachments