Pakistan senarai pendek calon jawatan Ketua Tentera

23/11/2022

NEW DELHI, 23 Nov. - Pakistan telah menyenarai pendek enam jeneral kanan bagi menggantikan Panglima Tentera Darat (COAS) Jeneral Qamar Javed Bajwa.

 

Ibu Pejabat Am (GHQ) tentera Pakistan yang berpangkalan di Rawalpindi menghantar enam nama leftenan jeneral kepada Kementerian Pertahanan untuk membuat dua pemilihan penting iaitu ketua tentera dan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Turus Bersama (CJCSC), menurut Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) tentera.

 

"Pejabat PM telah menerima senarai nama daripada Kementerian Pertahanan bagi pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Panglima Turus dan Panglima Tentera Darat.

 

“Perdana Menteri akan membuat keputusan mengenai pelantikan seperti yang ditetapkan prosedur," menurut pejabat Perdana Menteri Shehbaz Sharif menerusi ciapannya.

 

ISPR tidak menyenaraikan nama-nama berkenaan, tetapi media Pakistan membuat spekulasi selama berbulan-bulan mengenai beberapa calon yang berpotensi termasuk jeneral quartermaster tentera dan bekas ketua perisikan, Asim Munir, komander Kor Rawalpindi, Sahir Shamshad, ketua kakitangan am tentera, Azhar Abbas, ketua Universiti Pertahanan Nasional, Nauman Mahmood, bekas ketua perisikan dan komander daripada Kor Bahawalpur, Faiz Hameed, dan komander Kor Gujranwala Mohammad Amir.

 

Bajwa akan bersara pada 29 November ini selepas memegang jawatan itu selama enam tahun.

 

Tempoh jawatan ketua tentera adalah selama tiga tahun, tetapi tempoh Bajwa dilanjutkan tiga tahun lagi oleh kerajaan Imran Khan sebelum ini pada 2019.



Attachments