Menteri Pertahanan China adakan rundingan dengan Setiausaha Pertahanan AS di Phnom Penh

23/11/2022

PHNOM PENH, 23 Nov. - China menyifatkan hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai amat penting dan berharap AS menghormati kepentingan teras China, demikian kata Menteri Pertahanan China Jeneral Wei Fenghe.

 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan rundingan dengan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin di luar Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) di sini, pada Selasa.

 

Wei berkata Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Joe Biden mengadakan rundingan pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) ke-17 dan mencapai siri konsensus penting bagi menggariskan hala tuju perkembangan hubungan kedua-dua negara.

 

"China bersikap ikhlas terhadap perkembangan hubungan antara kedua-dua negara dan ketenteraan kedua-dua pihak.

 

"Namun, prasyaratnya adalah AS perlu mengotakan janjinya, bersungguh-sungguh melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara dan mengamalkan dasar yang rasional dan substantif terhadap China untuk menghapuskan penyebab yang mengakibatkan krisis bagi mendorong hubungan bilateral kembali ke landasan sihat dan mantap," kata Wei.

 

Dalam rundingan itu, beliau juga menegaskan pendirian teguh China dalam isu Taiwan.

 

"Isu Taiwan yang merupakan teras utama kepentingan China...Taiwan berada di dalam China, penyelesaian isu Taiwan di bawah urusan rakyat China dan sebarang kuasa luar tidak berhak untuk campur tangan.

 

"Angkatan tentera China mempunyai semangat, keazaman, keyakinan dan keupayaan untuk memelihara dengan tegas penyatuan semula negara," kata beliau.

 

Kedua-dua pihak sepakat untuk melaksanakan dengan bersungguh-sungguh konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengekalkan komunikasi, mempergiat usaha bagi menyelesaikan pertentangan dan perselisihan, mengawal krisis di samping memelihara kestabilan hubungan tentera kedua-dua negara.

 

Selain itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi antarabangsa dan serantau yang meliputi krisis Ukraine, Laut China Selatan dan isu Semenanjung Korea. - ©BERNAMA



Attachments