Lebih 300 satelit infrastruktur angkasa lepas China berada di Orbit

22/11/2022

HAIKOU, 22 Nov. - Lebih 300 satelit infrastruktur angkasa lepas China dalam bidang kini berada di orbit dan beroperasi dengan lancar serta stabil dan jumah itu sekali gus menjadikan negara menduduki tangga kedua di dunia.

Perkara itu didedahkan Bengkel Perkongsian Global mengenai Penerokaan dan Inovasi Angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan China kali kedua yang dianjurkan bersama Jabatan Pentadbiran Angkasa Lepas China (CNSA), kerajaan provinsi Hainan dan Pejabat PBB untuk Urusan Angkasa (UNOOSA) yang dirasmikan di sini, pada Isnin.

China telah membentuk sistem infrastruktur angkasa lepas kebangsaan angkasa-Bumi yang berteraskan teknologi satelit komunikasi, pandu arah dan penderiaan jauh yang turut melakar pencapaian penting dalam bidang terbabit.

Menurut Pengarah Pusat Sistem Pemerhatian Bumi dan Data CNSA, Zhao Jian berkata terdapat 200 satelit China dalam bidang penderiaan jauh sedang mengorbit Bumi sekali gus menjadikan China antara beberapa negara peneraju dalam bidang tersebut di dunia.

"CNSA melancarkan secara rasmi platform perkhidmatan data dan aplikasi penderiaan jauh kebangsaan untuk menggalakkan pembinaan dan penggunaan bersama serta perkongsian sumber data satelit penderiaan jauh," kata Zhao.

Untuk rekod, platform tersebut menghimpunkan sumber data dari lebih 30 buah satelit yang meliputi satelit resolusi tinggi, satelit penyelidikan saintifik aeroangkasa sivil, satelit kerjasama antarabangsa, satelit meteorologi dan satelit lautan.

Turut difahamkan ia juga digunakan untuk berkongsi produk maklumat seluruh negara dalam tempoh sedekad dan sebanyak lebih 10,000 hasil penyelidikan termasuk platform edisi antarabangsa terbuka kepada negara lain.

Menurut Zhao, 70 peratus negara dan wilayah yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menghadapi kekurangan dalam bidang sumber data dan amat memerlukan sokongan berkenaan.

"Dengan adanya infrastruktur angkasa lepas China yang moden, data imej di serata dunia dapat diperoleh secara mudah dengan satelit yang mengorbit Bumi.

"Data angkasa lepas itu dapat digunakan untuk membantu pembangunan negara dan wilayah yang terlibat dalam BRI," kata beliau.-©BERNAMA



Attachments