CDB beri pinjaman US$50.6 BLN kepada ASEAN

22/11/2022

BEIJING, 22 Nov (Bernama) -- Bank Pembangunan China (CDB) merekodkan pemberian pinjaman sebanyak US$50.6 bilion (RM232 bilion) kepada negara-negara ASEAN untuk menyokong 353 projek setakat Oktober lalu.

Antaranya, US$6.5 bilion (RM30 bilion) pinjaman dikeluarkan melalui kerjasama CDB dengan bank anggota di bawah rangka perbankan China-ASEAN.

Siri kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN telah dilancarkan di pelbagai tempat dengan adanya penyertaan dan sokongan CDB.

Baru-baru ini, lebuh raya Phnom Penh-Pelabuhan Sihanoukville di Kemboja siap dibina dan beroperasi sekali gus menandakan negara itu memasuki zaman lebuh raya secara rasmi.

Projek itu menerima sokongan pinjaman yang diketuai CDB manakala pelaburan, pembinaan dan pengoperasian pula berada di bawah tanggungjawab syarikat China.

Lebuh raya sepanjang 187 kilometer itu akan merentasi lima buah provinsi dan bandar serta mengurangkan masa perjalanan kenderaan dari Phnom Penh ke pelabuhan Sihanoukville dari lebih lima jam kepada dua jam sahaja.

Di Thailand pula, CDB mengetuai kumpulan bank antarabangsa dengan mengumpul dana untuk menyokong projek paip minyak di kawasan timur laut negara itu.

Difahamkan, projek infrastruktur sumber tenaga di Thailand yang pertama disokong oleh CDB itu setakat Julai lalu sudah menyesaikan pemasangan mesin dan memasuki fasa penyahpepijatan.

CDB akan terus komited kepada usaha membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat dengan mengambil pelbagai langkah termasuk meningkatkan pinjaminan kepada projek hijau, meneroka kewangan untuk keuntungan semua, merancakkan inovasi sains dan teknologi selain meneruskan kerjasama dengan anggota perbankan China-ASEAN.

Di samping itu, CDB juga akan menjalankan kerjasama pasaran pihak ketiga untuk bersama-sama menyediakan perkbidmatan kawangan yang lebih berkualiti dan efisien kepada pembangunan sosioekonomi serantau.-©BERNAMA



Attachments