Korea Selatan, AS sepakat wujudkan laluan hijau kapal kargo Busan

22/11/2022

SEOUL, 22 Nov.- Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju mewujudkan laluan hijau kapal kargo yang menghubungkan pelabuhan Busan Korea Selatan dengan pelabuhan Tacoma AS.

Menurut Kementerian Laut dan Perikanan pada Selasa kesepakatan itu antara lain bertujuan untuk mencapai neutraliti karbon maritim.

Perjanjian itu ditandatangani duta iklim Seoul Na Kyung-won dan utusan iklim AS John Kerry awal bulan ini di luar Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 atau COP27 yang diadakan di Mesir, lapor Yonhap.

Pada tahun ini juga kemungkinan Seoul dan Washington akan melancarkan kajian mengenai laluan Busan-Tacoma dengan perkhidmatan kapal sifar bahan buangan selaras dengan inisiatif global untuk menyahkarbon industri perkapalan menjelang 2050.

Korea Selatan juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Institut Pertumbuhan Hijau Global untuk bersama-sama menggalakkan pelbagai projek ke arah pelaksanaan matlamat pengurangan bahan buangan. -©BERNAMA



Attachments