JOHANNESBURG, 13 Ogos. - Pejabat Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Afrika Selatan di Germiston, Ekurhuleni, terbakar pada Selasa pagi, lapor Xinhua.
Majlis Perbandaran Ekurhuleni memaklumkan kebakaran tercetus ketika pegawai menjalankan operasi pengusiran di rumah kos rendah berhampiran yang dilaporkan diduduki secara haram.
Perkhidmatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Ekurhuleni berjaya mengawal kebakaran di tingkat dua bangunan dua tingkat itu dan memadamkannya sebelum merebak.
"Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke kawasan berkunci untuk memastikan premis selamat. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini," kata Ketua Komunikasi, Pemasaran dan Pelancongan Majlis Perbandaran Ekurhuleni, Phakamile Mbengashe.
Beliau berkata punca kebakaran masih belum dikenal pasti, namun perbuatan khianat disyaki menjadi puncanya, dan siasatan penuh akan dijalankan sebaik api dipadamkan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Leon Schreiber kemudian mengesahkan kejadian itu di platform media sosial X.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan polis untuk mengumpul bukti bagi memastikan penangkapan dan pendakwaan suspek. - ©BERNAMA