AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

10/04/2017

DALAM era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejarunsur kemewahan agar dapat menjalani kehidupan dengan penuh kesenangan dan keselesaan namun tanpa disedari ada kalangan mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi yang menjadi salah satu cara untuk mempraktikkan gaya hidup sihat. Aktiviti riadah dan rekreasi ini merupakan salah satu kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran. Alhamdulillah, aktiviti beriadah di negara kita semakin banyak dianjurkan oleh berbagai-bagai pihak dalam menggalakkan rakyat dan penduduk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Tidak kurang juga terdapat juga pusat-pusat kecergasan fizikal dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan untuk memberikan pilihan kepada masyarakat untuk memilih aktiviti mana yang mereka sukai.


Oleh yang demikian, kita perlulah mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur. Aktiviti seumpama ini boleh menyihatkan tubuh badan serta dapat menghindari daripada berbagai-bagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Di samping itu, aktiviti beriadah dan berekreasi amat penting agar badan kita sihat dan otak juga cerdas. Oleh itu, kita hendaklah menjadikan aktiviti tersebut sebagai agenda harian agar kesihatan badan dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Dalam Islam juga turut meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Sekiranya kita mengalami masalah kesihatan bermakna segala urusan ibadat juga turut terganggu. Perkara ini sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud : “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).”

Oleh itu, kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah dengan menyediakan perisai pencegahan seawalnya. Namun apabila diserang penyakit, kita terpaksa juga berikhtiar untuk menyembuhkannya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang. Dengan yang demikian, amatlah jelas seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati. Kita juga disarankan berubat apabila ditimpa penyakit tanpa mengambil sikap membiarkannya. Namun harus diingat juga bahawa jangan sesekali berubat dengan benda yang diharamkan agama. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud : “Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”

Oleh yang demikian, cara terbaik bagi menghindari penyakit dan mengekalkan kesihatan tubuh badan adalah dengan melakukan aktiviti riadah dan rekreasi. Di samping menyihatkan badan aktiviti riadah juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh itu, ia bolehlah dijadikan sebagai amalan mingguan keluarga dan mengisi masa lapang contohnya berbasikal bersama-sama, berjoging di kawasan taman dan sebagainya.

Aktiviti riadah bersama keluarga juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Di sinilah para ibu bapa boleh menggunakan masa ini untuk lebih banyak berinteraksi bersama anak-anak bagi menyampaikan nilai murni yang baik dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung ia dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Oleh yang demikian, lakukanlah sekerap mungkin kegiatan riadah dan rekreasi bagi menjadikan badan kita sihat dan cergas. 

- Ketua Penyuntingan (Rd).
Attachments