KEHIDUPAN
yang sihat dan sempurna adalah menjadi idaman setiap insan. Oleh yang
demikian, ke arah mencapai kehidupan yang sihat dan bagi memantapkan
kesihatan penduduk negara ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
melalui Kementerian Kesihatan akan terus berusaha menyediakan
berbagai-bagai program penjagaan kesihatan yang komprehensif, bertaraf
tinggi dan kos efektif dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek
pencegahan, penggalakkan, perawatan dan penyembuhan. Di samping itu,
kementerian telah melaksanakan rancangan-rancangan kemajuan yang telah
membolehkan rakyat dan penduduk negara ini menikmati tahap kesihatan
yang tinggi serta kualiti kehidupan yang meningkat.
Oleh
yang demikian, bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif
kepada orang ramai sebuah lagi pusat kesihatan baharu telah memulakan
perkhidmatannya pada 16 Mei baru-baru ini, yang dikenali sebagai Pusat
Kesihatan Berakas, terletak di Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak
Kanan. Pusat Kesihatan Berakas ini merupakan salah satu projek dalam
Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10. Pembinaan pusat kesihatan ini
menelan belanja BND14 juta di atas tapak seluas 4.45 hektar.
Pusat
Kesihatan Berakas ini menawarkan perkhidmatan kesihatan yang
komprehensif dengan penyepaduan perkhidmatan empat buah pusat atau
kemudahan kesihatan iaitu Pusat Kesihatan Berakas 'A', Pusat Kesihatan
Berakas 'B', Klinik Kesihatan Perpindahan Lambak Kanan dan Klinik
Kesihatan Sungai Hanching di mana inisiatif penyepaduan itu bertujuan
untuk mencapai salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan
iaitu untuk memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan melalui
penyepaduan perkhidmatan, kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.
Penyepaduan itu adalah dihasratkan untuk memberikan nilai tambah kepada
para pelanggan atau orang awam serta untuk mengurangkan pembaziran.
Pusat
Kesihatan Berakas dibina dengan berdasarkan tiga matlamat iaitu untuk
memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, menjadikan pusat itu
sebagai pusat kesihatan sehenti dan giat terlibat dengan kegiatan
kesihatan masyarakat setempat.
Ke
arah mencapai matlamat berkenaan, pemberian perkhidmatan di Pusat
Kesihatan Berakas akan dikendalikan secara berbeza dari pusat kesihatan
sebelumnya dan bukannya beroperasi seperti sedia kala.
Sebagai
permulaan, Pusat Kesihatan Berakas akan menyediakan
perkhidmatan-perkhidmatan teras iaitu Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
Asasi seperti Klinik Umum, Klinik Flu dan Klinik Penyakit Kronik,
Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak, Perkhidmatan Pergigian,
Perkhidmatan Klinik Mata, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Penjagaan
Pemakanan dan Perkhidmatan Pengambilan Darah.
Di
samping itu, pusat kesihatan ini juga akan memberikan perkhidmatan
tambahan yang sebelum ini tidak diberikan di pusat-pusat kesihatan yang
lain seperti Perkhidmatan Rehabilitasi, Perkhidmatan Kesejahteraan
Komuniti (Psikiatri), Perkhidmatan Klinik Cara Hidup Sihat, Perkhidmatan
Radiologi (X-Ray) dan Perkhidmatan Paramedik.
Dengan
terbinanya Pusat Kesihatan Berakas ini, ia sejajar dengan konsep 'One
Stop Health Care' atau Perkhidmatan Kesihatan di bawah satu bumbung yang
dihasratkan bagi meningkatkan perkhidmatan yang berkualiti dan efisien
serta keadaan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada
masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan tadahan pusat-pusat
kesihatan berkenaan.
Selain
itu, bagi memastikan pemberian perkhidmatan yang cemerlang dan selesa
kepada pelanggannya, Pusat Kesihatan Berakas dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan untuk para pesakit dan pengunjung termasuk surau, Bilik
Penyusuan Susu Ibu serta sekitar 200 petak tempat letak kereta untuk
orang ramai dan kakitangan.
Oleh
yang demikian, rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah menyedari
bahawa mereka seharusnya tidak bergantung dengan
perkhidmatan-perkhidmatan rawatan penjagaan kesihatan yang disediakan
oleh pihak kerajaan sahaja malah mereka seharusnya memberi komitmen
sepenuhnya kepada mengamalkan cara hidup yang sihat. Dengan mengamalkan
gaya hidup yang sihat InsyaaAllah rakyat dan penduduk di Negara Brunei
Darussalam akan menikmati kehidupan sepenuhnya dan hidup hingga umur tua
secara sihat dan mengekalkan kebolehan fizikal dan mental secara
maksima hingga akhir hayat, InsyaaAllah.
Ketua Penyuntingan (Rd)