JADIKAN AMALAN RUMAH TERBUKA ERAT SILATURAHIM

20/07/2015

RUMAH terbuka atau 'open house' sudah sinonim dalam masyarakat kita apabila menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri. Di sini tuan rumah akan menerima kunjungan kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di kediaman masing-masing bagi sama-sama memeriahkan Aidilfitri, di samping berkongsi kegembiraan. Mengadakan rumah terbuka pada hari lebaran ini tidak semestinya secara besar-besaran tetapi apa yang penting adalah untuk memuliakan hari tersebut. Melalui rumah terbuka ini juga peluang bagi mengeratkan silaturahim dan bermaaf-maafan dengan sanak saudara serta rakan taulan.

Bagaimanapun, konsep rumah terbuka ini serba sedikit mengalami perubahan, walaupun hakikatnya pada Aidilfitri ini semua pintu rumah sepatutnya terbuka kepada kunjungan tetamu namun kebanyakannya pada masa ini, tuan rumah akan menetapkan hari untuk menerima kunjungan tetamu. Perkara ini mungkin disebabkan tuan rumah mempunyai komitmen pada hari tertentu dan pada hari yang ditetapkan itu, tuan rumah akan berada di rumahnya sepanjang hari untuk menerima tetamu.

Selain itu, semasa rumah terbuka ini juga, para tetamu akan dijamu dengan pelbagai jenis juadah yang menyelerakan. Namun perlu diingat juga sebagai tetamu, janganlah sentiasa berharap tuan rumah akan menghidangkan makanan istimewa sehingga boleh menyinggung perasaan tuan rumah yang menjamu juadah biasa-biasa sahaja. Oleh itu, 'mind set' seumpama itu hendaklah dihakis. Jenis juadah yang disediakan tuan rumah itu bukanlah menjadi keutamaan tetapi tujuan mengadakan rumah terbuka dan niat para tetamu menerima jemputan perlulah selaras dengan ajaran Islam, di samping menjalin silaturahim sempena Aidilfitri.

Semasa rumah terbuka, sudah setentunya tuan rumah menghidangkan bermacam-macam juadah kepada para tetamu dan setentunya hidangan tersebut akan menaikkan selera para tetamu. Juadah seperti kuih-muih, nasi serta lauk-pauk ditambah pula dengan pelbagai jenis minuman akan menyebabkan kita lupa tentang tahap kesihatan diri.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpesan bahawa perut kita perlulah dibahagikan kepada tiga bahagian, sebagaimana dalam sebuah hadis Baginda daripada Miqdam bin Ma'di Karib, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Cukup bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah seper tiga untuk makanannya, seper tiga untuk minumannya dan seper tiga untuk nafasnya." (Hadis riwayat At-Termidzi).

Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa beringat bahawa makan secara berlebihan boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut dan akhirnya berlaku peningkatan berat badan dan boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Oleh itu, semasa berkunjung ke rumah terbuka kita hendaklah bijak memilih makanan agar apa yang dimakan itu tidak mendatangkan mudarat ke atas tubuh kita sendiri.

Akhirnya, jadikanlah amalan rumah terbuka tersebut sebagai budaya kunjung-mengunjungi untuk mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan memeriahkan lagi Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.

-Ketua Penyuntingan (Md)

Attachments