TERAPKAN SIKAP MENABUNG UNTUK KEPERLUAN MASA DEPAN

14/05/2016

SERING kita mendengar peribahasa yang mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya sangat sinonim dalam kehidupan pada zaman moden kini. Peribahasa ini bertepatan dengan peranan ibu bapa dalam melatih serta menerapkan amalan menabung kepada anak-anak mereka sedari kecil. Amalan menabung sangat penting dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu. Kegawatan ekonomi menjadi hambatan dan mendatangkan impak yang besar kepada kita semua.


Ibu bapa memainkan peranan yang sangat dominan dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak. Ibu bapa perlu mengawal dan membuat pemantauan terhadap perbelanjaan harian anak-anak mereka dan perlu memastikan anak-anak berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kemahuan. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan wang perbelanjaan persekolahan mereka untuk keperluan makanan dan minuman di sekolah dan menyimpan di dalam tabung. Wang yang diberikan tidak boleh melebihi perbelanjaan harian anak-anak.


Memetik sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada Majlis Pembukaan Rasmi Hari Autoriti Monetari Brunei Darussalam 2015 pada 10 Syaaban 1436 Hijrah bersamaan 28 Mei 2015 Masihi yang antara lain bersabda : ''Justeru saya ingin menekankan tentang perimustahaknya pengetahuan serta amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemat bagi memenuhi keperluan diri dan masa depan keluarga. Ia termasuklah mengatur perancangan ke hadapan bagi memiliki rumah kediaman sendiri serta persediaan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak. Ini juga merangkumi keperluan untuk menyediakan perbelanjaan harian termasuk budaya menabung bagi menampung berbagai keperluan sepanjang hayat. Amalan terbaik ini perlulah dipupuk bermula dari seawal peringkat kanak-kanak secara berdisiplin.''


Setiap perlakuan ibu bapa pastinya menjadi ikutan anak-anak sebagai contoh perbuatan ibu bapa untuk menabung akan menimbulkan minat dalam diri anak-anak dan amalan ini akan menjadi budaya kepada anak-anak apabila mereka dewasa nanti. Bagaimanapun, amalan positif yang dilakukan sepertinya semakin terhakis dalam arus kehidupan masyarakat kita yang serba moden. Jika adapun kaedah menabung, kini tidak sama seperti dulu di mana ibu bapa akan menyediakan tabung dari batang buluh untuk diisikan oleh anak-anak sebelum pergi ke sekolah. Setelah penuh tabung tersebut akan dipecahkan dan ibu bapa kita akan menghantar duit simpanan tersebut ke bank. Ini adalah di antara inisiatif ibu bapa zaman dahulu dalam menggalakkan amalan menabung kepada anak-anak mereka.


Perkara ini juga bertepatan dengan tema Hari Menabung Kebangsaan pada tahun ini 'Generasi Celik Kewangan' yang mencerminkan matlamat untuk membangunkan generasi yang berkemahiran dan pandai berdikari dari segi kewangan. Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menyumbang kepada matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mampan, serta rakyat dan penduduk yang berkemahiran.


Langkah dan usaha seperti ini amat penting kerana ia bukan saja mengajar berjimat-cermat malah sebagai persediaan masa depan terutama ketika ingin menyambung pengajian ke universiti. Selain pelajar sendiri menyedari kepentingan menabung, ibu bapa juga perlu memainkan peranan di dalam menyemai budaya menabung dalam diri anak-anak mereka sejak kecil lagi. Pihak sekolah, badan bukan kerajaan dan bank tempatan juga boleh memainkan peranan dalam menggalakkan pelajar menabung yang terbukti banyak faedahnya. Pelajar juga digalakkan membuka akaun simpanan di mana-mana bank untuk menyimpan duit tabungan supaya ia selamat dan boleh digunakan di saat-saat ia diperlukan baik disaat kecemasan mahupun untuk masa hadapan penyimpan.


Hari Menabung Kebangsaan tahun ini memberikan tumpuan utama kepada generasi muda, dengan penyediaan beberapa acara dan aktiviti yang interaktif melalui jerayawara di sekolah-sekolah bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang. 'Financial Fun Fair' juga akan diadakan di Jerudong Park Playground pada 22 Mei ini yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai. Ia memuatkan pelbagai aktiviti interaktif mengenai pengurusan kewangan yang berhemah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan mata wang daripada AMBD, TAP dan insitusi serta agensi-agensi yang berkaitan. Orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan tahun ini dengan melayari laman sesawang www.ambd.gov.bn atau e-mel  corpcomms@ambd.gov.bn.


Ketua Penyuntingan PB (Nh)

Attachments