Warkah Mayasiber sahabat ketuk butang Nostalgia

19/09/2015

Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif




cetusan minda



Bilangan 124

PENULIS baru terima email yang berupa sebuah warkah mayasebar dari sahabat penulis dari negara jiran. Email itu diterima ketika takbir Aidilfitri berkumandang di udara melalui televisyen negara jiran, yang menandakan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada keeseokan harinya. Penulis layari email sebaik saja menerima pesanan ringkas darinya.

Sahabat penulis yang juga bekas seorang wartawan itu berasal dariKulim, Kedah. Dia lebih tua daripadapenulis. Cukup sekadar diberitau bahawa kami sama-sama wartawan, yang sering kali berjumpa dalam membuat liputan mesyuarat diperingkat serantau dan antarabangsa. Malah dalam waktu-waktu tertentu di luar negara, misalnya, di salah sebuah negara di Eropah ketika membuat liputan pemberitaan Sidang Kemuncak, kami berdua menginap di bilik hotel yang sama waima kami tempah bilik masing-masing. Itu terjadi awal tahun 1990-an. Kami sama-sama pemegang diploma kewartawanan dari Berlin, Jerman. Warkahnya ini mengetuk butang nostalgia pengalaman silam.

Dalam bilik hotel itulah kami berdua saling bertukar pendapat dan mengirimberita ke negara masing-masing.Pemberitaannya lebih bersikap berani dibanding dengan cara pengolahanpenulis yang terikat dengan etika kerjasebagai seorang pegawai kerajaan. Jadi, cara dan teknik pemberitaan kami agak berbeza tetapi pada dasarnya kami bertitik-tolak dari segi fakta bukan spekulasi. Tunggu dulu,sahabat! Penulis akan lakar emailnyaitu kemudian. Maaf cakap, cetusan minda siri kali ini bernada ilmiah, mungkin!

Penulis pun teringat dan teruja tentang pengaliran berita tidak seimbang yang berlaku pada satu masadahulu di peringkat komunikasi global telah melalui beberapa perubahan. Jenis teknologi, kuasa pemerintahan negara-negara sedang membangun dan daya beli khalayak telah sedikit sebanyak mempengaruhi aliran berita dan maklumat pada peringkat global itu.

Pada zaman itu agensi-agensi berita seperti Reuters, UPI, AP dan AgenceFrance-Presse (AFP) menentukan agenda berita di seluruh dunia. ''Kuasa'' yang ada pada dunia majuseperti Amerika Syarikat dan pertalian penjajahan yang ada pada pihak British dan Peranchis telah mempengaruhi ''kekuatan'' pada AP, UPI, Reuters, dan AFP. Tetapi kini keadaan sudah juah berubah. Teknologi canggih telah mengubah aliran berita!

Bayangkan pada zaman itu, agensi berita Associated Press (AP) sahaja dikatakan membekalkan berita kepada 100,000 (seratus ribu) surat khabar di seluruh dunia. Agensi berita ini mendakwa lebih daripada satu bilionorang setiap hari membuat valuejudgement mereka tentang perkembangan-perkembangan dunia berdasarkan maklumat yang disebarkan oleh syarikat berita gergasi itu.

Bersama-sama dengan United Press International (UPI), pejabat beritaAP menerima, memproses danmenyebarkan kira-kira 40 juta perkataan dalam sehari melalui apayang disifatkan sebagai packed switching transmission techniques. Sesungguhnya ketika itu sistem komunikasi sejagat adalah dalam kekuasaan Barat.

Faham-faham sajalah bahawa media Barat berupaya bukan sahaja mempengaruhi bahkan mencorakkangaya hidup kita, nilai dan budaya kita, cara kita berfikir malah tanggapan kita terhadap dunia. Monopoli maklumat memungkinkan gergasi maklumatBarat memilih apa yang wajar mereka sampai dan sebarkan kepada dunia serta apa yang tidak harus mereka memberitahu kepada kita. Dan tidak heran jika kita katakan bahawa komunikasi antarabangsa lebih bersifat propaganda daripada memberikan maklumat! Maklumat sebenar diselewengkan untuk memperdayakan orang ramai.

Hubaya-hubaya, berita dan maklumat oleh media Barat adalah tertekan dan amat dipengaruhi oleh keperluan serta kehendak korporat demi kepentingan perniagaan. Malah kecenderungan kepada satu pihak atau bias daripada segi liputan berita tidak dapat dielakkan. Ini hakikat.

Tapi ya, kecanggihan teknologi komunikasi telah memberi manfaat kepada kita dalam erti kata dunia telah menjadi kecil dan manusia sejagat boleh merasakan penanggungan danpenderitaan yang dialami oleh sesama manusia. Kesan komunikasi global ini ke atas masyarakat adalah berbeza kerana ada yang baik, dan ada yang buruk. Namun pada asasnya, dengan teknologi baharu, kadar kenal hurufdan kuasa beli yang tinggi, maka masyarakat dunia telah berubah menjadi masyarakat bermaklumat, malah terlebih maklumat.

Benar, kesan komunikasi global dapat dilihat dari segi pengaruhnya ke atas budaya dan nilai hidup masyarakat, tetapi sebaliknya pula komunikasi dari luar membenarkan peningkatan ilmu dan fahaman antarabangsa. Terdapat ahli-ahli masyarakat menerima dan menerap budaya asing sebagai sebahagian daripada budaya setempat.

Dalam konteks masyarakat kita, ya masyarakat Melayu walau bagaimanapun, pada keseluruhannya kita tidak kehilangan nilai dan citra kita kerana kekuatan yang ada pada institusi keluarga dan agama berjaya mempertahankan nilai asas dan tamadun Melayu. Pengaruh dan kesan negatif teknologi perlu sentiasa diawasi oleh satu institusi tradisional iaitu keluarga dan agama.

Kita sedia maklum bahawa sebagai bangsa Melayu, dalam sejarahnya bertembung dengan sekurang-kurangnya tiga tamadun luar yang besar, iaitu tamadun Hinduisme, tamadun Arab-Islam, dan kemudiannya tamadun Barat, yang secara tidak disedari membuktikan bahawa kita adalah bangsa yang sangat terbuka mindanya.

Kita telah mampu memperlihatkan keupayaan untuk melakukan proses pembelajaran, pembaharuan, penerimaan dan penyaringan. Alhamdulillah, proses ini tidak memusnahkan jati diri bangsa Melayu, malah memperkaya budaya, tamadun dan pemikiran Melayu dengan berteraskan kepada Islam.

Cara berfikir dan pandangan hidup jati Melayu tetap berkembang sepanjang zaman dan berfungsi sebagai acuan atau superstructureuntuk menyaring pengaruh luar.Dalam hal ini dapat kita kaji, misalnya, berdasarkan teks-teks kesusasteraan Melayu tradisional seperti pantun, peribahasa, pepatah, cerita-cerita rakyat dan hikayat.

Kita melihat perubahan pemikiran dan kepercayaan ini dalam teks-teks Melayu. Contohnya, kita melihat dalam pantun Melayu ada rangkap yang berbunyi : 'Kalau tak ada di dalam adat, cubalah cari di dalam syara' ; atau kata orang tua-tua, 'Adat bermula dengan hukum. Hukum bersandar di kitab Allah'.

Nah, mari kita renung rangkap pantun ini : ''Beza manusia dengan bangkai, hidup beriman bersendi akal''. Perhatikan bagaimana orang Melayumenegaskan pentingnya akal sebagai asas keimanan, tidak lagi berserah kepada ''kuasa'' alam tabii. Maksud pantun ini ialah, beriman kepada Allah tidak hanya secara membuta tuli tetapi hendaklah berasaskan akal atau ilmu. Ini bermakna kita sebagai bangsa Melayu sedar akan pentingnya ilmu sebagai jalan untuk mengenal Allah dan kejadian-kejadian atau hukum Sunatullah. Kita tinggalkan pemikiran bernada akademik ini!

Berbalik kepada email sahabat penulis ini antara lain bertemakan 'lagak remaja dulu-dulu'. Penulis olah kembali dengan cara dan teknik penulis sendiri dengan tidak meminggirkan fakta, maksud dan matlamat sahabat penulis itu mengutus email untuk renungan bersama.

Bila sudah berumur begini (jika kita sudah menjangkau lebih 65 tahun, memang terasa tua, sahabatku Salleh) menyentaklah kenangan di kepala terutama jika tinggal sendirian di rumah. Anak sudah berumahtangga dan berumah sendiri. Agaknya begitulah kebanyakan orang seperti kita, ya kita yang sudah berusia lanjut ini, tidak kiralah di benua mana kita diam.

Jikalah peristiwa silam berlaku pada masa kini, rasanya boleh dirakam melalui telefon bimbit, melalui filem dan melalui teknologi digital yang semakin nipis atau telefon pintar. Tapi ya, masalah kamera web ini boleh pula digodam, diubah suai dan seumpamanya. Keaslian gambar yang dirakam boleh dipertikaikan.

Hubaya-hubaya, serangan secara clickjacking yang menjadi serangan paling kerap digunakan untuk menggodam data peribadi pengguna. Penggodam akan mendapatkan maklumat log masuk dan kata laluan kepada kamera web tersebut terutama pengguna yang menggunakan log masuk dan kata laluan lalai yang sudah sedia ada disimpan dalam sistem kamera web.

Ketika pengguna lebih cenderung untuk mengklik pada butang yang tidak kelihatan pada sebuah laman web secara tidak senghaja, kamera web pengguna akan diaktifkan dan merakam video aktiviti pengguna tersebut. Dulu, hal-hal serupa begini langsung tidak terfikir malah di luar kamus kehidupan harian kita.

Dulu, apa yang kita gambar itulah yang ada, tidak boleh digodam. Ada pun kamera, bukan automatik dan sofistikated seperti sekarang. Jika tidak silap, kamera agak moden ketika itu hanya jenis ''Kodak'' yang dapat mengambil gambar hitam putih tidak lebih 12 keping.

Jika hendak mengambil gambar ramai seperti gambar keluarga, terpaksa panggil tukang gambar Cinadari studio gambar yang dikira terbaik.Maka tidak heranlah, tukang-tukang gambar seperti itu jarang beradadi kedai kerana asyik melayan panggilan orang yang suka bergambar.

Ada pula sebahagian orang mengabdikan gambar pertunangan sehinggalah kepada perkahwinan,kelahiran anak dan seterusnya. Aktivitibegini bukan sahaja menghiburkan,bahkan dapat mengekalkan kenangan pahit manis yang pernah dialami. Gambar-gambar hidup dan ada kalanya berwarna-warni itu pasti banyak faedahnya di kemudian hari.

Namun begitu pada zaman kanak-kanak dahulu, terdapat ahli keluarga yang sedang naik remaja gemar bergambar. Kalau ada basikalbaru, seboleh-bolehnya basikal itudijadikan latar belakang atau berlagak naik basikal waima belum tahu berbasikal.

Begitu juga ada orang datang dengan kereta lawa, pasti kereta itumenjadi tumpuan latar belakanggambar. Malah ada yang mahu gambarnya diambil atau ''ditangkap gambar'' dengan berlagak memegangsteering wheel kereta. Jika hendakdijadikan kenang-kenangan, menurutorang yang berlagak, biarlah gambarnya hebat! Alahai…!

Bila kawan-kawan menatapnya dan bertanya, bolehlah buka temberang kononnya kereta itu milik ayah, pakciknya atau abang-abangnya. Lucu juga bila dikenangkan, Salleh. Tapiyang lebih melucukan, ialah orang remaja atau orang muda bergambar dengan kaum kerabatnya yang lawa dan berpakaian segak.

Bila ditanya, pantas mengaku itu gambar dengan girl friend atau boy friend. Saja-saja jawab begitu bagi membuatkan orang mereka yang menatap gambar itu iri hati.

Jika ada masa berkelah pula, bergambar di depan air terjun atau punduk-punduk atas batu besar sambil merenung jauh. Berlagak seperti Tarzan pun ada juga, berbuai di akarpokok besar. Ada yang terjatuh. Budak-budak kecil yang berumur bawah 10 tahun hanya seronok lihat lagak abang dan saudara mara mereka yang naik remaja itu dari jauh, kerana tidak dibenarkan mengikut lagak remaja yang suka berlagak itu.

Aduhai, bila gambar dengan pelbagai lagak itu siap dan dicuci di kedai gambar, pastinya tidak berwarna-warni, yang diperlagakkan itu tidak jelas, begitu kabur. Kerana yang ''tangkap gambar'' itu adalah kawan yang tak pernah pegang kamera. Lalu, jadi bahan ketawa saja. Alahai….apalah nasib malang!

Tapi ya, cucu cicit yang menatap gambar-gambar lama, pastinya diambil atau ''ditangkap gambar'' di kedai gambar secara peribadi atau gambar beramai-ramai (lazimnya gambar keluarga) sering membuat perbandingan rupa paras ibu atau bapa mereka dengan diri mereka dan adik-beradik lain.

Ada pula jika anak tidak dikatakan saling merupai ayah atau ibunya, cucu itu pula dikatakan ada iras-iras datuk atau neneknya. Demikian penting gambar zaman dahulu.

Masa dulu-dulu itu, sahabatku Salleh, rasa cemburu sering melandadiri bila lihat orang lain berbelanja. Sebulan, dua bulan rasa cemburu itu membara. Akhirnya semacam tekad pula, ''Jika aku bekerja dan punya duit sendiri……..''

Maka bertali-arus angan-angan hendak membuat dan membeli itu ini. ''Aku akan beri mak bapa sekiansekian setiap bulan. Simpan dalam bank $10 atau $5 sebulan, mesti. Sikit-sikit pun tak apa, lama-kelamaan banyaklah''.

Begitulah kita mengelamun saban hari. Bila tersedar dari lamunan, ketawa sendirian. Kemudian titian waktu berlalu ada yang dapat melaksanakan angan-angan sewaktu kecil tetapi lebih banyak yang senghaja lupa pada angan-angan semasa kecil apabila sudah mendapat pekerjaan dengan gaji yang dianggap lebih daripada cukup!

Namun begitu hidup seorang ditentukan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Kita tak dapat mengelak atau lari dari takdir yang menentukan hidup kita ada kalanya tiba-tiba berubah. Benarlah kata orang tua-tua bahawa jika kita sudah biasa susah kemudian senang dan susah semula, tidak jadi masalah.

Sebaliknya, ketika kita bersenang-senang dahulu dan kemudian susah, lainlah ceritanya.Pengalaman hidup mendorong kita untuk lebih bersikap terbuka, sedia menerima dan memberi, menasihati secara berhemah. Demikian isi kandungan dari sahabat dari negara jiran. Terima kasih, sahabat.

Attachments