“Syair Rakis” Renaisans Wacana Dagang Bestari Bukan Handalan

27/04/2015

cetusan minda

BILANGAN 121

HAIRANKU handai melihat
tukang
Unggas nuri menjadi kukang
Gunung berkisar padang berlenggang
Pipit pun sudah menjadi enggang.

Arang itu orang Inggeris
Fahamkan akal dua belas rakis
Di dalam sekolah tetap menulis
Mencari rundingan fikiran majlis.

“Syair Rakis” bait 41 dan 103 hemat kita ialah pencerminan tentang penjajahan yang amat dikhuatiri oleh Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh, pengarang syair ini. (Syair Rakis semuanya berjumlah 175 rangkap dengan kesemuanya empat kerat pertuturan kecuali rangkap 170 hanya dua kerat pertuturan sahaja). Penjajahan daripada Eropah tidak lari daripada matlamat asalnya untuk menyebarkan agama Kristian di samping mengaut kekayaan hasil bumi milik peribumi.

Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq dalam eseinya, “Orientalisme: Kesan Pemikirannya Terhadap Tamadun Islam” (1989) berkata bahawa “ Misi keagamaan merupakan misi utama kehadiran kuasa Eropah di rantau (Kepulauan Melayu dan Nusantara) ini walaupun jarang dinyatakan secara jelas di dalam penulisan sejarah. Walaupun tidak pernah dijelaskan oleh pengkaji sejarah namun kedatangan mereka adalah sebagai membalas dendam terhadap dendam lama mereka.”

Manakala itu Dr. Masnon Ibrahim dalam eseinya “Sejarah Perkembangan Islam di Brunei” dalam buku “Islam di Brunei, Sabah dan Sarawak” (Penerbitan Asiana, Kuala Lumpur,1989) menyatakan bahawa: “Begitujuga dalam awal perhubungan antara pihak Portugis dengan kerajaa Brunei di mana pihak Portugis telahmembawa satu rombongan Katolik ke Brunei pada tahun 1530 Masihi.

Hal yang sama juga dilakukan oleh pendatang dari Sepanyol. Perkaraini dapat kita sandarkan kepada surat Gabenor Sepanyol di Filipina, Francisco de Sande kepada Sultan Brunei Ke-7, iaitu Sultan Saiful Rizal (1533 - 1581 Masihi), dihantar pada tahun 1575 berbunyi: “Kamu hendaklah menerima mubalighmubaligh agama Kristian yang akan menyebarkan agama Kristian dalam negara kamu dengan menjamin keselamatan mereka… Lebih jauh, aku mengharapkan kamu tidak akan menghantar sebarang pendakwah Islam ke mana-mana bahagian pulau ini (Filipina)…”

W. H. Treacher, Pemangku Ketua Konsul British yang julung kali datang ke Brunei pada tahun 1871 Masihi dengan menggunakan kapal angkatanlaut British mencatatkan bahawaundang-undang Brunei pada waktu ituadalah undang-undang yang berasal dari Al-Qur'an dan Sunah.

Kesultanan Brunei sudah pun menjadi kesultanan Islam yang tambah diketarakan ketika di bawah pemerintahan Sultan Sharif Ali, Sultan Brunei ke-3 (1425 - 1432 Masihi).

Amin Sweeney dalam jurnal JMBRAS (1968), “Salasilah Raja-Raja Brunei” menyebut bahawa: “Sultan Sharif Ali spread Islam ever since he served the first two Sultans, and during his own reign, he was known as the Blessed Sultan (Sultan Berkat) and Stamford Raffles nicknamed him as Mirror Islam Sultan (Sultan Pulau Cermin) after he tried to convert the Majapahit King, Prabu Angka Wijaya.”

Cesar Abid Manjul, “Islam di Filipina” (1988) menyebut bahawa, “Two other Brunei Sultans were said to have spread Islam beyond the shores of Brunei. They were the fifth Sultan (Sultan Bolkiah) and ninth Sultan (Sultan Hassan). Sultan Bolkiah (1485 - 1524) defeated the Filipino armies in Sulu and Saludang, the latter was said to be the ancient name of Luzon Island where the present Manila capital city is situated.”

Sebahagian besar pengkaji-pengkaji sejarah berpendapat bahawa tujuan utama kedatangan penjajah dari Barat ke negara-negara yang hendak ditakluki dan dijajahi sama ada di Asia, Afrika dan di mana-man sahaja adalah bagi mencapai dan melaksanakan matlamat “3G”, iaitu “God, Gold and Glory” yakni Tuhan (agama Kristian), Kekayaan (Emas) dan Kemegahan.

Tujuan penjajahan yang bermotokan “3G” itu ialah orang-orang Eropah (pihak penjajah) hendak mengembangkan agama Kristian yang merupakan misi utama walaupun ia jarang dinyatakan secara berterus terang dalam penulisan sejarah mereka. Begitulah yang terjadi apabila pihak Sepanyol datang ke Brunei pada tahun 1578 untuk menyebarkan agama Kristian tetapi ini ditentang hebat oleh Sultan dan penduduk Kesultanan Brunei ketika itu.

Hinggakan terjadi Perang Kastila, yang mana Ketua Panglima Perang Brunei ketika itu, Pengiran Bendahara Sakam bersama dengan hulubalanghulubalangnya telah berjaya mengusir pasukan Sepanyol dari perairan Brunei.

Melihat kegagahan warga jati Brunei dalam mempertahankan maruah agama Islam, maruah bangsa, dan maruah tanah air daripada cuba dicerobohi oleh penjajah Sepanyol, selepas itu Sepanyol tidak lagi berani mengganggu Kesultanan Brunei. Masa itu Kesultanan Brunei diperintah oleh Sultan Saiful Rizal, Sultan Brunei Ke-7 (1533 - 1581 Masihi).

Pada ketika itu Kesultanan Brunei merupakan kubu dan benteng yang kukuh agama Islam. Pandangan mereka, iaitu penjajah dari Barat, terhadap Islam dilihat sebagai barah. Malah pihak Sepanyol di bawah pimpinan Francisco de Sande sanggup memberi amaran kepada Sultan Brunei agar memberhentikan penyebaran Islam.

Ulama Injil matanya putih
Laku memandang bagai mengalih
Merunding dunia tiadalah ketih
Besar dan kecil tiada memilih.

Dunia ini kepadanya syurga
Tempat diam bersuka-suka
Berlarah-larahan bersenda leka
Laksana timbangan berbatu tiga.

Demikian madah Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh dalam bait 133 dan 134 tentang sikap pendatang asing atau penjajah dari Eropah itu. Namun pihak penjajah tidak berdiam diri!

Dalam hal ini Prof. Dato Dr Haji Mahmud Saedon dalam bukunya, “Pelaksanaan dan Pentadbiran Undang-Undang Islam di Negara Brunei Darussalam” (DBP, Brunei, 1996) menulis bahawa: “Hukum Kanun Brunei ini telah pun mula ditulis dalam masa pemerintahan Sultan Muhammad Hassan (1582 - 1598) walaupunberkemungkinan besar penulisannyatelah dimulakan sebelum dari itu tetapi belum terdapat bukti kukuh mengenainya. Memandangkan hubungan rapat kedua-dua negara Melayu Islam Beraja, iaitu Kesultanan Brunei dengan Kesultanan Melaka sejak seratus tahun dahulu sebelum Hukum Kanun Brunei ditulis telah pun wujud. Hukum Kanun Brunei ini telah sempurna dan dikuatkuasakan dalam zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akbar (1598 - 1659).”

Ya, Hukum Kanun Brunei yang mula dicetuskan oleh Sultan Muhammad Hassan, iaitu Sultan Brunei Ke-9, sebahagian besarnya adalah berdasarkan ajaran-ajaran Islam khasnya dalam perkara-perkara perkahwinan, perceraian, kesalahan jenayah dan makhamah, demikian juga dengan jual beli dan riba. Manakala sebahagian yang lain berdasarkan adat resam Brunei. Hukum Kanun Brunei yang mengandungi 47 fasal itu mencerminkan semangat keseluruhan dan kandungan hukum sesuai dengan hukum syarak.

Apa jadi dengan Hukum Kanun Brunei apabila Inggeris datang menaungi Brunei!

“Tahun 1847 adalah merupakan tahun bersejarah bagi Inggeris kerana dalam tahun tersebutlah bermulanya penghakisan bidang kuasa Mahkamah Kesultanan Brunei yang mentadbirkan undang-undang Brunei yang berdasarkan Hukum Kanun Brunei, adat resam dan hukum syarak. Pada tahun tersebut itulah juga bermulanya hubungan rasmi antara Kesultanan Brunei dengan Kerajaan Inggeris. Walau bagaimanapun hanya dalam tahun 1906 Brunei Darussalam dengan rasminya menerima kehadiran Residen Inggeris ekoran daripada beberapa perjanjian kedua-dua negara yang telah dimeterai,” kata Prof. Haji Mahmud Saedon dalam bukunya tersebut.

Antara perjanjian itu adalah Perjanjian 1856 dan 1888 yang antara lain kandungan perjanjian-perjanjian tersebut ialah membuat peruntukan memberi kuasa terhad mentadbir undang-undang kepada pihak Inggeris.

Prof. Haji Mahmud Saedon memberi contoh yang Inggeris telah mula menunjukkan minat untuk campur tangan dalam bidang undang-undang dan pentadbiran Kehakimam Kesultanan Brunei seperti dalam Perjanjian 1856 ialah Inggeris diberi kuasa untuk mengendalikan kes-kes yang timbul daripada pertikaian di kalangan rakyat Inggeris atau yang terjadi di antara rakyat Inggeris dengan rakyat asing di wilayah-wilayah Kesultanan Brunei. Pada peringkat ini, walaupun hakim kerajaan Inggeris diberi kuasa dalam bidang ini, namun ia tidak diberi kuasa penuh dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran keadilan dan kehakiman. “Hakim kerajaan Inggeris apabila menjalankan tugas-tugas kehakiman dalam membicarakan sesuatu kes akan diapit atau disertai oleh hakim Kesultanan Brunei. Hukumanhukuman yang dijatuhkan pula hendaklah berdasarkan kepada hukuman yang terdapat dan diperuntukkan dalam undang-undang tempatan, dengan syarat, hukuman yang dijatuhkan ke atas rakyat Inggeris hendaklah tidak lebih berat daripada hukuman yang biasa dikenakan dalam undang-undang Inggeris bagi kesalahan yang sama,” tulis William George Maxwell & William Summer Gibson dalam buku mereka, “Treaties and Engagement Affecting the Malay States and Borneo” terbitan P. Jas Truscott and Son Ltd., Londong, 1952.

Namun hal ini masih tidak memuaskan pihak Inggeris lalu mereka bekerja keras untuk mempunyai kuasa mutlak dalam bidang perundangan dan pertadbiran keadilan dan kehakiman Kesultanan Brunei.

Perkara ini terlaksana apabila ditempatkan Residen Inggerissecara rasmi dalam tahun 1906 natijah daripada perjanjian-perjanjian tambahan dalam tahun 1905 dan 1906. Dengan perjanjian-perjanjian tersebut kerajaan Inggeris berjaya memperolehi kuasa luas untuk campur tangan dalam urusan perundangan, pentadbiran keadilan dan kehakiman,dan dalam pentadbiran negara dan pemerintahannya, kecuali perkaraperkara mengenai agama Islam (menurut kaca mata Inggeris).

Menurut Prof. Haji Mahmud Saedon, secara teratur Inggeris berjaya dengan berkesan menyempitkan dan seterusnya mengenepikan pemakaian undang-undang Islam yang luas dan menyeluruh kepada pemakaiannya dalam bidang yang sempit danterhad. Dalam erti kata menjadikan undang-undang Islam hanya bersangkut paut dengan undangundang diri sahaja (Personal Law) sesuai dengan pengertian dan peranan agama dalam kehidupan manusia (menurut kaca mata Inggeris).

Maka sebagai langkah susulan seterusnya, dalam tahun 1908, menurut Annual Report on the State of Brunei 1908, Inggeris telah menubuhkan Mahkamah Kadi dengan bidang kuasanya yang terhad mengenai nikah cerai orang-orang Islam sahaja atau lebih terkenal dengan undang-undang diri sahaja (Personal Law).

Dengan itu bermulalah asas kepada wujudnya dua sistem perundangan dan dua sistem pentadbiran keadilandi Brunei, nukil Prof Haji Mahmud Saedon. Katanya lagi, dengan penubuhan Mahkamah Kadi ini maka bertambah berpengaruh dan kukuhlah kedudukan undang-undang Inggeris, ditambah pula dengan teliti dan halusnya perancangan dan langkahlangkah susulan yang diambil oleh Inggeris untuk mengepikan undang-undang Islam (Hukum Kanun Brunei) agar ia tidak lagi menjadi undang-undang asas dan utama kerajaan Kesultanan Brunei.

Maka dengan cara demikiansempitlah pemakaian undang-undang Islam dan sempit dan terhadlah juga bidang kuasa mahkamah yang mentadbir undang-undang dan kehakimannya. Sebagai natijah daripada itu perancangan Inggeris ini Undang-Undang Sivil mula mengambil tempat undang-undang Islam dalam Kesultanan Brunei.

Demikian sedutan hujah-hujah ilmiah dari muka surat 65 hingga 73 yang penulis nukilkan dalam buku penulis bertajuk “Syair Rakis Renaisans Wacana Dagang Bestari Bukan Handalan” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei tahun 2009. Buku kajian ini siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, iaitu selesai pada bulan Disember 2007. Penulis mulakan penyelidikan pada tahun 2002 sebaik sahaja penulis bersara wajib dari perkhidmatan kerajaan.

Kan halnya, penulisan buku setebal 194 mukasurat ini mengingatkan kecanduan penulis mentelaah dan membaca buku-buku sejarah dan buku-buku lainnya ketika berkunjung di Arkib Nasional Malaysia dan Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur; Muzium Sarawak, Kucing; melangkah masuk ke Perpustakaan Nasional Singapura; bersantai peram di Arsip Nasional Republik Indonesia, Jakarta dan berkulut sejuk di Perpustakaan Central of Information (COI) di London. Tentunya atas perbelanjaan sendiri, alhamdulillah. MasyaaAllah.. Subhanallah… Allahu Akbar.

SEKIAN.

Attachments