CETUSAN MINDA Bil: 114
TERUJA
penulis ketika teringat kata-kata seorang pakar motivasi dari negara
jiran yang pernah berkata bahawa carilah pekerjaan yang memungkinkan
anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak.
Benar, asas sesuatu pekerjaan adalah melakukan sesuatu. Menulis di masa lanjut usia ini adalah juga merupakan pekerjaan.
Kegiatan
adalah salah satu ciri yang menunjukkan manusia itu hidup. Manusia itu
masih bernafas. Masih mensyukuri nikmat bakat yang dikurniakan kepadanya
oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Kegiatan
rutin dan dilakukan dengan baik dapat merehatkan dan meningkat daya
ketahanan mental terhadap stress, jika ada. Nah, jangan biarkan diri
kita berhenti daripada kegiatan sebab itu menurunkan semangat dan
motivasi kerja. Teruskan kerja. Bekerjalah selagi Allah mengurniakan
kita kudrat, tenaga dan kemampuan. Bekerja asal tidak melanggar syariah.
Bekerja menurut kemampuan dan kebolehan kita. Bukankah setiap manusia
itu mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri yang dikurniakan oleh
Allah!
“Bekerja”
adalah sebahagian daripada kegiatan hidup selain daripada rehat, tidur
dan makan. Berkerja tidak sekadar menghasilkan nafkah yang cukup bagi
memenuhi keperluan hidup. Berkerja itu adalah bagi menikmati hidup.
Berkerja itu adalah bagi membina hubungan dengan orang lain. Berkerja
juga membuat dinamik hidup lebih bermakna.
Benar, para cendekiawan yang budiman sepakat berkata bahawa bekerja itu terbahagi kepada tiga kumpulan utama. Pertama ialah “occupation”. Kedua ialah “profession”. Ketiga ialah “vacation”. Bisai tah penulis huraikan satu persatu.
“Occupation”
bererti seseorang bekerja hanya bagi menghabiskan waktu dan memperoleh
sejumlah wang. Baginya tidak penting sama ada dia dinaikkan pangkat,
mengembangkan kerjayanya ataupun menerima penghargaan lainnya.
Pekerja hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanannya diterima secara tetap, sudah memadai.
Pekerja jenis ini tidak hirau bagaimana nasib agensi atau syarikat tempat ia berkhidmat dan berkerja.
Seorang sahabat penulis menggelar mereka yang bekerja pada tahap ini sebagai : “Pekerja yang kemarinnya, hari ini dan esok, sama sahaja!”
Nah,
tidak heran jika pekerja yang berada di tahap ini masuk kerja bukannya
terus bekerja. Dia berbual ke sana dan ke sini. Minum kopi ataupun
berkongsi makanan. Enak dan selesa membuang banyak waktu berharga dengan
berbuat demikian.
Bekerja yah memang berkerja. Yang penting setiap bulan gaji diterima seperti biasa sebagai haknya. Hah, sebagai haknya!
Memang
benar, sekiranya kita berhenti melakukan kegiatan hari ini, kita tidak
akan pernah tahu apa yang menanti kita pada masa depan. Tetapi aktiviti
itu penting selama ia dilakukan secara tekun, penuh azam dan penuh
tanggungjawab.
Penulis
ulang, lakukan kerja secara tekun, penuh azam dan penuh tanggungjawab
jika mahu maju. Bukan ala kadar sahaja. Sendiri yang menentukan masa
depan sendiri. Bukan orang lain. Bukan kerja tanpa kesan!
Kedua,
pekerja yang tergolong ke tahap profesional. Menurut para cendekiawan
yang budiman bahawa jenis pekerja ini melaksanakan kewajipan dan tugas
harian, di sampingsama-sama berfikir bagaimana meningkatkan mutu tugas
dan pekerjaannya. Yang berada di tahap ini menempa keahliannya.
Bekerja
ke tahap ini ialah melakukan sebaik mungkin agar ini lebih baik
daripada kelmarin. Baginya, tiada masa terbuang sebaik sahaja kerjanya
sempurna dilakukan. Malah bersedia pula menyudahkan kerja orang lain.
Membantu orang lain bagi menyelesaikan kerja.
Rangsangan
bagi melakukan tugas bukan sekadar mendapatkan gaji. Dia berusaha
terus-menerus demi meningkatkan kecekapan diri waima di luar displin
ilmunya.
Aktiviti
kerja yang mengutamakan kewajipan daripada hak. Hal ini ternyata secara
langsung mahupun tidak langsung meningkatkan nilai hidup seseorang itu.
Bukankah
mereka yang hanya sibuk dengan haknya atau bahagian masing-masing
memiliki nilai dan persepsi yang rendah pada hidupnya sendiri. Lihatlah
masa depan diri sendiri.
Tiada siapa yang tahu bila ajalnya akan sampai. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Allah Yang Maha Perancang.
Faham-fahamlah,
perjalanan hidup tidak selalu lancar sebagaimana yang kita rancang.
Usaha menggarap impian tidak selalu melalui jalan pintas dan mudah.
Sering perlu merentasi badai, peluh dan air mata. Perlu ada ikhtiar dan kerja lutanan bagi memperoleh sesuatu yang lebih baik.
Bukankah
pohon durian yang tinggi lagi besar memerlukan waktu bertahun-tahun
lama menjadi kukuh dan berbuah dengan lebat. Bahkan, ia perlu menahan
pelbagai tentangan yang berat bagi mencapai usia dewasa hingga berbuah.
Kerananya, pohon durian tetap bertahan dalam cuaca apa sekalipun. Dan tetap menghasilkan buah setiap kali pada musimnya.
Bandingkan pula dengan tumbuhan tauge. Dalam sehari tauge sudah tumbuh dengan mudah dan dalam sehari pula ia kembali layu.
Mahukah sahabat menjadi tauge?
Setiap
orang memiliki cita-cita dan jalan kehidupan yang sudah ditetapkan oleh
Allah. Bersamanya kita dapat melakukan perkaraperkara yang bermanfaat
dalam menjalani hidup ini. Tetapi ya tetapi, tiada seorang pun yang
dapat melakukan suatu kerja dengan kekuatan sendiri. Tunggu dulu.
Sebagai
makhluk, tentulah kita perlu bersandar kepada Allah bagi mengelola
seluruh ciptaan yang diamanahkan kepada manusia. Benar memang benar,
untuk tetap bertahan dalam mengharungi perjuangan hidup, kita memerlukan
perlindungan dan kekuatan Allah yang lebih berkuasa.
Setiap
insan mempunyai jalan hidupnya sendiri. Penetapan jalan ini tentulah
diawali dengan impian. Impian menentukan sasaran. Sasaran menurunkan
rancangan dan rancangan mengarahkan kita bertindak. Tindakan yang
terarah menentukan hasil yang saling kait-mengait.
Bukan angan-angan Mat Jenin! Bukan ibarat pungguk rindukan bulan!
Pakar
motivasi ada berkata bahawa rintangan dalam meraih kejayaan hanya satu,
iaitu alasan atau berdalih. Kerana 99 peratus kegagalan hanya datang
daripada orang yang selalu mencari alasan.
Hubaya-hubaya,
orang yang gagal dan sering mengeluh dalam menjalani liku-liku
perjalanan hidup termasuk dalam melaksanakan suatu pekerjaan adalah
mereka yang sering mencari alasan mengapa mereka tidak berjaya.
Walhal kegagalan tidak terjadi semasa kita jatuh. Kegagalan terjadi ketika kita menolak untuk bangkit semula.
Nah,
jangan terus berkelana dengan angan-angan kosong. Tetapi belajarlah
bangkit. Lihatlah realiti. Orang yang terus dapat bertahan dan terus
meniti kehidupan adalah orang tidak mencari-cari alasan untuk
melaksanakan suatu kerja.
Malah
ketika alasan mereka direstui sekalipun, mereka hanya punya dua kata,
iaitu tekun dan tekun. Jadi, bagaimana anda? Jadi, bagaimana sahabat!
Lihatlah
masa depan sendiri. Sendiri yang menentukan masa depan. Bukan orang
lain. Bukankah pada ketika kita memilih jalan yang menurut pandangan
kita baik dengan segala risiko yang terkandung, ternyata tidak semua
orang menyokong keputusan kita nanti. Itu kenyataan. Orang yang
bertanggungjawab atas perbuatan dan masa depan kita adalah diri kita
sendiri. Bukannya orang lain. Benar, kebanyakan orang hanya menjadi
penonton. Malah jadi tukang komen yang baik (alhamdulillah) atas apa
yang kita lakukan. Jangan jadi tukang komen yang negatif.
Ya,
orang lain mungkin meragui kata-kata kita, tetapi mereka percaya
apabila melihat kemampuan dan perbuatan kita. Membuktikan perbuatan yang
seimbang dengan kemampuan. Bukan hanya cakap-cakap sahaja, terutama
yang banyak cakap itu. Setiap manusia mempunyai kawasan atau zon sendiri
yang peribadi, yang tidak mudah dimasuki atau dipengaruhi orang lain.
Terdapat beberapa sebab yang membuat orang terus gigih dan berani melakukan sesuatu waima usia sudah lanjut.
Pertama, dia mempunyai tujuan yang pasti, tidak menyerah kepada takdir.
Kedua,
punya keyakinan yang tidak dapat digugat kerana dengan keberanianini
bermakna dia dapat meningkatkan taraf dan martabatnya.
Ketiga, berani kerana ada orang lain membenarkan tindakannya.
Keempat, berani kerana nilai dan norma sesuai dengan aturan hidup dan agama yang menjadi anutannya.
Kelima, berani kerana ada yang menyokong ataupun mendampinginya.
Namun faham-fahamlah, keberanian yang sebenar adalah keberanian yang membantu orang lain dan berlandaskan keikhlasan.
Semasa
ianya dilakukan, ada kekuatan alamiah dan keceriaan dalaman, yang
mendampingi kita bagi menegakkan kebenaran di persekitaran kita.
Allah tidak membiarkan seseorang itu bekerja sendirian dengan keberanian sendiri dalam melakukan sesuatu yang disukainya.
Sejarah
membuktikan sebahagian orang yang berjaya dalam kerjaya yang
diceburinya adalah kerana mereka berazam agar maju. Berani mengatasi
rintangan-rintangan yang ada tanpa sedikit pun berfikir untuk mundur.
Benar
pada awalnya, perjuangan hidup seseorang memang berat dirasakan. Namun
ketika semuanya berlalu, apa yang dianggap berat terasa ringan.
Bagaimana pula kerja yang digolongkan sebagai “vacation”. Ketiga, bekerja adalah “vacation”. Menurut para cendekiawan yang budiman bila bekerja dianggap sebagai “vacation”, mereka sudah tidak lagi mementingkan apa yang akan didapat tetapi lebih kepada apa yang dapat diberikan kepada orang lain.
Apa yang dapat disumbangkan kepada orang lain. Menebarkan manfaat ilmu dan pengalaman untuk dikongsi sama dengan orang lain.
Ya
bagi mereka ini, melakukan kegiatan bukan lagi suatu pekerjaan tetapi
sudah menjadi panggilan hati. Benar, panggilan hati. Bukankah asas
sesuatu pekerjaan adalah melakukan sesuatu.
Masya-Allah, bernaunglah kepada kehebatan Allah yang boleh kita nikmati dan dan peroleh menerusi iman dan doa-doa.
Tidak
kira sama ada remaja, belia, dewasa, tua dan lanjut usia. Usia bukanlah
suatu penyakit. Pun usia bukanlah penghalang untuk kita tidak bekerja.
Usia tua tidak boleh menjadi muda. Lahir sahaja manusia ke dunia maka jarum usia mula berdetik. Mula bergerak tanpa berhenti.
Setiap
saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun tetap silih berganti. Tidak
pernah berhenti waima sekali. Pergerakkan usia ini terus-menerus berlaku
kepada setiap manusia.
Akhirnya manusia menjadi lemah dan tidak berdaya. Keberanian pun luput dengan sendiri. Masa depan sudah di tahap hujung.
Di
hujungnya terbit akibat terakhir penyakit usia iaitu kematian. Kematian
adalah suatu yang mutlak. Nah, pada ketika itu usia tidak lagi
bertambah. Kerja pun sudah tidak lagi dapat dilakukan baik kerja sebagai
“occupation” mahupun kerja sebagai “profession” atau kerja sebagai “vacation”. Tidak perlu lagi risau tentang kerja!
InsyaaAllah, catatan usia terhenti akan dicatatkan pada satu monumen terkenal yang bergelar batu nisan.
Benarlah firman Allah dalam Surah Al Mu'min ayat 67 yang kira-kira maksudnya:
“Dialah
yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih,
kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian
Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara)
hingga sampai ke peringkat dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur)
hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang
dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya
kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya
kamumemahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Allah).”
Faham-fahamlah
sahabat. Tanda kita sudah semakin berusia dan semakin hampir ke
penghujung ada di mana-mana. Penunjuknya ada pada diri sendiri. Umur 40 –
50 – 60 – 70 tahun merupakan tanda nyata. Namun nilai kemerosotan
tenaga berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain.
MasyaaAllah, Subhanaalah, Allahu Akbar.
Nikmat
masa hidup yang dipinjamkan ini, sungguh-sungguh bermakna, untuk kita
berfikir. Untuk kita cuba menggunakan sebaik mungkin.
Kita
bersyukur kerana mata dan telinga masih mampu membaca dan mendengar
ilmu yang ditulis oleh bijak pandai yang lain. Sehingga minda masih
tetap berfungsi. Kuasa berfikir ini merupakan anugerah Allah. Ia
dikurniakan kepada mereka yang benar-benar berkehendakkannya.
Benar,
banyak perkara tidak lagi seperti dulu. Orang tua mudah letih
berbanding ketika usia muda. Mata cepat mengantuk. Selera makan juga
berbeza. Begitulah, bagaimana kemampuan diri dengan izin Allah terhapus
sedikit demi sedikit selari dengan bergeraknya usia. Renung-renunglah.
SEKIAN.