Secuit Imbasan Semasa Perang Jepun

10/01/2015

logo cetusan minda 10012015 Secuit Imbasan Semasa Perang Jepun



CETUSAN MINDA Bil: 116

KISAH yang diceritakan oleh beberapa ‘orang tua-tua’ semasa Perang Dunia Kedua menjadi coretan dan inti pati penulis dalam cetusan minda kali ini. Istilah yang digunakan oleh pencerita-pencerita itu ialah Perang Jepun. Kisah ini dialami sendiri oleh beberapa orang pencerita tetapi penceritapencerita itu tidak mahu namanya disebut. Istilah ‘orang tua-tua’ yang penulis maksudkan di sini ialah mereka yang kini sudah berusia lebih 75 tahun. Semasa Pendudukan Tentera Jepun di Brunei selama tiga tahun setengah, iaitu dari awal Disember 1941 hingga 15 Ogos 1945, penulis belum lagi lahir. Penulis lahir pada 22 September 1947.

Pada 31 Disember 1941 beberapa wilayah Brunei, Sabah dan Sarawak sudah pun dikuasai oleh Tentera Jepun setelah berjaya menawan sebahagian besar Tanah Melayu (Malaya). Sebelum itu pada 11 Disember 1941 dua buah kapal perang British yang bernama 'H.M.S. Prince of Wales' dan 'H.M.S. Repulse' berjaya dikalahkan oleh Tentera Jepun. Kedua-dua buah kapal perang British ini berkubur di dasar Laut China Selatan berhampiran pantai Kuantan, Pahang. Tenggelamnya kapal perang British itu tidak sampai tiga hari selepas Tentera Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan. Pada awal tahun 1942 semua Semananjung Tanah Melayu telah jatuh di bawah Tentera Jepun. Hanya Singapura sahaja yang masih dikuasai oleh British.

Pada 15 Februari 1942, tentera British menyerah kalah dan terus menandatangani perjanjian menyerah diri yang diwakili oleh Leftenan Jeneral A.E. Percival bagi pihak British dan Leftenan Jeneral Tomoyuki Tamashita menerimanya bagi pihak kerajaan Jepun, yang dilakukan di Singapura.

Semasa Pendudukan Tentera Jepun di Brunei, pencerita terkenang kehidupan orang Brunei begitu daif, dalam erti kata, begitu sukar untuk meneruskan kehidupan. Sumber mata pencarian terhenti. Awal pendudukan Tentera Jepun di Brunei itu semacam dialu-alukan oleh warga Brunei. Tambahan pula dimomokkan dengan slogan 'Kemakmuran Asia Timur Raya'. Negeri masing-masing akan kembali diperintah oleh anak-anak tempatan, konon-kononnya! Sebaliknya pula berlaku hidup bertambah susah. Kehidupan di Bandar Brunei dan bandarbandar lain sudah tidak selamat untuk didiami. Ternyata, kehidupan harian begitu sukar malah banyak keluarga terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mengongsi di kawasankawasan yang dianggap selamat.

Penulis pun teringat buku karangan Wigmore L., bertajuk 'The Japanese Thrust: Australia in the War 0f 1939 - 1945' terbitan Australian War Memorial, 1957, menceritakan bahawa pada 13 Disember 1941, satu pasukan Rejimen 124, Tentera Jepun, bertolak dari pelabuhan Cam Ranh, Indo-China, menuju sasaran tentera di Pantai Kalimantan Utara. Angkatan Tentera Laut Jepun itu terdiri daripada 10 buah kapal pengangkut dan beberapa buah kapal pembinasa. Pada 17 Disember 1941, angkatan itu sudah pun mendarat di Kuala Belait. Tau-tau Tentera Jepun begitu mudah sampai ke Kuala Belait.

Manakala itu, satu unit Tentera Jepun, di bawah perintah Kapten Koyama, telah pergi ke Bandar Brunei melalui Tutong, dan berjaya menakluki Bandar Brunei pada 22 Disember 1941. Kemudian pada 31 Disember 1941, kedudukan Tentera Jepun bertambah kukuh dengan kemasukan Panglima Perang, Jeneral Kawaguchi dari Infantari 124.

Nah, ketika itu pencerita jadi saksi mata melihat Jeneral Kawaguchi memegang pedang samurai. Itu pertama kali dalam hidup pencerita melihat parang yang begitu panjang, yang ketika itu langsung dia tidak tahu nama pedang itu adalah samurai. Mulanya disangkanya tombak atau lembing.

Pencerita pun menerangkan bahawa Tentera Jepun berjaya menakluki Pulau Labuan pada 3 Januari 1942. Dia masih ingat tarikh ini kerana salah seorang keluarganya berjaya balik ke Brunei dari Labuan.

“Dengan penaklukan Pulau Labuan maka sempurnalah sudah strategi operasi ketenteraan Tentera Jepun sekitar Teluk Brunei,” kata pencerita itu. Ingatannya masih kuat. Katanya, bagi memudahkan operasi ketenteraan maka pihak Tentera Jepun telah menyatukan Negeri Brunei dengan wilayah-wilayah Limbang, Lawas, Sundar, Terusan dan Labuan. Kawasan yang disatukan oleh Tentera Jepun ini ditadbir oleh seorang penguasa yang berbangsa Jepun sebagai gabenor. Namanya Gabenor Kodomo. Markas pentadbirannya ialah dalam sebuah bangunan yang dipanggil sebagai bangunan Bumbungan Dua Belas, Jalan Kota Batu.

“Sebelum Tentera Jepun datang, bangunan Bumbungan Dua Belas adalah kediaman rasmi Residen British,” kata pencerita lain.

Sejak pendaratan Tentera Jepun itu, mata pencarian terhenti. Hidup begitu susah. Makanan bercatu. Malah bagi mendapatkan makanan (sekadar pengalas perut) yang tidak seberapa dan kurang zat terpaksa menggunakan kupon. Pencerita sendiri pernah menukarkan kupon tersebut bagi mendapatkan secupak beras (abuk lebih banyak daripada beras), tiga ketul roti tawar dan segolong duit Jepun yang berlambangkan daun pisang. Menurutnya, apabila Jepun menyerah kalah duit Jepun ini berlambak disimpan oleh warga Brunei tetapi langsung tiada nilai. Ianya hanyalah kertas cetak yang tiada ciri-ciri keselamatan!

Pencerita itu mengisahkan bahawa orang tua dan keluarga terdekat yang lain membawa diri bersembunyi di Sungai Asam. Sepanjang tiga tahun Tentera Jepun menduduki Brunei majoriti penduduk Brunei yang tinggal di Bandar Brunei dan sekitarnya termasuk mereka yang tinggal di Kampong Ayer berhijrah ke kawasankawasan yang disifatkan mereka sebagai tempat persembunyian yang selamat. Kerana pihak Tentera Jepun mencari dan mengerah siapa saja terutama di kalangan remaja untuk dijadikan buruh paksa.

Tempat-tempat persembunyian yang dianggap selamat untuk didiami ialah kawasan-kawasan Sungai Asam, Talahak, Pirasong, Tentaya dan lain-lain tempat di pedalaman. Kawasan-kawasan ini pada ketika itu adalah kawasan belukar yang tebal. Kawasan hutan rimba yang cuma dapat didatangi dengan jalan sungai. Itupun memakan masa berjam-jam baru sampai dengan cara berkayuh. Hanya orang yang arif dan biasa mengalu sahaja yang tahu mengenai kawasan-kawasan persembunyian itu dan alur laluannya. Kawasan yang dilindungi oleh pokok-pokok bakau, tumbuhan liar, dan pokok hutan yang besar. Didatangi hanya dengan berkayuh melalui liku-liku anak sungai. Waktu itu belum ada jentera penggerak di air jenis seagull lima kuasa kuda. Belum ada.

Hidup begitu sukar. Kehidupan harian tidak menentu. Malah nyawa di hujung tanduk. Ketika mengongsi di Sungai Asam itu, pencerita dan keluarganya yang lain pun menamam ubi kayu, dan belajar bersawah padi ala kadar.Apa-apa tumbuhan yang boleh dimakan maka itulah yang dimakan. Orang tua-tua tahu bahawa apa-apa tumbuhan dan buah-buahan yang dimakan oleh monyet, pasti boleh dimakan oleh manusia.

Ikan dipancing atau dipasang bubu di sungai.  Mana-mana keluarga yang ada rambat atau jala dikongsi sama untuk merambat di sungai. Ikan-ikan yang didapat itu diagih kepada keluarga-keluarga yang lain. Sikap saling tolong-menolong begitu terserlah. Ubi kayu jadi makanan harian. Itupun dikongsi sama dengan keluarga lain. Hanya sekadar pengalas perut agar tidak kelaparan.

Yang amat mengharukan pencerita ialah ibu bapa sanggup berlapar asalkan anak-anak dapat makan seadanya. Makan apa saja asal tidak kebuluran. Masing-masing keluarga membawa diri bersembunyi ke kawasan-kawasan yang jauh dari Pekan Brunei. Sepanjang mengongsi tiga tahun enam bulan di Sungai Asam itu jarang sekali dapat menikmati tidur nyenyak. Takut dan bimbang.

Peperangan lebih banyak mendatangkan mudarat. Seorang pencerita lain pula memberitahu penulis bahawa semasa pendudukan Jepun di Brunei, ibu bapa dan keluarganya lain bersembunyi di Pirasong. Ibu bapa, abang dan kakak penulis pun juga bersembunyi di Pirasong. Ayah penulis yang meninggal dunia pada usia sekitar 43 tahun pada bulan Februari 1962 hanya sedikit bercerita tentang hidup mengongsi di Pirasong ini. Seingat penulis, katanya hidup begitu susah. Siang hari terasa begitu panjang. Malam pula lebih panjang dan menakutkan!

Semua keluarga yang mengongsi di situ serba-serbi kekurangan. Kurang makanan. Singkat perjalanan. Malah kehidupan perit itu memberi pengajaran untuk sentiasa bersyukur kepada apa yang ada meski cuma sekubit dan tidak seberapa, Memerah otak untuk memahami apa itu perjuangan hidup! Setiap orang dibungkus dengan ketakutan. Terdengar khabar bahawa Tentera Jepun sedang giat mencari belia untuk dikerah jadi buruh paksa. Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa memberi kekuatan kepada mereka. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Berikat pada pertengahan tahun 1945, dan Bandar Brunei kembali diperintah oleh Pentadbiran Tentara British (British Military Administration) mereka yang mengongsi dan bersembunyi antaranya di Sungai Asam, Pirasong, Talahah, Terusan dan lain-lain tempat lagi pulang semula ke kampung masing-masing terutama mereka yang tinggal di Kampong Ayer.

Banyak rumah yang tidak didiami sekian lama tambah rosak. Ada pula yang musnah sama sekali. Mana-mana lantai yang mumut diganti. Atap-atap yang bocor ditukar. Manamana tiang yang tidak tegap ditambah dengan tiang baru.

Mereka juga mendapati bangunan-bangunan yang terdapat di Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan) termasuk sekolah, masjid serta bangunan kedai habis musnah. Musnah akibat pengeboman berterusan yang dilakukan oleh Tentera Berikat yang bersungguh-sungguh bertekad menghalau dan mengusir Tentera Jepun dari Brunei.

Semua pencerita itu berkata bahawa pihak Tentera Berikat pulih semangat apabila Amerika Syarikat berpihak kepada mereka untuk terlibat sama dalam Perang Dunia Kedua. Sebelum itu, dari hujung tahun 1941 hingga pertengahan tahun 1945, pihak British langsung tidak berbuat apa-apa bagi mencegah kemaraan Tentera Jepun yang mendarat di Brunei. Waktu pendudukan Jepun di Brunei hidup begitu daif dan susah. Mana-mana keluarga yang tidak sempat melarikan diri dikerah untuk bekerja dengan Jepun. Murid-murid sekolah dikerah dan dipaksa untuk bercucuk tanam. Membuat baja dari tahi kerbau. Bertanam sayur dijadikan sebahagian daripada mata pelajaran sekolah. Di samping itu, murid-murid diperintah berjalan ala tentera sambil melagukan lagu Jepun. Siapa yang ingkar dan cuba melawan, nahas!

“….cara pemerintahan Tentera Jepun yang bersifat ganas dan garang, tidak bersopan santun dan sentiasa bercanggah dengan adat dan perilaku tempatan yang diperintahnya,” tulis Pengiran Haji MohamedYusof Pengiran Haji Abdul Rahim dalam bukunya yang bertajuk 'Barat – Timur dan Bom Atom' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, di halaman 16.

Muka surat 16 dan 17 buku tersebut juga mencatatkan, “Di Borneo Utara juga muncul gerakan yang dikenali sebagai ‘Gerakan Oboe’ yang mula bergerak pada akhir tahun 1944, tetapi kerana kekurangan pasukan penggempur serta kekurangan pengangkutan terutama perkapalan, Gerakan Oboe itu hanya dijalankan pada awal bulan Mei 1945 apabila Briged Ke-26 Tentera Australia mendarat di Tarakan, Sabah yang menerima tentangan hebat daripada Tentera Jepun di sana. Manakala Australia dari Divisyen Ke-9 meneruskan pendaratan di Pulau Labuan dan juga Brunei pada awal pagi 10 Jun 1945 dengan pendaratan di Muara, iaitu sebuah daerah kecil di Teluk Brunei yang tidak jauh dari Pulau Labuan tetapi Muara merupakan kemungkinan boleh menjadi tapak bagi pertahanan laut.”

Pendaratan dan penawanan semula Pulau Labuan serta bandar-bandar di sekitarnya dan pendaratan di Pantai Muara, Brunei telah mendapat tentangan hebat daripada Angkatan Tentera Jepun. Menurut catatan yang terdapat di ‘Japanese Peace Memorial’ di Pulau Labuan, sejumlah 3,908 orang Tentera Berikat telah terkorban. Namun akhirnya, Tentera Berikat berjaya menawan seluruh Pulau Labuan, Tarakan, dan beberapa bandar lain di Borneo Utara dan Selatan, malah selepas mendarat di Pantai Muara pada 10 jun 1945, Tentera Berikat telah menduduki Bandar Brunei dan Tutong pada 16 Jun 1945. Brigedier Windeyer yang memerintah Briged Ke-20 telah mengusir Tentera Jepun yang berundur ke pedalaman Limbang, Temburong dan Kuala Belait. Kawasan minyak di Seria serta Lutong di Sarawak juga telah dapat diduduki, sementara kawasan minyak di Miri telah dikawal rapi oleh Briged Ke-20 dari Australia.

Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh Tentera Berikat di bawah pemerintahan Jeneral MacAuthur, Ketua Pemerintah seluruh Tentera Berikat di Lautan Pasifik, yang berjaya membebaskan semula kawasan yang ditawan oleh Tentera Jepun di Asia Tenggara.

Jepun akhirnya menyerah kalah setelah sebiji bom atom digugurkan di Hiroshima pada 6 Ogos 1945. Dan digugurkan sebiji lagi bom atom di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 yang menandakan penutup tirai Perang Asia Timur Raya yang berslogankan 'Kemakmuran Asia Timur Raya'.

Pada 15 Ogos 1945 Majlis Tertinggi Perang yang dihadiri oleh Maharaja Jepun sepakat untuk menyerah kalah kepada Tentera Berikat. Istiadat penyerahan rasmi kekalahan itu dilakukan di atas kapal perang 'Missouri' di Teluk Tokyo pada 1 September 1945. Jepun diketuai oleh Menteri Luar Momoru Shigemitsu dan Jeneral Umesu, Ketua Panglima Tentera Jepun. Pihak Tentera Berikat pula diketuai oleh Jeneral Douglas MacAuthur, Panglima Angkatan Perang Amerika Syarikat. Penyerahan terakhir Tentera Jepun dilakukan di Singapura pada 12 September 1945 yang ditandatangani oleh Field Marsyal Count Terauchi bagi kerajaan Jepun dan Lord Louis Monthbatten bagi pihak Tentera Berikat.

“Semasa dilahirkan, hampir semua perkara dalam hidup berada di luar kawalan kita. Tetapi, kerana kita bertambah tua, kita menjadi lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri,” kata pencerita itu, yang memaksa penulis berfikir berat!. Renung-renunglah!

Attachments