Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif
BILANGAN 117
WARKAH telus untuk semua sahabat jadi perisian kali ini. Wahai para sahabat:
Mari
kita perhatikan fenomena diri kita sendiri. Ketika kita melihat foto
bersama, gambar siapakah yang dicari dan amati terlebih dahulu?
Tentunya, kita mahu lihat diri kita sendiri. Ya, wajah gambar kita
sendiri. Contoh lain, ketika semasa bahagian tubuh kita gatal digigit
nyamuk, ke manakah arah garuan itu? Bukankah ke arah jantung!
Hakikatnya,
dalam keadaan tertentu, manusia sering kalah untuk bertertib, misalnya
ketika beratur untuk menunggu giliran. Tentu ada yang resah. Ada yang
risau. Nah, tanpa disedari setiap manusia mahu dilihat baik, hingga
perkara ini membuatkan dia tidak sanggup menampilkan dirinya yang
sebenar. Semakin kuat dan berlapis dia menutup dirinya, semakin besar
pula kesannya semasa perkara itu ditutup itu terbongkar dan diketahui
umum.
Benar,
tiada manusia yang semua sempurna. Tetapi, mengapa kita mahu menjadi
seperti orang lain sedangkan kita tidak boleh melakukannya. Setiap
manusia mempunyai masalah dan pergelutan hidupnya sendiri. Punya waktu
‘jatuh bangun’ sendiri. Setiap manusia memiliki kehidupan yang tidak
mungkin sama antara satu sama lain.
Setiap
manusia dicipta unik sesuai dengan kehendak Allah. Apabila kita
menyedari perkara ini, sudah sewajarnya kita bersyukur dengan keadaan
diri kita sebagai manusia yang hingga ke hari ini masih diberi peluang
untuk menikmati nafas kehidupan.
Sewaktu
kita menjadi diri sendiri, waktu itulah kita melakukan perbezaan.
Menyusuri kehidupan bukan bermakna perlu menewaskan orang lain dan
selalu membuat lebih baik daripada orang lain. Bukan!
Salah
satu sifat semula jadi manusia adalah tidak pernah puas. Tidak pernah
merasa cukup. Semakin rendah kadar imannya, semakin dia tidak berasa
cukup. Rasa tidak puas dan sering tidak merasa cukup, tambahan pula
didorong keinginan yang kuat bagi mendapatkan sesuatu dengan segera,
kekadang menyebabkannya mengambil tindakan tergesa-gesa. Bertindak
terburu-buru tanpa pertimbangan moral yang teliti. Kewaspadaan
disingkirkan jauh-jauh.
Maka
penulis pun teringat kata seorang pensyarah bertaraf profesor\ semasa
menuntut di Universiti Stirling, Scotland puluhan tahun yang lalu. Dia
memberi anekdot dengan cara berjenaka dan menggelikan hati mengenai
seorang pekerja. Anekdot yang dimaksudkan di sini ialah kisah yang
ringkas.
Sewaktu si pekerja baru mula berkerja, pertanyaan hariannya ialah, “Hari ini kita makan apa, ya?”
Selepas
pekerja itu ditetapkan dalam jawatan dan dia diberikan kepercayaan
untuk menguruskan beberapa kerja, pertanyaannya turut berubah, “Hari ini
kita hendak sarapan di mana, ya?”
Kemudian
setelah dia menjawat jawatan tinggi, pertanyaannya pula berubah nada,
“Oh ya, hari ini kita sarapan dan makan dengan siapa?”
Hah,
‘cukup’ setakat itu sajakah pertanyaan pekerja itu. Tentu belum cukup,
bukan. Pertanyaannya akan terus berkembang, ya tidak cukup setakat itu.
Fikir-fikirlah, wahai para sahabat.
Makna
kata ‘cukup’ itu amat relatif atau nisbi. Malah seingat penulis, semasa
masih berkerja tentunya, dalam perbualan ketika rehat sarapan atau
makan tengah hari, sering definisi ‘cukup’ diambil ringan. Malah
dijadikan bahan gurauan. Bukankah begitu sahabat.
Contoh
mudah ialah seperti : “Ku nak beli kereta baru, cukupkah gajiku setelah
ditolak perbelanjaanperbelanjaan lain!” Lazimnya ini pertanyaan orang
bujang.
Jika
sudah beristeri dan punya anak, pertanyaan ini pula diajukan kepada
diri sendiri: “Ku nak makan angin keluar negara bersama isteri dan
anak-anak, cukupkah wangku!”
Atau : “Ku mahu memiliki rumah sendiri, mampukah dan cukupkah wangku!”
Tidak
salah melakukan pelaburan bagi masa depan. Semua orang mahu jadi
senang. Tiada seorang pun yang mahu hidup susah. Tetapi, bagaimana
kesenangan itu diperoleh wajar menjadi fokus utama. Ya, bagaimana
kekayaan itu didapat.
Kiranya
kekayaan dan kesenangan itu didapat dengan muslihat dan tipu daya,
harta itu habis begitu saja. Tiada berkah. Namun, mereka yang menganggap
semua kesenangan dan kekayaan yang dimilikinya ini adalah kurnia
anugerah Allah, terdorong berkongsi kasih sayang dan memberi hingga
hidupnya dilihat tenang, aman dan penuh bahagia.
Wahai
para sahabat, maka berkatalah cendekiawan yang budiman bahawa manusia
ini semacam dibahagi kepada tiga kelompok. Kelompok ‘si polan bodoh’
mendakap erat semua miliknya dan bimbang hak miliknya akan berkurangan.
Sentiasa bimbang terhadap sebarang perubahan yang berlaku. Segala
tindakan tidak berasaskan fikiran. Lebih banyak menurut emosi daripada
akal fikiran.
Benar
ya memang benar. Dalam tubuh manusia ada sel aktivasi, sel otak yang
mempengaruhi emosi kita. Mempengaruhi apa yang kita nampak. Tetapi apa
yang kita nampak bukan hanya dengan pancaindera yang bernama mata,
tetapi sewajarkan kita semua lihat melalui mata dengan hati dan otak. Ya
mata hati! Ya, dengan hati dan otak! Faham-faham sajalah.
Kelompok
‘si polan pandai’ sentiasa belajar menerima kepastian. Bersedia
menyesuaikan diri dengan perubahan. Malah siap siaga menghadapi setiap
perubahan.
Benar
ya memang benar. Mari kita kawal apa yang kita dengar melalui telinga.
Mari kita kawal apa yang kita fikirkan melalui minda. Mari kita kawal
apa yang kita percakapkan melalui mulut dan lidah. Dan mari kita kawal
apa yang kita lihat melalui mata. Faham-faham sajalah.
Kelompok
ketiga ialah ‘si polan yang arif’ menghormati nilai ketidakpastian. Dan
menerima kepastian tanpa berubah. Maknanya kebenaran tetapi kebenaran.
Baginya memiliki sesuatu sama sahaja dengan tidak memiliki.
Benar
ya memang benar. Tidak gemar menjadi pemerhati orang lain, pemerhati
sikap orang lain dengan tujuan untuk menila, menghukum dan membuat
perbandingan antara amalan orang lain dengan diri sendiri.
Hubaya-hubaya,
ada juga orang yang sentiasa merasa tidak puas hati atau merasa tidak
cukup dengan kecekapan yang dimiliki, dengan kesenangan yang ada, dengan
harta benda yang dimiliki sehingga selalu bertanya mengapa tidak
seperti orang lain yang seolah-olah segalanya berjalan lancar dan mudah?
Lalu hanya pandai mengkritik, hanya tahu kesalahan orang lain.
Kesalahan diri sendiri cuba diselindung. Selindung di sebalik sarangan
laba-laba!
Perasaan ego hendak ditonjolkan.
Perasaan
rendah diri mahu disembunyi. Eloklah bina keyakinan diri dengan mencari
reda Allah Subhanahu Wata'ala supaya rasa ego dan bongkak itu
beransur-ansur pupus.
Bukankah, lebih baik dinilai bodoh tetapi
benar, daripada dianggap cerdik tetapi berbohong! Dunia dalaman kita
menentukan dunia luaran kita.
Aduhai,
berapa ramai orang yang melihat sesuatu kejayaan dari sudut luaran.
Setiap orang mempunyai masalah dan kegembiraan masing-masing. Sebenarnya
kita bertanggungjawab kepada diri kita sendiri. Nah, ambil keputusan
dalam hidup kerana keputusan itu memang benar. Jangan ambil keputusan
disebabkan kita andaikan ianya mudah. Cabaran dalam mengambil keputusan
yang benar lazimnya datang dari dalam diri kita sendiri.
Wahai para sabahat, bacalah anekdot kisah di bawah ini.
“Syahdan, si polan yang mempunyai musuh hendak melihat wajah musuhnya.”
Musuh itu sentiasa mengekorinya ke mana saja si polan pergi.
Semua
rancangan si polan dihalang. Cita-cita si polan yang hampir tercapai
digugat hingga tidak berjaya. Kemajuan masa depan si polan disekat
dengan pelbagai halangan, tentangan dan serangan. Si polan tidak boleh
meloloskan diri. Ada-ada sahaja ikhtiar musuhnya itu agar si polan tidak
maju.
Si polon dengan nada sedih berkata, “Tidak boleh lama-lama begini.”
Kemudian pada suatu malam, si polan berjaya memerangkap musuhnya yang sedang bertopeng itu.
Si
polan menarik topeng musuhnya. Lihat dan teliti wajah musuhnya selama
ini. Tetapi ternyata yang dilihatnya itu adalah dirinya sendiri.
Ternyata musuhnya itu adalah dirinya sendiri.
Sesungguhnya,
si polan itu langsung tidak punya musuh. Orang yang dianggapnya selama
ini musuh, ya musuhnya, adalah dirinya sendiri.”
Fikir-fikirlah.
Penulis pun teringat kepada sebuah pepatah yang menyebut, “Belon dapat terbang bukan kerana warnanya tetapi kerana isinya!”
Wahai
para sahabat. Masing-masing punya masalah. Berat ataupun ringan. Senang
ataupun sukar. Itu namanya kehidupan. Namun untuk diri sendiri, kita
bertanggungjawab penuh untuk menata dan menatang dengan lebih baik lagi.
Lebih baik kita berkongsi dengan memberi kesempatan kepada orang lain bergembira dengan apa yang kita miliki.
Kerana
itu, apabila berlaku suatu kejadian yang tidak diingini, kita perlulah
menyemai sangkaan baik pada Allah. Pada waktu yang sama wajarlah terus
berusaha dan berdoa supaya usaha itu mendapat kejayaan dengan
keberkahan.
Pada
ilmuan Muslim menyatakan bahawa qadak dan qadar adalah ketetapan Allah
yang ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmunya yang maha
tinggi, disusuli dengan kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau
asap memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang serta planet
dan itulah yang sebenarnya berlaku tanpa dapat dihalang. Satu bahagian
oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen bagi menjadi air
(H2O), dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai bila-bila.
Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak. Hakikat ini juga tidak dapat diubah.
Begitulah
juga Allah menetapkan mata sebagai alat bagi melihat. Telinga bagi
mendengar. Fungsi ini berterusan sampai bila-bila. Allah menetapkan
setiap yang hidup pasti merasai mati. Tidak ada seorang pakar perubatan,
pakar saintis manapun yang boleh mengubah kenyataan ini.
Semua
ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah kerana ia adalah ketetapan
Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaan-Nya yang tanpa
batas dan ia menjadi hukum alam yang dikenali sebagai “hukum sebab
musabab dan sebab akibat”. Maknanya adalah takdir. Kerana itu apabila
berlaku suatu kejadian atau suatu peristiwa yang tida diingini, tak
kiralah melibatkan diri sendiri, keluarga dan orang lain, manusia
wajarlah menyemai sangkaan baik kepada Allah. Jangan sekali-kali
berburuk sangka kepada Sang Pencipta. Tinggal lagi, manusia tidak mampu
menyalami serta memahami rahsia dan hikmat itu.
“Justeru,
hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah
sebahagian daripada ketetapan qadak dan qadar,” begitu rumusan para
ilmuan Muslim.
Wahai para sahabat,
Bila-bila
masa sahaja, kita dapat menciptakan emosi kita sendiri, bukan! Apabila
anda yakin, maka diri anda sendirilah yang mewujudkan perasaan itu.
Bukan orang lain. Bila anda sedih, andalah yang menyebabkannya. Apabila
anda bersemangat tinggi, andalah yang membentuknya. Tidak ada sesiapa
pun ataupun yang apa pun yang boleh memberi kesan ataupun mengubah emosi
anda selagi anda tidak membenarkan diri anda sendiri berubah.
Adakah
ini benar? Mari fikirlah hal ini. Mengapa dua orang yang mengalami
pengalaman yang sama mempunyai perasaan yang berbeza mengenai pengalaman
itu? Ada orang takut dan gementar hendak bercakap di hadapan orang
ramai manakala orang lain tenang saja. Ada orang bosan pergi ke pejabat,
menakala orang lain begitu bermotivasi. Ada orang tercabar dan mendapat
inspirasi apabila menghadapi rintangan, sementara orang lain kecewa.
Nah,
dapatkah anda lihat, bukan apa yang berlaku di luar yang memberi kesan
kepada seseorang, tetapi apa yang berlaku dalam diri mereka sendiri.
Lalu
kita merenung diri mengenang masa lampau yang telah berlalu. Bagi kita
yang sudah tergolong 'warga emas’ ini, ianya bukan tempuh singkat.
Setiap kali kita berseorangan mengenang kisah lampau maka kita tidak
dapat mendustakan masa yang telah dikurniakan Allah.
Allah
masih memberi ruang masa untuk berfikir tentang kisah silam dan
merenung masa berbaki. Ya, masa berbaki yang kita masih diberi peluang
untuk terus menghirup udara segar. Tetapi ya, banyak pertanyaan yang
dikaitkan dengan semalam dan kisah masa lampau tidak mampu dijawab
dengan rasa lega. Malah ia mencuakkan perasaan yang tidak mampu
dihilangkan melalui aroma pelancongan atau berhibur sambil berkaraoke.
Hati
dan perasaan sentiasa berdebar atau mungkin sangat gementar. Mungkin
ada yang berpura-pura tidak mahu berfikir. Membiarkan hari-hari yang
telah berlalu pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku. Masya-Allah,
Subhanaalah, Allahu Akbar. Jika kita sehat sejahtera, bermakna Allah
telah memberi sekurang-kurangnya dua nikmat yang berbeza, iaitu nikmat
kesihatan dan nikmat masa.
Fikir-fikirlah, sahabat!