Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif
BILANGAN 122
BUDAYA
lahir dari pemikiran manusia, dari imaginasi kreatif manusia, dari
pengalaman bersama anggota bangsa itu berinteraksi dengan alam
sekelilingnya. Dari pengalaman itu manusia membentuk pandangan hidupnya,
mencipta nilainya, falsafah hidupnya tentang pelbagai prinsip, misalnya
tentang prinsip atau nilai keadilan, nilai permuafakatan dalam
kehidupan bermasyarakat, nilai moral, nilai kemanusiaan, dan sistem
sosial. Nah, di sebalik setiap hasil seni, kesusasteraan, dan sistem
sosial, ekonomi dan politik yang terdapat pada satu-satu bangsa ada
nilai dan falsafah atau prinsip tertentu yang membolehkan kita mengenali
tamadun dan jati diri bangsa itu, dan membezakannya daripada jati diri
atau tamaduan bangsa lain.
Yang
pasti, manusia tidak akan kekal hidup di dunia ini jika mereka tidak
mempunyai akal dan daya kreatif untuk mencipta perubahan dan
pembaharuan, dan dengan demikian untuk terus memperbaiki keadaan
hidupnya sepanjang zaman. Tetapi yang penting kita sedari ialah proses
perubahan atau proses dinamik budaya ini tidak berlaku secara meliar.
Ada proses atau peraturan asas dalaman tertentu yang mengawal
pertumbuhan dan perkembangan budaya itu.
Asas itu terletak pada nilai-nilai pokok, atau core values
tertentu, yang dipegang dan dikongsi bersama oleh seluruh anggota
masyarakat sejak turun-temurun sebagai panduan hidup bersama yang
terbukti tahan zaman, 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.'
Nilai
yang sudah tahan ujian zaman ini tidak hanya bersifat khusus
berdasarkan pengalaman sesuatu bangsa sahaja, tetapi boleh juga bersifat
sejagat mahupun serantau. Maksudnya nilai itu lahir dari minda atau
fitrah manusia sejagat. Fitrah manusia akan menolak nilai budaya yang
tidak sesuai, nilai yang boleh merosakkan manusia atau anggota
masyarakat serta mengancam kemantapan dan keselamatan masyarakatnya.
Misalnya,
untuk benar-benar memahami budaya Melayu tidaklah cukup sekadar kita
mengetahui kulitnya, bentuk luarannya atau aspek ''upacara''nya. Tidak
cukup kalau kita berkata bahawa kita adalah bangsa Melayu semata-mata
berdasarkan perbuatan kita mengamalkan ciri-ciri luarannya sahaja
sedangkan nilai dalamannya tidak kita fahami dan tidak diamalkan dalam
kehidupan seharian, atau tidak dijadikan acuan dalam pembangunan negara
bangsa. Faham-faham sahajalah!
Untuk
memahami sistem nilai budaya Melayu, kita harus memahami bagaimana
orang Melayu berfikir. Ringkasnya kita boleh berkata bahawa pemikiran
Melayu bersifat sintesis atau holistik, iaitu menyeluruh. Orang Melayu
menggunakan data dari pengalaman dan pemerhatian empirikal (bukan teori)
di sekeliling alam mereka, untuk membentuk pandangan hidup, atau
falsafah hidup, mencipta makna yang mesej dan nilainya dapat kekal
sepanjang zaman.
Kaedah
berfikir orang Melayu, pun boleh juga diluaskan kepada majoriti warga
negara serumpun, tidak sahaja bersifat empirikal, dengan menggunakan
kuasa inderawi atau pancaindera mereka untuk memahami realiti alam di
luar diri mereka, untuk memahami kelakuan manusia dan keadaan sosial,
tetapi juga bersifat abstrak dan metafizik. Warga negara serumpun
berfikir melalui metafora, melalui kiasan, melalui perbandingan, melalui
tamsil ibarat dan melalui lambang. Misalnya dalam pantun empat kerat,
rangkap pertama yang disebut sebagai rangkap pembayang maksud, digunakan
secara kreatif (bersadarkan permerhatian empirikal dan imaginasi yang
mendalam) untuk melahirkan maksud pada rangkap kedua berikutnya.
Berkaitan
dengan sastera budaya pula, ianya mempunyai tempat yang penting dalam
mana-mana negara serumpun. Kesusasteraan adalah pengucapan atau tulisan
yang tergolong dalam jenis yang kreatif-imaginatif dan berlainan dari
tulisan-tulisan yang informatif dan persuasif seperti berita dalam
surarkhabar, buku ilmu pengetahuan dan iklan. Tulisan-tulisan yang
informatif dan persuasif fungsinya sebagai alat bagi melahirkan akibat
atau hasil di luar tulisan itu sendiri. Tulisan kreatif-imaginatif,
misalnya pantun, syair, puisi, drama atau apa saja jenis genre sastera
yang lain, kepentingannya terletak pada karya itu sendiri sebagai
sesuatu yang seolah-olah boleh berinteraksi dengan intelek dan emosi
pembaca, pendengar atau khalayaknya. Erti tulisan karya itu terkandung
pada keseluruhan karya itu. Kesatuan karya pula terletak pada
komponen-komponen penting bentuknya seperti metaforanya, perkembangan
imej, pola-pola bunyi dan lambang. Unsur-unsur ini tidak berdiri sendiri
tetapi saling sandar-menyandar dan fungsional keadaannya sehingga
sekalian mewujudkan suatu bentuk yang baik lagi sempurna.
Bertolak
dari pemikiran inilah penulis teruja untuk ikut serta bagi pertama
kalinya dalam Perhimpunan Sastera Budaya Negara Serumpun (PSBNS) kali
Ke-3, berlangsung pada 23 hingga 25 April 2015 yang baru lalu.
Perhimpunan ini anjuran Sekretariat PSBNS dengan kerjasama Badan Bahasa
dan Sastera Sabah (BAHASA), ketuanya ialah Jasni Matlani.
Penulis
beli tiket kapal terbang pada petang 22 April itu juga, lalu ajak
isteri untuk pergi ke Kota Kinabalu keesokan harinya. Perhimpunan ini
berlangsung di Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya, KK, Sabah. Penulis
dan isteri bertolak pada petang 23 April dengan pesawat RB, jadi
penulis tak sempat hadir pada pembukaan rasminya pada pagi 23 April itu,
dan juga tak ikuti program hari itu kecuali sebelah malamnya saja.
Pagi
Khamis, 23 April itu, penulis kirim pesanan ringkas melalui telefon
bimbit kepada Haji Jawawi untuk minta pertolongan agar nama penulis dan
isteri dicatat sebagai pemerhati perhimpunan itu sahaja. Minta tolong
tempahkan sebuah bilik di hotel yang sama di tempat penginapan para
peserta perhimpunan. Para peserta perhimpunan ini datangnya daripada
Sabah, Sarawak, Semananjung Malaysia, Negara Brunei Darussalam,
Indonesia dan Singapura.
Penulis
sedia maklum Haji Jawawi, seorang aktivis belia sastera dan budaya,
jarang sekali mungkir dalam perhimpunan serupa ini baik dalam negeri
mahupun luar negara pasti menghadiri perhimpunan ini. Haji Jawawi bin
Haji Ahmad (nama penanya HJR) adalah penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara (The S.E.A. Write Award) pada tahun 2004 melalui antologi puisi
bertajuk ''Lahar''. Alhamdulillah, penulis dan isteri diambil oleh HJR
dan isterinya yang sudahpun awal datang ke KK dengan menggunakan kereta
sendiri pada 22 April lalu. Ikut serta ialah Prof. Madya Ampuan Dr. Haji
Brahim bin Ampuan Haji Tengah (nama penanya Rahimi A.B), penerima
anugerah The S.E.A. Write Award pada tahun 2005. Rahimi A.B. adalah
Ketua ASTERAWANI manakala HJR adalah Ketua II ASTERAWANI. Terima kasih
sahabat, alhamdulillah.
Dalam
perjalanan menuju ke tempat penginapan dari airport itu, penulis
mendapat tahu bahawa Ibnu 'Abdir-Raheem (nama pena bagi Pehin Orang Kaya
Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma
Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim) dan isterinya, serta Haji Hakim bin
Haji Yassin pun juga ikut dalam perhimpunan ini. Mereka naik pesawat RB
tiga hari lebih awal daripada penulis.
Ibnu
'Abdir-Raheem pernah belajar di Madrasah Al-Juned, Singapura sebelum
melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Klang, Selangor. Sempat jadi siswa
di Universiti Malaya dari tahun 1971 hingga 1973 tapi ''tidak dibolehkan
mengambil peperiksaan akhir bagi ijazah Pengajian Islam'' bukan kerana
tidak layak. (Tolong rujuk dan baca Cetusan Minda saya bil : 104 dalam
Pelita Brunei keluaran Sabtu, 14 Disember 2013 yang menyentuh isu
penarikan balik pelajar Brunei dari Malaysia ini). Meneruskan pengajian
di University of Lancaster, England dan berjaya memperolehi ijazah.
Ibnu
'Abdir-Raheem bergiat dalam penulisan syair. Bukunya bertajuk ''Syair
Madah Permata'' terbit pada tahun 2004, kemudian dicetak lagi bagi edisi
kedua pada tahun 2013 oleh DBP, Brunei. Edisi ini dicetak dalam dua
versi, iaitu Rumi dan Jawi, di samping ditaruh nombor pada setiap
rangkap. Edisi ini memberi kemudahan untuk para pengkaji sastera, jika
mahu membedah-uji karya ini!
Dr.
Zurinah Hassan, penyair tersohor Malaysia, secara akademik pernah
membedah-ulas ''Syair Madah Permata'' semasa PSBNS Ke-2, pada 23
November 2014 di Bandung, Indonesia. Pun dibedah-karya oleh penulis dan
penyair Indonesia, Handoko F. Zainsm pada Mac 2014 di Universitas
Al-Azhar, Jakarta. Kedua-dua acara ini dihadiri oleh Ibnu 'Abdir-Raheem
bersama isterinya.
Haji
Abdul Hakim bin Mohd Yassin pula adalah mantan Pengarah DBP, kini
aktivis sukarelawan dan masih cergas libatkan diri dalam bidang sastera
budaya tanah air dan serantau. Dulu giat menulis esei sastera,
kritikannya tajam dan membina tapi penuh berhemah. Penulis teruja dengan
esei sasteranya bertajuk ''Dua Buah Novel Mutakhir Sebuah Pembicaraan
Perbandingan'' leat tahun 90-an, yang ulas-sentuk novel ''Orang Asing''
karya Chong Ah Fok.
Malam
23 April itu ada acara persembahan malam seni berlangsung di tingkat 12
di hotel tempat peninapan majoriti para peserta perhimpunan. Sambil
menikmati hidangan, kita dihidangkan dengan nyanyian, tarian dan
deklamasi puisi yang telah divideokan. Penulis sendiri, Haji Jawawi, dan
isteri kami masing-masing dan Prof. Madya Haji Ampuan Ibrahim sudahpun
mengalas perut dengan satay ayam, kambing dan satay urat di gerai makan. Bergegas ke gerai makan itu sebaik saja daftar masuk ke hotel penginapan.
Nah,
sebaik sahaja masuk ke dewan acara itu penulis lihat terdapat lagi
penggiat dan peminat sastera budaya dari tanah air mengikuti dalam
perhimpunan itu. Ada Dr. Chong Ah Fok (datang dengan flight RB), nama
penanya Eyuman. Telah menghasilkan tiga buah novel, iaitu ''Orang
Asing''; ''Angin Pagi'' dan ''Titik-Titik Peluh'' selain rajin menulis
cerpen dan puisi. Dia ini tenaga pengajar di Sekolah St. Andrew, Brunei.
Katanya, nasib baik dibenarkan bercuti semata-mata bagi ikut
perhimpunan ini.
Nampak
juga Dr. Hajah Dayang Fatimah binti Haji Awang Chuchu, Pensyarah UBD,
dengan suaminya Cikgu Haji Gapor. Pun ada Haji Yusuf Murni dan Haji Daud
bin Taha dengan isteri masing-masing. Mereka datang ke KK dengan
kenderaan sendiri dengan Haji Daud menumpang kereta Haji Yusuf Murni.
Tunggu dulu, sahabat. Haju Yusuf Murni aktivis belia, sastera dan
budaya.
Penulis
menadah syukur kerana dapat bertemu dengan Haji Daud setelah lebih
beberapa tahun tidak bersua dengannya. Nostalgia mula menghimbau,
penulis duduk di sisinya sambil bual-bual jenaka. Sejenak terkenangkan
kisah lama!
Kan
halnya, bila ternampak Haji Daud bin Taha (nama penanya Mahabiru)
penulis lantas teringat kisah kami semasa di Temburong pada akhir tahun
60-an. Waktu itu Haji Daud masih seorang guru, ditukar mengajar ke
sebuah sekolah di Bangar. Penulis ketika itu diambil berkerja secara
sementara sebagai pegawai di Jabatan Imigresen di Bangar dan tinggal di
Rumah Persinggahan yang terletak di Kampung Menengah, Temburong. Rumah
Persinggahan ini seakan rumah kongsi sederet yang punya enam buah bilik.
Di sebelah kiri Rumah Persinggahan itu adalah tanah perkuburan puak
Murut, di belakangnya pula ialah Sungai Temburong. (Jangan keliru, ini
bukan ''Rest House'' di Bangar yang dimomokkan ada ''hantu penunggu''
itu). Di Temburong ketika itu ada dua tempat yang dipanggil sebagai
Rumah Persinggahan atau ''Rest House''. Kami tinggal di rumah
persinggahan di Kampung Menengah. Tika itu masih bujang.
Malam-malam
kami bertiga duduk di serambi bual-bual ringan setelah nikmati
hidangan. Nah, kami ketika itu gunakan tambak jenis ''semawar'' untuk
masak nasi, lauk pauk. Tika itu mana ada dapur gas di Temburong. Dalam
bab masakan ini Haji Daud sering masak lauk rebus, bubuh asam aur-aur
dan kunyit sikit boleh habis nasi dua pinggan. Woooo, sedapnya! Kami
saling makan bersama macam adik beradik. Ikut sama ialah aruah Omar Johari (moga dicucuri rahmat), seorang pegawai Cawangan Khas (SB) berpangkat Inspektor pun tinggal di situ.
Di
situlah penulis mula berkenalan dengan Mahamiru. Dia ini rajin menulis
puisi. Sebaik saja jadi Pensyarah di UBD setelah dapat ijazah sarjana
dari UKM, Malaysia, dia semacam menggantung pena. Penulis jarang baca
lagi puisinya atau mungkin penulis terlepas pandang. Maaf cakap,
sahabat. Kenang-kenanglah kurapak-kurapak kita di Bangar! Masih muda
remaja tu, kini udah jadi warga platinum!
Pun
ada juga bekas guru Sekolah Menengah Awang Semaun dengan isterinya,
iaitu Cikgu Awang Ramli bin Aliomar. Dia ini datang dengan kereta
sendiri. Itulah perwakilan Brunei dalam perhimpunan ini, iaitu 15 orang
semuanya.
Acara
kemuncak persembahan malam seni ialah ialah putaran video deklamasi
puisi yang bertajuk ''Gaza Bermandi Darah Negara Menerima Musibah''
karya Datuk Haji Mohammad Din Yusoh, kelahiran Negeri Melaka. Bekas
pelajar Madrasah Al-Juned, Singapura dan Kolej Islam Kelang. Malam itu
dia berpakaian sederhana, tokoh korporat yang berjaya. Masa menuntut di
Kolej Islam Kelang dia tergolong anak yatim. Pernah hendak diberhentikan
sekolah kerana tidak mampu bayar yuran persekolahan, penuntut Brunei
yang belajar di kolej itu bersatu hulurkan duit masing-masing untuk
bayar yuran itu. Kenangan itu amat membekas dalam jiwanya. Dan tika dia
berkunjung ke Brunei pada minggu kedua September 2014, dia yang
seharusnya diraikan oleh bekas penuntut Al-Juned dan Kolej Islam Klang
itu semacam ''mengimbau keikhlasan ihsan'' pelajar Brunei di Kelang
lebih 50 tahun yang lalu. Maksud penulis ialah Haji Mohammad Din Yusoh
yang membayar atau berbelanja jamuan malam Alumni Kolej Islam di sebuah
resturan terkemuka di Brunei walhal tika itu dia adalah 'tetamu' kepada
bekas rakan-rakannya. Itu kehendak dan niatnya. Gimana mahu tolak walhal
rata-rata bekas rakan sekolejnya itu lebih daripada mampu untuk
membayar jamuan itu.
Puisinya
ini agak panjang, menceritakan tentang penderitaan warga Palestin oleh
kerakusan ''bangsa Yahudi angkuh dan megah, tak boleh ditegur tak boleh
dimarah, siapa yang marah kena ketulah, itulah Yahudi penghisap
darah''. Hanya kurang 17 minit durasinya yang hampir satu jam lihat
visual dan dengar deklamasi yang telah dirakam itu. Tapi amat menyiksa minda kerana penderitaan yang dialami warga Palestin itu.
Kan
halnya, puisi ''Gaza Bermandi Darah Negara Menerima Musibah'' ini
pernah dideklamasikannya sendiri bersama mantan Perdana Menteri
Malaysia, Abdullah Ahamd Badawi pada 5 Ogos 20145 di Rumah Badawi, Kuala
Lumpur. Pun juga didendangkan pada 11 September 2014 oleh Alumni Kolej
Islam Klang di Brunei; di Melaka tempat kelahirannya di Malam Cinta
Rasul yang dihadiri hampir 100 ribu peserta. Buku puisi 10 muka surat
ini dicetak 200,000 (dua ratus ribu naskhah) atas perbelanjaan sendiri
dan diberi secara percuma. InsyaaAllah, akan disambung memori ini di
siri yang lain. Disudahi dengan rangkap-rangkap puisi ini yang dimuat di
muka depan buku puisi ini. Mohon bangsa dan negara kita jangan
dikhianati, jauhkan musibah dan musuh dalam selimut yang kita tak
kenali, semoga kekal bahagia bangsaku ini, dunia dan akhirat kita
diberkati, itulah Melayu yang mempunyai jati diri dan integriti, bangsa
bermaruah akan dihormati. Jumpa lagi di siri lain mengenai PSBNS ini. Di
tanah air, PSBNS ini mula diterajui oleh Ibnu 'Abdir-Raheem.
InsyaaAllah, akan disambung. Terima kasih, kanda!