APABILA kita teringatkan perihal sesebuah perpustakaan, ramai yang akan terbayangkan secara spontan mengenai pelbagai jenis penerbitan umum, khusus dan ilmiah yang disediakan di dalam bentuk fizikal (hardcopy) dan online. Apabila ditanya apakah lagi yang

30/12/2015

cetusan minda

Bilangan 129

SEEKOR ibu penyu merangkak, mengheret bersamanya kerang berat yang sudah diliputi teritip daripada pelayaran jauh di dasar lautan. Dengan segala kepayahan dia menyusur dan menaiki pantai memilih ruang paling selamat. Mula mengorek lubang, air mata ibu penyu mengalir dan telur digugurkan sebutir demi sebutir. Lepas itu telur-telur itu ditimbus dan dibiarkan di situ. Si ibu penyu berpatah balik turun ke bibir pantai dalam gelap malam, tanpa toleh ke belakang. Telur-telur itu ditinggalkan terdedah kepada simpati alam.

Bagi kita, ya manusia, kekadang bertanya, ibu jenis apakah ini? Bertelur lalu ditinggalkan. Telur akan menetas di mana anak penyu memulakan hidup tanpa perhatian. Bahkan lebih sukar, pantai tempat telur penyu itu menetas adalah daratan walhal habitat mereka, ya tempat kehidupan mereka, adalah di lautan luas. Dan untuk sekian kali lagi kita bertanya, ibu jenis apakah itu? Masya-Allah.

Namun keajaiban alam terbukti, ketika sampai waktu menetas, setiap anak penyu merobek kulit nipis telur, menguak lemah timbunan pasir lalu dengan sopan mengatur langkah ke dunia baru mencari bibir pantai. Kemudian seekor demi seekor berenang memulakan kehidupan ke habitat mereka sebenar iaitu samudera luas. Nah, fikir-fikirlah apakah yang dapat kita pelajari! Apakah yang tersembunyi di sebalik keajaiban ini? Fikir dengan otak sebelah kanan, renung dengan otak sebelah kiri.

Di tengah samudera luas itu ketika sampai waktu menetas, rupa-rupanya sang ibu penyu dengan kakinya mengapai semacam memberi isyarat melalui gelombang ke arah daratan, ke arah pasir, ke arah di mana anak-anak penyu berusaha keras bagi memulakan titian hidup di lautan. Busa dan gelombang kasih sang ibu penyu menjadi tali ghaib anugerah dan kuasa Allah menarik semua anak ke arahnya dalam jarak yang jauh dan berbeza. Masya-Allah. Itulah sunatullah Allah. Nah, anak-anak penyu itu berenang dalam landskap dasar laut yang indah. Betapa keajaiban kasih sayang sang ibu penyu dan anak-anaknya menguja kita, ya manusia ini, untuk mengambil iktibar lalu tawaduk berlutut betapa kekuasaan Allah itu ada di merata-rata dalam setiap ciptaannya.

Lalu kita terfikir tentu di sebalik dunia fizikal ini terdapat tali ghaib. Ia menggerakkan manusia di sebalik seluruh tingkah laku atau kelakuan fizikal kita. Nah, di sanalah terdapatnya ruang doa, ya doa, daerah aura, sentuhan lembut dan kasih sayang. Semua ini contoh tali-temali ghaib yang menggerakkan manusia tanpa kita sendiri sedari.

Benarlah, bila kita terdengar seorang anak yang lama menyepi diri semena-mena teruja pulang ke ribaan ibunya membawa sekeping hati mengemis kemaafan. Bila kita mendengar deklamasi puisi tentang kasih sayang seorang ibu, baca puisi tentang ibu, jiwa kita tersentuh. Apakah itu bukan tali-temali ghaib.

Lalu seorang hamba Allah yang lalai dengan dosa, misalnya, semena-mena cepat bertaubat, minta ampun kepada Allah. Kembali dengan ribuan keinsafan. Apa yang menggerakkan hidayah Allah ini? Apakah langkah ini sesungguhnya adalah daripada doa orang tuanya masa lampau, doa ibu bapa kita untuk kebaikan zuriatnya. Atau doa kawan dan sahabat-sahabat yang tidak kita ketahui yang berdoa untuk kebaikan kenalan, kawan dan sahabat-sahabatnya. Doa itu menjadi tali ghaib yang menggerakkan hidup!

Syahadan dikisahkan ketika Nabi Khaidir bermusafir dengan Nabi Musa. Antara catatan kisahnya ialah mengenai dengan mereka berdua menemui sebuah kampung. Di sana Nabi Khaidir nampak sebuah binaan dinding yang condong dan hampir roboh. Nabi Khaidir mengerah seluruh keringat menggunakan segala tenaga empat keratnya cuba membetulkan semula dinding itu.

Ketika ditanya oleh Nabi Musa tentang semua itu, Nabi Khaidir memberi jawapan bahawa di bawah dinding itu terdapat harta pusaka untuk dua orang anak yatim yang masih kecil sedangkan kedua-dua orang tuanya orang soleh. Sekiranya dinding itu tumbang, nescaya akan terbongkarlah harta tersebut dan ia tidak sempat untuk dimiliki oleh anak yatim tadi. Nah, kenapakah Nabi mulia diutus untuk membuat kerja ini? Riwayat menceritakan harta itu milik datuk mereka pada generasi ketujuh yang berniat agar dengan harta itu dapat membantu zuriatnya yang susah lagi soleh. Niat yang baik itu menjadi tali sehingga Allah menggerakkan Nabi-Nya untuk melakukan kerja menyelamat hak harta tersebut!

Hubaya-hubaya, dalam meniti kehidupan ini di samping segala usaha dan ikhtiar, gunakanlah tali-temali ini. Marilah kita sama-sama mengikhlaskan niat, sentiasa menadahkan tangan memanjatkan doa buat ibu bapa anak, sanak saudara, kawan-kawan dan sahabat-sahabat tanpa pengetahun mereka agar tali ghaib ini sentiasa menarik mereka agar jangan tersasar dari laluan hidup sebenar. Biarlah ia menjadi penggerak hidup dengan irama dan aura kebaikan berpanjang merentasi zaman.

Kebaikan dan curahan kasih ibu dan naluri sayang alamiah seorang anak meruntun penulis untuk menyelak majalah Bahana, Disember 2013 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Brunei Darussalam. Muka surat 13 majalah tersebut memuatkan puisi bertajuk 'Bonda' karya Sosonjan A.Khan antaranya lembut merakam:

Mataharimu yang terbit di belakangku
berangkat merangkak lalu berdiri
menebar kepak sejuta pelangi
langit yang ku junjung
dan bumi yang ku pijak
cinta tiada batasnya!
Wahai bonda
di hari merinjis harum gerbang berbunga-
bunga
ribut salji di pematang
untuk siapa bakal kecundang?
Wahai bonda
ku pandangi pintu langit yang pecah
menerobos tepat
menacap siang mencarik kelambu mimpi
membujur lalu melintang patah.

Nah, cetusan minda siri ini adalah ilham daripada penghayatan penulis membaca puisi Sosonjan A. Khan ini bagi kali kedua.

Pun cambahan ilham ketika penulis mengulang baca (rapat kali sudah dibaca tapi tergerak hati untuk membaca lagi) buku Syair Madah Permata karya Ibnu ‘Abdir-Raheem yang penulis panggil dia sebagai kanda. Buku syair ini edisi kedua cetakan pertama 2013 dicetak oleh DBP, Brunei Darussalam dalam dua versi, iaitu Rumi dan Jawi. Pun disertai dengan nombor pada setiap rangkap syair. ‘Prakata’ Pengarah DBP menyatakan bahawa Ibnu ‘Abdir-Raheem adalah antara penulis mapan tanah air yang prolifik dan produktif dalam menulis syair.

“Penulis mengongsikan pengalaman berdasarkan karier yang beliau lalui antaranya tentang ilmu, kekeluargaan, peristiwa sekeliling, kehidupan berbangsa dan bernegara, cinta kasih rakyat kepada raja serta ajaran agama Islam melalui perpaduan diksi, rima, korelasi dan rangkap yang dibangunkan dalam bahasa persuratan syair yang bernuansa romantisme sesekali melankolis. Di atas semuanya, syair ini adalah buah pandangan dan nasihat penulis. Menyelusuri lebih jauh, syair ini bernuansa Islami,” demikian antara lain kata Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin dalam ‘Prakata’ buku Syair Madah Permata.

Manakala mantan Pengarah DBP, Dato Paduka Haji Alidin bin Haji Othman, lulusan Universiti Malaya dalam ‘Sekilas Pandang’ tentang buku syair ini menukilkan: “Syair Madah Permata karya pertama Ibnu ‘Abdir-Raheem dianggap sebagai satu kejayaan besar kepada Ibnu ‘Abdir-Raheem kerana syair ini cukup bertenaga dan berguna untuk dijadikan sumber kajian para pengkaji serta sumber rujukan, panduan, dan renungan pegawai-pegawai kerajaan dan sesuai untuk bacaan anak-anak muda. Di samping itu, kelahiran Syair Madah Permata ini menambahkan lagi koleksi syair dan khazanah sastera yang dihasilkan oeh penulis tanah air.”

Apa itu syair? Syair adalah salah satu genre sastera yang tergolong dalam kategori puisi, yakni sejenis karangan bersajak yang mempunyai empat baris dalam satu rangkap yang sama pada bunyi hujungnya. Syair juga menurut Profesor Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah bahawa di Negara Brunei Darussalam syair merupakan genre sastera yang paling popular dan digemari sejak dahulu lagi. Ia biasanya didendangkan di majlis-majlis keramaian atau secara persendirian untuk mengisi masa lapang pada waktu malam setelah penat bekerja pada siang hari.

Mari kita turunkan rangkap-rangkap 144 hingga 149 yang terdapat dalam muka surat 20 dan 21 buku Syair Madah Permata :

Nasihat-menasihati patut diamalkan
Sesama Islam sangat digalakkan
Saudara yang lupa diperingatkan
Sahabat yang silap diperbetulkan.
Nasihat itu ibarat mutiara
Nilainya tinggi tidak terkira
Semua Muslimin adalah bersaudara
Hubungan rapat bertambah mesra.
Nasihat yang baik patut diterima
Kerana ianya tuntutan agama
Tak kira berpangkat atau ternama
Untuk kebahagiaan bersama-sama.
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa
Manusia dikenang kerana jasa
Namanya disebut sepanjang masa.
Hendaklah anakanda bersifat jujur
Di dalam perbuatan atau bertutur
Berkata-kata hendaklah teratur
Buruk padahnya andai terlanjur.
Pelihara maruah dan kehormatan
Hargai kebersihan serta kesihatan
Sikap waspada kunci keselamatan

Buku Syair Madah Permata karya Ibnu ‘Abdir-Raheem, nama pena Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim mengumpulkan 17 buah tajuk syair. Syair Madah Permata yang dijadikan judul buku ini yang terpanjang iaitu sebanyak 229 rangkap berbanding dengan tajuk syair yang lain. Syair ‘Permata Bonda' pula hanya mempunyai 13 rangkap saja. Antara rangkapnya “kepada bondamu anakanda taati, kepada rangtua anakanda hormati, kepada yang muda anakanda sayangi, kepada yang susah berikan simpati.” Benar, melalui syair ini penulis secara peribadi melihat kebijaksanaan dan kesopanan minda Melayu menyatukan gambaran alam luaran dengan isi hati (dalaman) melalui kata-kata yang berirama. Ya, begitu kreatif. Masya-Allah!

Nah, kebanyakan pakar yang mengkaji kuasa minda atau proses kekreatifan manusia, berpendapat bahawa manusia yang cukup kreatif lebih banyak menggunakan bahagian otak di sebelah kanan, yang disebut 'minda kreatif' yang menggunakan intuisi atau imaginasi untuk memahami sesuatu yang tidak dapat dijelaskan melalui akal yang saintifik. Menguasai minda ini sering kali mempunyai kebolehan kreatif.

Di sebelah kanan otak kita terletaknya unsur minda yang kita sebut emosi atau perasaan. Ianya membolehkan manusia bersedih dan bersuka ria, berasa kasih dan benci, dan merasa disayangi dan iri hati. Minda sebelah kiri pula ialah bahagian otak manusia yang berfikir secara logik, rasional dan intelektual. Maka dari sebab itu, dengan kaedah inilah penulis berupaya mengaitkan kisah ibu penyu yang menetaskan telur di pantai dan kisah Nabi Khaidir yang bermusafir dengan Nabi Musa dengan puisi Sosonjan A. Khan dan rangkap-rangkap syair ‘Ibnu Abdir-Raheem. Alhamdulillah. Semuanya ketentuan Allah yang mengurniakan ilham kepada penulis untuk melakarnya.

Wahai bonda
ke mana kau lemparkan kalung, gelang
kecubung di telapak tangan
terkubur jejak musim-musim meluruh
menghimpun daun-daun mati
di perkarangan senduku.

Demikian madah Sosonjan A. Khan dalam puisinya, 'Bonda'. Arakian, ianya tidak dibatasi oleh pola-pola pemikiran yang biasa. Teknik kekreatifan iaitu teknik yang membiarkan urutan idea berlaku atau melintas secara bebas (seperti yang dialami penulis tika menulis cetusan minda ini) secara bebas dalam imaginasi manusia. Tali ghaib anugerah Allah yang menggerakkan nadi hidup. Alhamdulillah.

Attachments