Bilangan 130
BAGIKU, MEMBACA buku yang bermanfaat, iramanya ala aroma bunga lavender.
Ayat
di atas adalah ayat terakhir yang penulis gunakan dalam episod atau bab
''Aroma Bunga Lavener'' novel hasil karya penulis yang bertajuk
''Syahdu Berpacu Dengan Waktu''. Novel ini mempunyai 163 muka surat,
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darusalam pada tahun
2006.
''Novel
ini mempunyai nilai mesej untuk melatih setiap individu dan masyarakat
berfikir secara objektif dan positif yang dijadikan sebagai senjata
untuk menangani apa jua masalah dan ketegangan yang diakibatkan oleh
perselisihan pendapat yang sering kali menyempitkan pandangan dan
jangkauan akal. Bertitik tolak daripada fenomena ini, ia juga boleh
melahirkan bibit-bibit semangat yang menjurus ke arah berfikiran positif
yang dapat mengelak daripada cepat melatah....'' Demikian antara lain
nukilan ''Prakata'' daripada Dr. Mataim bin Bakar, Pengarah DBP dalam
mengalu-alukan peneribtan novel penulis ini. Al-Fatihah untuk ayamulah.
Nah,
bab dari muka surat 28 hingga 41 yang bertajuk ''Aroma Bunga Lavender''
daripada novel penulis ini dijadikan perisian dalam Cetusan Minda kali.
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Maknanya apabila
membuat sesuatu pekerjaan dengan beransur-ansur akhirnya akan beroleh
kejayaan atau sempurna juga. Tolong, maritah kitani sama-sama membacanya
sebahagian episod novel tersebut.....!
Ashari
Abdul Walid, anak bongsu kepada bekas pegawai polis, mula mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan, kemudian melanjutkan pelajaran ke
sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. Bapanya ketika itu bertugas di
Pahang sebagai Pesuruhjaya Polis.
Dia
berjaya cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang sekali gus layak
mengikuti kursus persediaan dalam bidang Kejuruteraan Kimia bagi Program
America Top Universiti di Amerika Syarikat tajaan Majlis Amanah
Marhaeen. Ketika itu dia baru berumur 18 tahun.
''Tapi
selepas enam bulan mengikuti program itu aku bertukar arah, Ali. Aku
nekad membuat keputusan untuk mengambil jurusan undang-undang,'' jelas
Ashrafi Abdul Walid kepadaku.
''Mungkin itu pengaruh dari ayahmu?,'' tanyaku.
''Sebenarnya setiap tindakan dan kejayaan kita, Ali, adalah berpunca dan bermula.
Dari
keyakinan. Ia merupakan umbi dan akar yang mendorong seseorang itu
bertindak hingga beroleh kejayaan. Nah ketika aku yakin akan berjaya
dalam jurusan undang-undang, hati kecilku ketika itu sungguh yakin aku
boleh berjaya dalam jurusan undang-undang. Bukan pakar kimia, ''
jelasnya sambil meneguk kopi.
Aku angguk-angguk saja.
Kemudian
dia menyambung, ''Aku yakin kepada diriku sendiri. Apatah lagi aku
rajin membaca. Keyakinanku untuk menjadi Pengamal Undang-Undang ibarat
kuasa elektrik yang muncul dari otak lalu mengalir ke segenap urat saraf
dan saliran darah seluruhnya berpadu bekerjasama untuk merealisasikan
kehendak yang hendak aku capai.''
''Dan
Ashrafi berjaya. Kau pernah menjadi pemidato terbaik dalam Pertandingan
Mahkamah Mut Undang-Undang Antarabangsa Nicolson J. Philip yang
diadakan di Ceremonial Court, Washington.''
''Terima kasih. Benar. Bagaimana Ali tahu?,'' tanyaku pula.
''Dunia ini kecil, Ashrafi. Sudah terlalu kecil malah,'' sahutku.
''Melalui
pembacaan aku dapat mengetahui segela bentuk fakta yang logik dan
tepat,'' kata Ashrafi Abdul Walid yang pernah jadi Pensyarah di
Universiti Islam Antarabangsa. ''Memang tidak pernah terfikir untuk
memilih Jurusan Undang-Undang dan tidak pula pernah berangan-angan untuk
menjadi Peguam. Minat dalam bidang itu baru timbul ketika berumur 17
tahun dan keputusan mengambil Jurusan Undang-Undang adalah keputusanku
sendiri. Tidak dipengaruhi oleh siapa-siapa, tidak juga ibu bapa.''
Aku sungguh mengerti.
''Bidang
Undang-Undang lebih menjurus kepada pemikiran logik dan mengajak untuk
berfikir lebih kritikal. Itu yang paling aku suka. Aku tau bahawa masa
kanak-kanak aku sering nampak kapal terbang. Lantas timbul cita-cita
untuk jadi Pilot bukan jadi Peguam. Tapi bila berada di sekolah
menengah, cita-cita pun berubah.''
''Mahu jadi apa?''
''Akauntan.''
Kami ketawa. Aku berkata, ''Lalu.....''
Dia
menjawab, ''Akhirnya ambil Barrister di University Iowa, Amerika
Syarikat. Bekerja tiga tahun sebagai Penasihat Undang-Undang di sebuah
bank. Lepas itu pindah ke Universiti Islam Antarabangsa sebagai
Pensyarah.''
''Sewaktu di Iowa, kau juga berniaga untuk tampung sara hidup yang tinggi.''
''Ya,
berniaga secara kecil-kecilan sewaktu belajar di University Iowa.
Peniagaanku ketika itu, hah sudah lama, nanti aku congak-congak. Ya,
lebih 15 tahun yang lalu aku jadi peniaga kecil bersama beberapa rakan
yang lain. Hasil perniagaan itu membolehkan aku membeli sebuah kereta
model Cadillac. Memandu di lebuh raya Amerika Syarikat. Dan dengan itu
juga aku bersama beberarapa rakan berpeluang melancong ke serata negeri
di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Waktu cuti aku tidak pulang ke
tanah air, tapi melancong dengan pandu kereta sendiri. Jimat belanja.''
''Wah, titian hidupmu penuh warna-warni, Ashrafi!,'' sahutku.
''Ketika itu aku masih bujang.''
Ashrafi
Abdul Walid yang sudah ku kenal sejak tujuh tahun yang lalu. Perkenalan
itu bermula secara kebetulan kami duduk bersebelahan dalam kapal
terbang. Perjalanan dari London ke New York. Waktu itu aku ada tugas.
Membuat liputan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Sebetulnya Ali Osman seorang wartawan.
Ashrafi
Abdul Walid dan isterinya pernah ke Brunei. Semasa melawat Brunei buat
pertama kali, mereka kami ajak tinggal di rumah kediaman kami. Lalu
isteri Ashafi dan isteriku, menjadi kawan akrab. Sewaktu di Brunei kami
bawa mereka melawat ke merata-rata tempat menarik di Brunei seperti
Kampung Ayer, Tasek Merimbun. Malah berpeluang membawa mereka pula pergi
melancong ke Miri. Lalu kamu sudah semacam menjadi satu keluarga.
Nah, tentang aku pula yang bernama Ali Osman.
Di
bawah Skim Latihan Lanjutan Pelajaran dalam Perkhidmatan Awam itu Ali
Osman berjaya memperolehi Ijazah dalam bidang Sains Pengurusan di
University of Kent, United Kingdom. Tiga tahun selepas itu aku mohon
biasiswa lagi untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana
jurusan Kajian Asia Tenggara daripada Stirling University, Scotland. Aku
berjaya. Kemudian menceburkan diri dalam bidang kewartawanan.
Untuk
kejayaan ini, isterinya yang bernama Siti Rashidah, banyak berkorban
dan membantu. Dia bekas seorang Jururawat. Dia yang harus menjaga tiga
orang anak kami ketika aku melanjutkan pengajian di Scotland. Siti
Rashidah, anak tunggal Cikgu Mamat Yahya, sentiasa memberi perangsang
dan kata-kata nasihat serta teguran membina untuk aku tingkatkan ilmu
pengetahuan.
Tidak
ternilai pengorbanan yang diberikannya. Dengan iringan doa dan peluk
mesra kerinduan selalu, aku lutanan dan gigih tabah mengejar cita-cita.
Dengan nada lembut berlapik harapan, Siti Rashidah berkata, ''Abang,
kejarlah apa yang mendatangkan manfaat untuk kita semua, dan mintalah
bantuan kepada Allah. Jangan mudah menyerah. Jangan mengaku kalah.''
Semangatku kental untuk terus belajar. Isteriku memberi sokongan penuh.
Alhamdulillah, aku menang.
Alhamdulillah, aku berjaya.
''Alhamdulillah sayang. Abang akan sentiasa tambah sayang.''
Banyak
pengalaman baru aku perolehi terutama dari segi tanggapan orang Barat
terhadap orang Timur. Banyak pengamatan aku temukan baik secara langsung
mahupun pengamatan hasil perbualan dan pergaulan. Ya, banyak sekali.
Antaranya,
setelah aku dapat Ijazah Sarjana, hasil pengamatanku menunjukkan bahawa
di negara maju, seperti United Kingdom dan di Barat, masalah yang
dihadapi ialah cultural illiteracy, yakni kemerosotan tahap
celik budaya atau tahap celik ilmu pengetahuan global di kalangan para
siswa mereka malah para warga mereka.
''Celik budaya dan celik ilmu adalah berbeza,'' kataku sendirian.
Benar,
usaha menuntut ilmu harus berdasarkan disiplin atau kaedah tertentu,
kalau tidak penuntut ilmu boleh jadi akan teraniaya atau terkeliru,
yakni tidak mengetahui apakah ilmu yang dituntut itu benar atau salah
berasaskan bukti yang dapat dipertahankan atau dipertanggungjawabkan
secara akliah atau rasional walaupun tidak semestinya apa-apa yang kita
ketahui benar secara pasti!
''Tetapi disiplin ilmu tidak bermakna bahawa ilmu itu elitis sifatnya.''
Seorang
profesor yang mengajar kami di Stirling University, Scotland, lulusan
London School of Economic pernah berhujah semasa kuliah, ''Cuma, bila
ilmu dianggap sebagai sesuatu yang elitis, orang akan percaya bahawa ada
golongan tertentu yang disebut 'golongan ilmuwan'. Orang yang berilmu
tidak semestinya membawa maksud otaknya bergeliga atau pintar, bahawa
dia mempunyai daya fikir yang tajam dan kritis.''
Aku
mencelah, ''Tapi prof., setiap tahun beberapa banyak mahasiswa lulus
periksa dengan cemerlang. Apakah mereka itu sungguh pintar dan cerdik!
Apakah di kalangan mereka itu berupaya berfikir sendiri! Atau kerana
mereka rajin menghafal makanya mereka dapat markah tinggi.''
''Maksud awak?''
Seperti
menyindir aku bersuara, ''Seseorang merasa bangga kerana dapat
meluahkan statistik dan fakta tertentu tentang satu-satu perkara atau
bidang. Mengapa kita mesti memenatkan otak contohnya, mengingat-ingat
nama-nama menteri kabinet atau hafal tarikh-tarikh yang bersejarah?
Bukankah maklumat seumpama itu dengan mudah dapat dicari daripada
buku-buku tertentu, bahan-bahan rujukan atau melalui sesawang laman web.
Maklumat itu kini di hujung jari. Tekan punat, tekan butang, sudah
dapat.''
''Maklumat
bersepah di alam maya. Tinggal lagi terpulang kepada kita untuk
memilihnya. Mana yang baik, mana yang buruk. Mana yang bermanfaat, mana
yang tidak. Yang sia-sia, jauhkan,'' pintas pelajar yang lain pula.
Seorang
pelajar lain berhujah, ''Prof., pemahaman lebih penting daripada
pengetahuan yang diperolehi. Kita bukan sahaja harus mengetahui, tetapi
lebih penting lagi, harus memahami sesuatu idea dan prinsip atau teori
ilmu secara kritis sehingga dapat berfikir dan menilai sendiri,
membincangkan dan jika perlu, ya, menerapkan ilmu itu dalam berbagai
konteks disiplin ilmu yang lain.''
Profesor
itu menanggalkan kaca mata tebalnya. Diletak atas meja lalu berkata,
''Masalahnya ialah, pertama orang banyak menganggap bahawa ilmu itu
penting untuk mudah mencari atau mendapat pekerjaan untuk menyarai
kehidupan seterusnya.''
''Betul.'' Entah pelajar siswa dari mana yang berkata itu.
Profesor
itu menyambung kuliah, ''Kedua, ilmu dipecah-pecahkan kepada
berbagai-bagai bidang dan subbidang, sehingga pengetahuan manusia makin
lama makin kecil dan sempit. Untuk menghadapi zaman revolusi ilmu dan
revolusi maklumat teknologi hari ini, kursus-kursus di universiti sering
kali diubah, ditambah atau disesuaikan dengan keperluan pasaran
pekerjaan.''
Sebilangan
siswa di situ mencatat sesuatu nota dalam buku masing-masing. Ada juga
yang hanya sekadar simpan dalam telefon bimbit atau iPhone. Aku betulkan
butang baju jaket tebalku. Suhu agak sejuk.
''Prof.,
apalah gunanya pendidikan sekiranya siswazahnya 'tidak tahu membuat
kerja' dan tidak dapat 'mengaitkan dirinya dengan realiti'. Akibatnya
mutu pendidikan terkorban,'' kata Dudulo Wayo yang bersuara garau, asal
dari Zimbabwe, sambil berdiri dan menyambung cakap, ''Ilmu dijadikan
alat untuk memajukan kepentingan diri sendiri, tidak untuk kepentingan
manusia, masyarakat dan tanah air. Yah, akhirnya masyarakat umum
menganggap ilmu sebagai lesen pekerjaan dan tidak sebagai aspek budaya
hidup.''
''Ya, itu pendapat yang bagus.''
''Tetapi
prof., hari ini orang boleh menjadi pandai dalam satu-satu bidang tanpa
menjejakkan kakinya di kampus universiti,'' sampuk satu suara, yang
duduk agak di sudut. Pena diketuk-ketik lembut di ubun kepala.
''Maksud awak?,'' siswa lain bertanya.
Siswa
yang duduk di sudut itu menjelaskan, ''Hari ini orang boleh mendapat
ijazah melalui ruang maya atau ruang siber, melalui kaedah belajar jarak
jauh. Ini bermakna pelajar dan guru tidak bersua muka, tidak mengadakan
interaksi berfikir dan berhujah secara bersemuka, tidak perlu berwacana
minda seperti kita lakukan hari ini. Menurutku, ilmu makin menjadi
bahan dagangan untuk kepentingan diri sendiri.''
''Aku
pernah baca terdapat pula universiti yang sanggup dan tergamak menjual
ijazah, termasuk Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D). Maaf Prof.''
Profesor
yang agak lanjut usia itu tersenyum, dan dengan penuh hikmah berkata,
''Tetapi ini tidak bermakna bahawa universiti tidak seharusnya berfungsi
sebagai pelatih tenaga manusia untuk keperluan dunia pekerjaan.''
Demikian
sedutan novel penulis yang bertajuk Syahdu Berpacu Dengan Waktu
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada tahun 2006. Ia
mengandungi 9 buah bab.