
Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Mac. -
Perancangan Rangkaian Jalan Raya di dalam National Master Plan diharap
antara lain bagi menghubungkan kawasan-kawasan utama iaitu perumahan,
perindustrian, sekolah dan bangunan-bangunan kerajaan, dan sebagainya di
negara ini.
Menjawab
persoalan mengenai isu kesesakan jalan raya yang dibangkitkan oleh Yang
Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri
Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman pada hari kelima Majlis
Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Bangunan Dewan MMN di sini,
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menjelaskan, banyak
punca terjadinya isu berkenaan dan pembinaan lebih banyak jalan raya
tidak akan mengurangkan kesesakan selagi isu-isu berkaitan tidak diambil
tindakan.
Sehubungan
itu, katanya, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR)
dengan adanya Program Traffic Management Scheme (PTMS) akan sentiasa
merancang jalan raya-jalan raya baru, di samping kerja-kerja melebar
jalan raya, mengadakan jalan susur, membuat pusing keliling, memasang
lampu isyarat, memperbaiki jalan raya yang rosak, membina jejantas bagi
pejalan kaki, dan lain-lain lagi usaha, dari semasa ke semasa.

MENTERI
Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri
Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman semasa menjawab persoalan mengenai
isu kesesakan jalan raya yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji
Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato
Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.
"Langkah
kita termasuk juga untuk memindah sekolah-sekolah yang di tepi-tepi
jalan utama dan menyebabkan kesesakan di jalan berkenaan ke
kawasan-kawasan yang bersesuaian bukan sahaja bagi keselesaan dan
keselamatan pelajar sekolah tetapi juga orang ramai," tegasnya.

YANG Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.
Sementara
itu, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Mohd. Daud bin Karim juga
menimbulkan agar pemasangan lampu isyarat di kawasan Pusing Keliling
Mentiri, Jalan Sungai Akar dan Jalan Kebangsaan dilaksanakan berikutan
dengan pertambahan penduduk di kawasan tersebut, iaitu kira-kira 4 ribu
buah kediaman dalam Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor
(Mengkubau) akan didiami.
Bagi
perkara tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjelaskan
bahawa, pemantauan akan dilakukan dan seterusnya akan dikaji melalui
'traffic flow' di kawasan tersebut iaitu kajian aliran trafik yang akan
membolehkan untuk mengetahui 'direction' dan kepadatan trafik, sama ada
pemasangan lampu isyarat boleh mengurangkan kesesakan dan jika perlu,
akan segera membuka tawaran bagi lampu isyarat dipasang.

YANG Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Mohd. Daud bin Karim.
Selain
itu, JKR juga tambahnya, sedang giat mengendalikan projek-projek di
bawah RKN Ke-10 yang akan mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan
tersebut termasuk projek yang telah siap iaitu melebarkan jalan raya di
Jalan Muara Fasa Pertama dan di Jalan Kebangsaan Lama, di samping projek
yang sedang dilaksanakan iaitu Jejambat Berakas dan Jejambat Meragang,
masing-masing dijangka siap pada bulan Mei dan hujung tahun ini.
"Di
masa hadapan kita merancang untuk membina jejambat di Pusing Keliling
Sungai Akar. Kita juga merancang bagi pembinaan jejambat di sepanjang
Jalan Utama Mentiri disebabkan jangka aliran trafik yang bertambah
daripada Perumahan Mengkubau kepada Junction Jalan Menteri Besar dan
Jalan Diplomatic Enclave," jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan.