Tabung Bencana Kebangsaan dan pembinaan bangunan muzium baharu



LOGO MMN 2015

Oleh: Dk. Nasibahanim Pg. Haji Bakar / Foto  : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Muhammad Asri Haji Awang Abas


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. - Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2015 sesi petang bersidang kembali pada hari kesepuluh di Dewan Persidangan MMN, Bangunan MMN.

Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Awang Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Awang Haji Zainal telah mengemukakan cadangan dan pandangan bagi penubuhan Tabung Kebangsaan dan pembinaan sebuah bangunan muzium yang baharu di Bandar Seri Begawan bagi menggantikan muzium yang ada.

Menjawab kepada cadangan dan pandangan berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata, “Mengenai pembinaan Tabung Bencana Kebangsaan yang dicadangkan, perkara ini diberikan perhatian dan akan difikirkan semasak-masaknya. Mengenai cadangan bagi membina sebuah bangunan muzium yang baharu di Bandar Seri Begawan, perkara ini juga diambil perhatian dan dibuat penilaian.”

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengongsikan pandangan dan menyatakan bahawa kedudukan Muzium Brunei adalah satu kedudukan yang sangat unik. Ini kerana ia dibina berdekatan dengan kawasan arkeologi, iaitu Kota Batu.

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.


Selain itu, tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Muzium Brunei juga berhampiran dengan kawasan Sungai Brunei. Sungai Brunei merupakan kawasan tamadun pada satu ketika dahulu dan juga sebagai ibu kota Brunei pada kurun yang awal.

ZUL-IZZI 07 MMN 180315AHLI MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Awang Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya
Maharaja Diraja Dato Paduka Awang Haji Zainal.

Apabila melihat akan keadaan atau kedudukan strategik muzium yang ada ini serta mengambil kira aset-aset muzium dan lain yang terdapat di Bandar Seri Begawan seperti Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, Bangunan Lapau, Bangunan Lapau Lama, Bangunan Dermaga Kastam Diraja, menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. “Maka kita akan melihat terdapat satu lingkaran mengenai dengan muzium-muzium di Negara Brunei Darussalam yang akan dapat dikembangkan dan menjadi tarikan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Negara Brunei Darussalam termasuk kepada penyelidik-penyelidik yang datang ke Brunei,” jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

“Ia hanya untuk mengembangkan infrastruktur dan untuk menjalinkan ‘connectivity’. Bukan saja dari segi ‘connectivity’ infrastruktur, dari segi ‘connectivity’ minat kepada aset-aset yang saya nyatakan tadi,” tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Apabila ia dapat dikembangkan, aset-aset yang terdapat pada masa ini dapat dilalui atau dilawati melalui laluan laut, sungai atau darat oleh para pelancong, ujar Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ini tambah tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merupakan sebagai satu tarikan kepada pelancong dan mengembangkan industri pelancongan Negara Brunei Darussalam.

Close