Anak jati Brunei pelajari selok belok MIB



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 April. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa mengadakan Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) bertempat di Auditorium, UNISSA, di sini.

Kuliah khas, 'Sejarah Kedatangan Islam ke Brunei Darussalam' disampaikan oleh Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Dalam kuliah khas berkenaan, Pengiran Dato menjelaskan perlunya anak jati Brunei mempelajari selok-belok MIB itu dan mengetahuinya secara mendalam, khasnya mereka yang berada di institusi pengajian tinggi.

Jelasnya, ia tidak cukup hanya mengetahuinya setakat di permukaan sahaja atau setakat luaran sahaja.

Tambahnya, dengan mengetahui sejarah kemasukan Islam ke negara ini adalah sebahagian dari MIB.

Pengiran Dato seterusnya menjelaskan, kemasukan Islam ke negara inilah yang mewujudkan MIB, tanpa Islam tentulah MIB itu tidak ada.

Di samping itu, Pengiran Dato menjelaskan, Islam telah masuk ke Brunei seawal abad ke-10 Masihi dalam bentuk yang terhad, agama itu katanya, dibawa oleh pedagang-pedagang dan mubaligh Arab, atau Arab Parsi, atau China Muslim yang telah memeluk Islam.

Selain itu, Pengiran Dato juga menjelaskan, Kesultanan Melayu Islam Brunei tertubuh dalam abad Ke-14 Masihi dengan Awang Alak Betatar menjadi raja Brunei pertama yang memeluk Islam bernama Sultan Muhammad Shah, sementara itu Sultan Sharif Ali yang dengan takdir Allah menjadi Sultan Brunei yang Ke-3, telah memperkukuh lagi ajaran Islam itu dan seterusnya mengembangkannya ke seluruh negara.

Sultan-sultan berikutnya masing-masing menyumbang ke arah perluasan wilayah kekuasaan, struktur pemerintahan, pertahanan, adat istiadat dan perundangan Islam.

Dalam pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, pucuk pimpinannya dapat mengembalikan kedaulatan kerajaan dan cahaya Islam di negara ini, sehinggalah di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah meletakkan Brunei sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat dan merdeka, yang disegani dan dihormati bukan sahaja di rantau ini malah juga di arena antarabangsa.

Kuliah tersebut dipengerusikan (moderator) oleh Pengarah Pusat Teknologi dan Multimedia, UNISSA, Dr. Awang Adam bin Haji Jait.

Juga hadir, Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Penolong Rektor UNISSA; Pemangku Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa-mahasiswi.

Antara tujuan kuliah khas itu diadakan bagi memberikan ilmu dan manfaat serta mengetahui lebih mendalam lagi tentang sejarah serta kesan-kesan kedatangan Islam itu di Brunei kepada pelajar-pelajar UNISSA, yang mana Islam adalah cara hidup yang lengkap dan menjadi teras kehidupan masyarakat Brunei.

Close