Timbalan Sultan berangkat rasmikan Muzium Maritim Brunei Darussalam



Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Masri Osman


DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan semasa berkenan merasmikan Muzium Maritim Negara Brunei Darussalam.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mac. - Pembinaan Muzium Maritim Brunei Darussalam bertujuan untuk menyediakan satu dewan pameran bagi artifak-artifak yang berbentuk maritim.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan berkenan berangkat menyempurnakan perasmian muzium tersebut.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di Bangunan Muzium Maritim Brunei Darussalam, Kota Batu, dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman, selaku Penasihat Bersama Majlis Pembukaan Rasmi muzium berkenaan.

230315 MARITIM MASRI2

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan
menerima junjung ziarah sejurus keberangkatan tiba.

Juga hadir ialah Kurator Muzium dan Pengurus Taman Warisan Tasek Merimbun, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II di Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Quddus bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama Duta Besar dan Istimewa dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi ke negara ini; Timbalan-Timbalan Menteri; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; pegawai-pegawai kanan kerajaan; pegawai dan kakitangan Jabatan-Jabatan Muzium.

23032015 DPMM MARITIM MASRI 008

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan semasa berkenan berangkat dalam Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Maritim Brunei Darussalam.

Terdahulu, majlis bermula dengan bacaan Surah Al Faatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain menyembahkan, Muzium Maritim ialah pameran koleksi khazanah kapal karam yang dijumpai di perairan Brunei pada tahun 1997 dengan penemuan sebanyak 13,261 artifak yang majoritinya terdiri daripada bahan tembikar.

230315 MARITIM MASRI6

BACAAN Surah Al Fatihaah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib
Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Tambah sembah Yang Berhormat, yang juga sangat signifikan mengenai muzium tersebut ialah rekonstruksi Pulau Terendak, pulau buatan manusia yang ditemui di Kawasan Arkeologi Kota Batu.

Penemuan pulau itu sembahnya, menunjukkan bahawa Kota Batu merupakan pusat perdagangan pada kurun 14 hingga 17 Masihi dan terdapat pengawalan perkapalan dan perdagangan maritim yang sistematik.

230315 MARITIM MASRI9

SEMBAH alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Sejurus selepas itu, DYTM berkenan merasmikan Muzium Maritim Brunei Darussalam dengan mengurniakan sabda perasmian muzium berkenaan dan kemudiannya berkenan menandatangani plak.

Pada majlis tersebut, DYTM berkenan menerima pesambah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Majlis tersebut.

23032015 DPMM MARITIM MASRI 013

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan menandatangani plak perasmian Muzium Maritim Negara Brunei Darussalam.

Sejurus selepas itu, DYTM dijunjung bagi menyaksikan Pameran Muzium Maritim Brunei Darussalam.

Mula-mula DYTM menyaksikan Galeri Kapal Karam Brunei yang mempamerkan penemuan Kapal Karam Brunei tahun 1997 yang merupakan penemuan penting dalam sejarah maritim di negara ini.

230315 MARITIM MASRI16

230315 MARITIM MASRI20

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan semasa
berkenan melawat Galeri Pameran Kapal Karam Brunei.

Sepanjang lawatan galeri ini, DYTM diiringi dan diberikan penerangan ringkas oleh Pemangku Pengarah Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman.

Antara yang dipamerkan pada Galeri Kapal Karam Brunei ialah bahan-bahan tembikar, gelang kaca, manik, bahan-bahan batu, tembaga dan logam.

Dari Galeri Kapal Karam Brunei itu, DYTM kemudian dijunjung bagi menyaksikan Galeri Perahu-perahu di Negara Brunei Darussalam yang diiringi oleh Kurator Arkeologi / Pengurus Bangunan Muzium Maritim Brunei Darussalam, Dayang Aminah binti Haji Abdul Majid.

230315 MARITIM MASRI24

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan semasa
berkenan melawat Galeri Pameran Kapal-Kapal dan Perahu-Perahu di Negara Brunei Darussalam.

Dalam galeri berkenaan memfokuskan tentang hubungan masyarakat Negara Brunei Darussalam dengan sungai.

Galeri ini juga dapat memberi gambaran kepada pengunjung mengenai hubungan di antara masyarakat Brunei dengan sungai yang memainkan peranan penting termasuk dari segi perdagangan dalam dan antarabangsa.

Seterusnya DYTM berkenan melawat ke Galeri Sementara yang mempamerkan ‘Menyusuri Lautan: Quanzhou dan Brunei Darussalam dalam Laluan Sutera Maritim’ yang dibukakan kepada orang awam bermula 23 Mac hingga 19 April 2015.

 230315 MARITIM MASRI30230315 MARITIM MASRI29

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan semasa berkenan melawat Galeri Pameran Menyusuri Lautan Quanzhou dan Brunei dalam Laluan Sutera Maritim yang dipamerkan oleh Negara Republik Rakyat China.

Di galeri ini, DYTM diiringi dan diberikan penerangan ringkas mengenai Galeri Sementara ‘Menyusuri Lautan: Quanzhou dan Brunei Darussalam dalam Laluan Sutera Maritim’ oleh Pegawai Pameran, Quanzhou Maritime Museum, Kathy Wang.

Penerokaan Mini Teater Kapal Karam Brunei yang menayangkan video ekspedisi Kapal Karam Brunei pada tahun 1998 juga turut menjadi perhatian DYTM.

Di mini teater tersebut, Timbalan Sultan disembahkan penerangan ringkas oleh Pemangku Ketua Pegawai Muzium, Awang Hanapi bin Haji Maidi.

230315 MARITIM MASRI32

TURUT menjadi perhatian Duli Yang Teramat Mulia dalam pameran ini ialah tayangan video ekspedisi Kapal Karam Brunei
pada tahun 1998 dan disembahkan penerangan ringkas oleh Pemangku Ketua Pegawai Muzium, Awang Hanapi bin Haji Maidi.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menandatangani Lembaran Kenangan dan seterusnya berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perasmian Muzium Maritim Brunei Darussalam.

Muzium Maritim Brunei Darussalam dibina di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 dengan jumlah peruntukan pembinaan sebanyak BND5 juta di atas tanah keluasan 3.53 hektar (8.74 ekar).

230315 MARITIM MASRI33

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee, Billah Timbalan Sultan semasa berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan.

230315 MARITIM MASRI34

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan
bergambar ramai.

Reka bentuk muzium berkenaan berkonsepkan sebuah kapal daripada pandangan depan bersesuaian dengan penglibatan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat perdagangan yang masyhur pada zaman dahulu.

Muzium ini dipilih untuk ditempatkan di Kota Batu, satu kawasan yang terpenting dalam lipatan sejarah lebih 1,000 tahun yang silam, bagi mengimbau kembali sejarah kegemilangan dan memperingati ibu kota Brunei Tua tersebut pada Abad Ke-14 hingga 17 Masehi.

Muzium ini juga menjadi repositori sejarah maritim negara khusus bagi peninggalan-peninggalan artifak dan teknologi maritim dari berbagai-bagai era.

Close