Mantapkan program basmi kemiskinan



LOGO MMN 2015

Oleh: Norliah Md. Zain / Foto : Hamzah Mohiddin, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mac. - Yang Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman ingin melihat program-program pembasmian kemiskinan yang lebih mantap dengan perancangan-perancangan yang dapat terkawal hala tujunya dengan mempunyai ‘score card’, yang dapat memantau perkembangan yang dapat dibanggakan bagi ‘role model’ untuk menunjukkan jalan keluar daripada kemiskinan itu.

Yang Berhormat berkata, selama Negara Brunei Darussalam menghasilkan minyak beberapa puluh tahun yang lalu, jika tidak silap sudah tiga atau empat kali krisis penurunan harga minyak telah terjadi dan akhir sekali penurunan harga minyak pada tahun lepas 2014 Masihi.

“Ini sepatutnya sebagai petanda minyak itu akan menghadapi kekurangan pengeluarannya entah bila masa akan terjadinya. Memandangkan kekurangan sudah nyata memang akan terjadi, maka negara mestilah menerima akan hakikatnya,” ujar Yang Berhormat ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesebelas MMN yang bersidang bagi hari yang ke-13 di Dewan Majlis di sini.

Kita mestilah membuat perancangan dengan lebih bijaksana ujar Yang Berhormat, dengan menyemak semua sumber-sumber utama yang terdapat dalam negara yang dapat dijadikan hasil negara yang boleh diusahakan dan akan ada permintaan yang berdaya tahan dari luar negeri.

YANG Berhormat Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.


Yang Berhormat seterusnya berkata, demi menyokong syarikat swasta memperbanyakkan mengambil dan menggaji anak-anak tempatan agar mereka itu jangan tercicir daripada pengambilan kerja-kerja yang terdapat dalam negara ini, sikap dan kecenderungan untuk bekerja di sektor awam hendaklah dihapuskan daripada minda mereka.

Selain itu, Yang Berhormat juga mengalu-alukan untuk menyegerakan sistem pengangkutan yang mantap kerana dengan adanya sistem ini, ia akan dapat menggerakkan belia berpotensi untuk mengisikan kerja-kerja yang diperlukan oleh negara dan juga boleh menyokong lima sektor industri sektor perindustrian iaitu industri perdagangan, pemborongan, peruncitan, perhotelan, restoran, kedai kopi, pengangkutan, penyimpanan, perhubungan, perkhidmatan sosial, perkhidmatan masyarakat, persendirian dan perkhidmatan kewangan, insurans dan perundangan yang memerlukan banyak pergerakan mudah bagi sampai ke tempat-tempat kerja pada masa yang tepat dengan waktu-waktu bekerja.

Dengan bebasnya pergerakan mereka itu, kata Yang Berhormat, dapatlah memenuhi hasrat industri-industri itu untuk mengisikan jawatan-jawatan yang penting dari segi pengendalian kerja-kerja yang memerlukan ‘complete work floor’ yang berkesan untuk menguruskan pengurusan perjalanan perniagaan harian mereka.

“Di sinilah perlu peralihan ‘mindset’ orang-orang tempatan yang bakal mengisikan kerja-kerja di sektor swasta. Saya berdoa perubahan ‘mindset’ orang-orang kitani terhadap bekerja di sektor-sektor swasta akan tercapai. Amin Ya Rabbal alameen,” kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut menyentuh mengenai cadangan untuk memperkembangkan kegiatan sukan terutama sekali bola sepak bagi pemuda Brunei yang tidak bekerja atau dikatakan tercicir dari hal ehwal kelayakan belajar akademik.

Ujar Yang Berhormat, kepandaian bola sepak boleh dilatih dari Youth Academy dan selepas itu jika mereka telah mempunyai pekerjaan bolehlah diambil sebagai pemain bola semi profesional sepenuhnya.

Jika negara kita kata Yang Berhormat, dapat membuat satu Liga Profesional Bola Sepak yang dijangka mengandungi 20 pasukan yang dibantu penubuhannya, kewangannya, organisasinya, ini tentu dapat memberi hasil mata pencarian kepada kira-kira 600 pemain bola sepak dan 200 pegawai kelab bola sepak.

Ini belum lagi termasuk bagi mengadakan perlawanan mingguan, kerja personal dan mengadakan tempat orang awam berhibur kerana ia akan dapat menaikkan perekonomian perusahaan kecil dan sederhana dengan kawalan bersistem serta berhemah.

“Jangkaan ini baharu dari peringkat permulaan. Jika kita dapat menjalankan liga yang lebih teratur, berstrategik tinggi, jangkaan harian akan apabila persatuan-persatuan bola sepak di Brunei akan dapat bertanding ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara bagi mewakili negara kita. Besar kemungkinan pemain-pemain yang menyerlah dalam pasukan Brunei itu mungkin akan terpilih dalam pasukan profesional yang bertaraf dunia,” kata Yang Berhormat.

Close