Bahasa Melayu terus diperkasa



Berita dan Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain


TEMBURONG, Sabtu, 15 April. - Bagi menggerakkan pendaulatan dan pemerkasaan berterusan bahasa Melayu terutama di  kalangan golongan kanak-kanak dan remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  meneruskan lagi Jerayawara Majalah Mekar dan Naindung ke Sekolah Rendah Negalang, di sini.

Semasa jerayawara ini, murid-murid sekolah  diperkenalkan dan diberikan penerangan mengenai majalah-majalah terbitan DBP iaitu Majalah Mekar dan Naindung serta ruangan-ruangan di dalamnya menerusi taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari DBP, Dayang Siti Norhazirah binti Haji Ahmad.

Majalah Mekar merupakan majalah terbitan DBP sejak tahun 1967 dan tahun ini merupakan tahun ke-50 penerbitannya, manakala Majalah Naindung pula adalah majalah dalam tulisan jawi dan merupakan majalah baru terbitan DBP setiap 3 bulan sekali sejak tahun 2013.

Sejurus selepas taklimat berlangsung, segmen kuiz turut diadakan bagi menguji sejauh mana kefahaman murid-murid berkaitan Majalah Mekar dan Naindung. Di samping itu, aktiviti melukis dan mewarna bagi murid Tahun 1 hingga 3 serta menulis karangan bagi murid Tahun 4 hingga 6 juga diadakan bagi mencungkil bakat serta kreativiti para murid, selain berpeluang membeli majalah-majalah dan buku-buku terbitan DBP yang turut dijual semasa berlangsungnya jerayawara ini.

Ketika ditemui, Pegawai Bahasa di Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal, DBP, Dayang Norhayati binti Haji Mohd. Yusof antara lain menjelaskan matlamat jerayawara ini diadakan iaitu bagi memperkenalkan dan menerangkan mengenai majalah-majalah terbitan DBP terutama sekali Majalah Mekar dan Naindung kepada para pelajar sekolah rendah.

Tambahnya, kedua-dua majalah ini bukan sahaja bermanfaat kepada para murid untuk dijadikan bacaan tambahan bagi memupuk dan menggalakkan kanak-kanak membaca di dalam bahasa Melayu, malah ianya dapat dijadikan sumber rujukan terutama menerusi pelbagai ruangan-ruangan di dalamnya seperti ruangan puisi (kreatif) dan karangan yang boleh mengajar dan membimbing kanak-kanak untuk menulis serta membentuk ayat-ayat dengan kemas menggunakan ejaan yang betul, tatabahasa yang tepat dan memperolehi idea-idea berbentuk objektif dan kreatif serta menggalakkan para murid untuk menghantar tulisan-tulisan mereka ke dalam Majalah Mekar ataupun Naindung.

Selain itu, tambahnya lagi pelaksanaan jerayawara ini juga bagi memberi peluang kanak-kanak membeli bahan-bahan bacaan terbitan DBP tanpa perlu ke Bandar Seri Begawan, di samping berpeluang untuk membeli bahan terbitan secara langganan.

Dengan adanya jerayawara ini, Dayang Norhayati bagi mewakili pihak DBP berharap murid-murid dan peminat-peminat Majalah Mekar akan terus meminati secara berterusan majalah yang telah diterbitkan sejak 1967 ini dengan pengisian ruangan-ruangannya yang lebih menarik yang boleh dijadikan bacaan tambahan dan rujukan untuk menghadapi peperiksaan terutama sekali karangan-karangan yang terdapat di dalamnya untuk dijadikan panduan.

Close