Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz : Tokoh dihormati



Oleh: Pg. Haji Fatimah Pg. Haji Md Noor  / Foto : Ihsan Osman Abu Bakar , Jabatan Mufti Kerajaan, dari Negeri Johor, Darul Takzim


DULI Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim berkenan mengabdikan gamnbar kenangan bersama anaknda-anaknda kepada Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz.


JOHOR  DARUL TAKZIM,  MALAYSIA, Rabu, 6  Mei. -Tokoh  Antarabangsa  Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin  Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul  Aziz  seorang  'tokoh  besar'  yang  sangat dihormati  lagi  banyak  berjasa kepada Islam dan umat, khasnya bagi Negeri Johor Darul  Takzim dan  Negara Brunei Darussalam.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika menyampaikan Kertas Perdana bertajuk ‘Keunggulan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Sebagai Tokoh Yang Dihormati’.

Seminar Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor, di sini adalah  sempena kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Darul Takzim.

Yang Berhormat berkata, seminar ini sebagai tanda bersyukur  ke hadrat  Allah Subhanahu  Wata‘ala dan  terima kasih di atas jasa-jasa Allahyarham yang banyak kepada Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, tegas Yang Berhormat, selaku tokoh besar, sejarah Yang Dimuliakan, elok pula dikenang-kenang, tokoh itu boleh menjadi penawar, iktibar serta contoh teladan bagi orang lain. Ini, turut dibenarkan oleh Al-‘Alamah Dr. Muhammad Az-Zuhaily Rahimahullah, katanya: “Sejarah hidup seorang ulama atau perjalanan hidup yang dipilih oleh seorang ulama adalah penawar dan contoh teladan.”

060515 ihsanjabatanmufti06MUFTI Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
ketika menyampaikan kertas Perdana bertajuk "Keunggulan Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin  Umar  Abdul  Aziz
  sebagai  tokoh  yang dihormati."

“Kita mengenang Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, mantan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam menerusi seminar ini, kita penuh yakin,  ianya adalah mampu untuk menjadi penawar, iktibar, teladan, dan sekali gus menjadi sebab, makanya  kita  semua akan dilimpahi rahmat oleh Allah Subhanahu Wata‘ala. Aamiin,” tegas Yang Berhormat lagi.

Dalam kertas perdananya, Yang Berhormat menegaskan, mengapa Pehin Dato Haji Ismail dikaitkan dengan Brunei Darussalam, kerana sejarahnya yang unik menyambut baik hasrat seorang sultan yang cintakan ulama, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang  Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-28.

Menurut Yang Berhormat,  atas perkenan dan kemahuan bagindalah,  Allahyarham pertama kalinya menjejakkan kaki  ke bumi Brunei Darussalam pada akhir tahun 1954 sehingga awal  tahun 1955.  Kali keduanya pada  pada tahun 1962. Kedatangan kali pertamanya ialah sebagai ahli kumpulan peninjau bagi cadangan mendirikan sekolah agama  di Brunei. Kumpulan  ini diketuai oleh Allahyarham Haji Muhammad Sa‘id, bekas ketua pemeriksa sekolah-sekolah agama Kerajaan Johor.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan,  bahawa kedua-dua mereka diberi tugas untuk mengkaji cadangan penubuhan sekolah agama di Brunei dengan mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah aliran Melayu dan Inggeris, dan membuat laporan bertulis. Laporan tersebut antara lain merumuskan, bahawa pelajaran agama di  Brunei, yang diadakan secara menumpang-numpang di sekolah Melayu dan Inggeris, adalah tidak  mencukupi, kerana masa yang diperuntukkan untuk pelajaran ini cuma setengah jam sahaja seminggu. Tentu saja bersebab daripada laporan yang berterus terang ini, maka pada bulan September 1956, atas perkenan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, maka penubuhan tujuh buah sekolah agama di Brunei pun diperkenankan.

Bertolak dari era penubuhan sekolah-sekolah agama di Brunei inilah, hubungan Allahyarham dengan  Brunei mulai terjalin dan semakin rapat. Ditambah lagi kemudiannya dengan kedatangannya untuk kali  keduanya pada tahun 1962, selaku pegawai pinjaman daripada Kerajaan Negeri Johor kepada Kerajaan Brunei Darussalam. Kedatangan pada kali ini ialah untuk menjawat jawatan  Mufti Kerajaan pertama yang julung-julung kali pernah dilantik bagi Brunei Darussalam.

Bermula dari  sinilah, tambah Yang Berhormat, Brunei telah memahat sejarah barunya ‘memiliki  Mufti’.  Maka berlakulah apa yang patut berlaku atau berjalanlah apa yang patut berjalan, selaku sebuah negeri yang bermufti. Datanglah apa saja masalah atau kemusykilan, insyaaAllah, mufti  sudah ada untuk menjawabnya. Maka terang-benderanglah negeri, bandar dan desa dengan adanya mufti ini. Semua kegelapan yang berkaitan dengan hukum hakam agama tidak lagi berbangkit, kerana sudah ada mufti,  siapa yang  berperanan selaku pelita umat.

Dengan fatwa-fatwanya yang tegas bernas lagi menyedarkan, Allahyarham tidak syak lagi adalah tokoh  besar dan unggul yang memiliki keistimewaan-keistimewaan yang mampu dan dapat dikesan melalui  pelbagai segi, seperti peribadi, sifat amanah, ilmu yang luas, sikap teguh dan berani dan semangat berkobar-kobar. Allahyarham juga seorang ulama kreatif. Berdasarkan catatan dalam daftar fatwa yang ada di Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, dari tahun 1962 sehinggalah akhir hayatnya  pada tahun 1993, fatwa yang dihasilkan menjangkau sehingga 1,753 siri.

“Fatwa Allahyarham jarang yang ringkas tetapi lazimnya panjang-panjang. Cara Allahyarham,  memberitahu hukum halal atau haram atau makruh atau harus sahaja, tetapi lebih daripada itu disaluti dengan menghiasi fatwa-fatwa dengan nasihat. Umpamanya, apabila berfatwa mengenai makanan halal, Allahyarham tidak hanya menyebut daging babi itu haram, ayam yang tidak disembelih - bangkai, makanan yang mengandungi lemak atau gelatin dari haiwan yang tidak halal  -  najis, bahkan akan  menyulam fatwa-fatwanya dengan nasihat-nasihat yang mampu menyuntik  jiwa, seperti makanan yang halal itu boleh memberi kesan kepada kesihatan, akhlak, minda, malah menjamin ketajaman doa selaku senjata, ya  doa orang  yang makan halal adalah makbul  atau  mustajab, dan sekali gus mampu untuk menyelamatkan jasad kita orang-orang Islam daripada dimakan oleh api neraka,” tegas Yang Berhormat lagi.

Satu dari ciri keunggulan Allahyarham yang sangat ketara ialah tidak pernah ragu-ragu malah tidak pernah takut-takut untuk menyampaikan nasihat kepada sesiapa saja, nasihat semata-mata kerana Allah, demi untuk menegakkan hukum syarak, apa yang penting baginya hukum Allah adalah tegak dan nasihat sampai, kerana nasihat itu adalah hak Allah, hak Rasul-Nya dan hak sekalian umat Islam.

Yang  Berhormat juga menyatakan penghargaan menjunjung kasih ke hadapan majlis Raja Johor Darul Takzim yang telah bermurah hati meminjamkan tokoh ini kepada Brunei untuk menjadi Mufti  Pertamanya dengan berdoa, semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya ke atas roh Al-Marhum raja  berkenaan dan sekalian pancir  keturunan baginda. Adalah budi bicara dan inisiatif raja-raja Brunei  dan Johor dalam proses peminjaman ini, menjadi bukti, betapa raja-raja kita itu adalah raja-raja yang kuat beragama dan sekali gus menghargai ulama.

“Mereka telah bertindak bijak menjadikan ulama sebagai duta istimewa untuk merapatkan  lagi  hubungan di antara dua rumpun bangsa yang bersaudara.

Wawasan ini ternyata berjaya, apabila sehingga kini, Brunei Darussalam dan Johor Darul Takzim adalah  tetap akrab dan bahkan semakin akrab,” tegas Yang Berhormat.

Berangkat bagi merasmikan Seminar Tokoh Antarabangsa Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim dan seterusnya berkenan menyaksikan Pameran  Tokoh berkenaan yang memperlihatkan pelbagai aspek dengan menyelusuri kehidupan Allahyarham dari awal didikan yang telah diberi oleh keluarga pada zaman awal persekolahan hingga ke peringkat universiti dan khidmat bakti  semata-mata menegakkan syariat  Islam sehingga namanya dikenali sebagai ulama Nusantara.

Close