Mantan Menteri Pendidikan terima anugerah



Siaran Akhbar Kementerian Pendidikan


MANTAN Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar bergambar ramai bersama penerima-penerima lain bagi anugerah Anugerah Pengiktirafan sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan (SEAMEO 50th Anniversary Recognition Award) Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).


PATTAYA, BANGKOK, Khamis, 7 Mei. - Mantan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar telah menerima Anugerah Pengiktirafan sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan (SEAMEO 50th Anniversary Recognition Award) Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).  

Majlis penyampaian anugerah telah diadakan di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Ke-48 SEAMEO di Royal Cliff Hotel Group, Chonburi, Pattaya Thailand.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Thailand, Yang Berhormat Admiral Narong Pipatanasai.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz adalah antara enam penerima anugerah berkenaan.

PR ANUGERAH SEAMEO 3 070515MANTAN Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz
ketika menerima Anugerah Pengiktirafan (SEAMEO 50th Anniversary Recognition Award) dari Menteri Pendidikan Thailand,
Yang Berhormat Admiral Narong Pipatanasai.

Penerima-penerima lain bagi anugerah ini ialah Yang Berhormat Prof. Dr. Bambang Sudibyo dari Indonesia; Dato’ Dr. Ahamad bin Sipon dari Malaysia; Prof Dr. Erlinda Canlas Pefianco dari Republik Filipina; Prof Dr. Adul Wichiencharoen, Penasihat Undang-Undang SEAMEO (1987 hingga sekarang) dan Mr. Tran Ba Viet Dzung dari Viet Nam.

Penghormatan anugerah tersebut adalah bagi mengenang jasa-jasa, sumbangan profesional dan kepimpinan Yang Berhormat  dalam perkembangan bidang pendidikan, sains dan budaya di Negara Brunei Darussalam dan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

PR ANUGERAH SEAMEO 2 070515MANTAN Menteri Pendidikan bersama Anugerah Pengiktirafan (SEAMEO 50th Anniversary Recognition Award) yang diterima.

Anugerah berkenaan juga adalah bagi mengiktiraf sumbangan jasa Yang Berhormat kepada perkembangan dan kemajuan pusat serantau SEAMEO.

Yang Berhormat pernah menjawat sebagai Presiden Pertubuhan SEAMEO dan Pengerusi Majlis Persidangan SEAMEO sebanyak empat kali, iaitu pada tahun 1986 hingga 1987; 1992 hingga 1993; 1989 hingga 1999 serta 2004 hingga 2005.

Selain itu, Yang Berhormat turut menyumbang kepada pelbagai perkembangan dan kerjasama pendidikan serantau ketika menjadi ahli Majlis SEAMEO dari tahun 1984 hingga 1986; 1988 hingga 1992; 1994 hingga 1998 serta 2000 hingga 2004.

Yang Berhormat juga pernah memegang beberapa jawatan-jawatan penting dalam  Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, termasuk sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Brunei pada 1974 hingga 1981; Pemangku Menteri Besar Negeri Brunei pada 1 September hingga 31 Disember 1983; Menteri Pendidikan dan Kesihatan dari 1 Januari 1984 hingga 1986; Menteri Perhubungan dari tahun 1986 hingga 1987 serta Menteri Pendidikan dari 30 November 1988 hingga 24 Mei 2005.

Pada masa ini, Yang Berhormat adalah Ahli Majlis Mesyuarat Diraja Brunei; Majlis Ugama Islam Brunei; Majlis Adat Istiadat Brunei; Majlis Mesyuarat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; 'Board of Trustee of Oxford Centre United Kingdom' dan Ahli Rabitah Al-Alam Saudi Arabia.

Close