Pendaki negara berjaya tawan Everest Base Camp



Oleh : Saerah Haji Abd Ghani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mac. - Tiga pendaki Negara Brunei Darussalam yang melakukan pendakian ke Everest Base Camp (EBC) selamat kembali ke tanah air petang tadi.

Mereka terdiri daripada Pengiran Nor Ikhsan binti Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh, Pengiran Khasiem bin Pengiran Hassan dan Awang Jasmein bin Haji Mohd. Said.

Sejurus ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, doa selamat dibacakan oleh Guru Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Haji Md. Emmarul bin Haji Azamain.

Pengiran Nor Ikhsan ketika ditemui oleh Pelita Brunei mengongsikan pelbagai kenangan pahit dan manis serta cabaran yang dilalui sepanjang perjalanan mereka menuju ke EBC.

Beliau yang berusia awal 50 tahun itu menjelaskan, perjalanan mereka bermula di Lukla yang mengambil masa enam ke tujuh jam secara berterusan di mana mereka tiba di Lukla pada 16 Februari dan untuk sampai ke EBC memakan masa lapan hari.

Jelasnya, antara cabaran yang sangat sukar dilalui adalah keadaan cuaca di sana, di mana ketika mula mendaki cuaca masih musim sajuk sehingga sampai di EBC dengan catatan -17 darjah Celsius.

“Anginnya sangat sejuk dan bermacam-macam yang telah dipelajari dan antaranya adalah kerjasama satu kumpulan serta yang paling utama adalah sentiasa berselawat dan mengingati Allah Subhanahu Wata’ala di sepanjang perjalanan serta sentiasa mengingatkan ahli keluarga untuk mendoakan kejayaannya,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun dua ahli kumpulannya ditimpa sakit ringan dan tidak dapat meneruskan perjalanan mereka hingga ke atas dan menjadikan beliau sahaja yang harus meneruskan perjalanannya, namun atas motivasi daripada dua ahli kumpulannya itu, meningkatkan lagi semangatnya untuk meneruskan sehingga beliau menjejakkan kaki di EBC setinggi 5363 meter.

Katanya lagi, ia merupakan kenangan yang menyedihkan tapi dalam masa yang sama juga membanggakan dan terharu sehingga membuatkan beliau menangis setelah mengakui bahawa beliau merupakan salah seorang wanita Negara Brunei Darussalam yang berjaya menjejakkan kaki di EBC.

“Ini sebagai bukti bahawa wanita Negara Brunei Darussalam itu boleh dan saya merasa bangga menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam yang berjaya menjejakkan kaki ke EBC pada 23 Februari, iaitu Hari Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33,” ujarnya lagi.

Beliau berasa bangga kerana pencapaian ini merupakan satu hadiah buat Negara Brunei Darussalam dengan membuktikan kepada yang lain tanpa mengira jantina serta umur dan ianya memerlukan mental yang kuat.

Antara latihan yang dilakukan sebelum ini, beliau telah mendaki empat gunung selama tiga hari dua malam di Indonesia, dimana latihannya bermula pada bulan April 2015 dan sehingga ke hari ini, beliau sudah mendaki sebanyak 18 gunung.

Pengiran Nor Ikhsan juga mengongsikan rancangan akan datang di mana mereka bertiga bersama pasukan antarabangsa yang lain berhasrat untuk pergi ke Patagonia, Argentina, Peru pada tahun hadapan yang mungkin memakan masa lebih kurang dalam 12 hari.

Beliau seterusnya menasihatkan kepada para pelari, pendaki dan yang lain-lain untuk tidak mengambil mudah akan kesihatan mereka pada masa ini dan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan yang penuh sebelum melakukan sesuatu aktiviti yang berat agar dapat menjamin kesihatan dan kemampuan kita dan InsyaAllah dengan latihan yang betul juga, semuanya akan berjalan dengan lancar.

Close