DPMM berkenan menerima mengadap



Oleh : Aimi Sani / Foto : Masri Osman


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi berkenan menerima mengadap Duta-Duta Besar Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Haji Sulaini bin Haji Said dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Puan Yang Terutama Kamilah binti Haji Mohd. Hanifah.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Haji Sulaini bin Haji Said sebelum ini menjawat jawatan sebagai Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam ke Jeddah.

Manakala, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Puan Yang Terutama Kamilah binti Haji Mohd. Hanifah pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di Jabatan Kerjasama Ekonomi, 
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Duta-Duta Besar Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik itu telah menerima Surat Watikah Pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saiffuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Februari 2017.

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Close