SMS Brunei Prihatin bagi DANA dilancar



Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali


MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA melancarkan 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) 2015-2016.


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Jumlah anak yatim yang berdaftar dengan DANA telah bertambah dari setahun ke setahun, pada 10 tahun yang lalu iaitu dalam tahun 2004, jumlah anak yatim yang berdaftar ialah seramai 1,756 dan jumlah terkini yang berdaftar dengan DANA sehingga penghujung bulan Oktober 2015 ialah seramai 4,044.

Dengan peningkatan jumlah sebanyak 130 peratus sejak tahun 2004 yang lalu, setentunya akan memerlukan kumpulan dana yang stabil dan perancangan yang bersesuaian dalam usaha bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Haji Brahim bin Haji Ismail menyatakan perkara itu dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2015-2016 yang berlangsung di Kompleks YSHHB, di sini.

251115 MASMALEH-1 DANA

KETUA Pegawai Eksekutif DANA YAYASAN, Awang Haji Brahim bin Haji Ismail semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Awang Haji Brahim berharap, dengan adanya projek seperti 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA ini akan memudahkan para penyumbang dan dermawan untuk menghulurkan sumbangan mereka demi membantu anak-anak yatim untuk mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan yang sempurna bagi menjadikan mereka warganegara yang berguna di kemudian hari.

Di samping itu, beliau juga menjelaskan, jumlah sumbangan melalui projek 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA pada tahun 2014-2015 yang telah dikutip adalah sebanyak BND79,629.

Dalam majlis tersebut hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Penyampaian Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2015-2016 dalam bentuk cakera padat (DVD) daripada pihak Syarikat Magic Media yang telah menaja pembikinan promo 'SMS' tersebut disampaikan oleh Pengurus syarikat berkenaan, Pengiran Farhana binti Pengiran Haji Bujang kepada tetamu kehormat majlis.

Promo 'SMS' tersebut akan ditayangkan di Radio dan Televisyen Brunei termasuk di beberapa buah pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex dan Times Cineplex.

251115 MASMALEH-2 DANA

PENYAMPAIAN cakera padat promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2015-2016 daripada pihak Syarikat Magic Media disampaikan oleh Pengurus syarikat berkenaan, Pengiran Farhana binti Pengiran Haji Bujang kepada tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim 2015-2016.

Tujuan utama bagi mengadakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA ini adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat terhadap golongan yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan bantuan khususnya anak-anak yatim.

Di samping itu, projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini akan berjalan selama dua bulan (67 hari) iaitu bermula hari ini 25 November 2015 hingga 31 Januari 2016.

Bagi menjayakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sendirian Berhad.

251115 MASMALEH-5 DANA

PENYAMPAIAN poster 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA 2015-2016 dari Kumpulan DST yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, 

Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof kepada tetamu kehormat.

Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada BND1 atau BND5 atau BDN10 atau BND15 atau BND20.

Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

Bagi pengguna talian DST dan juga pengguna talian Progresif Cellular yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan dan diikuti dengan jumlah sumbangan (1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111, misalnya : DANA5 (bagi sumbangan BND5).

Majlis diikuti dengan tayangan Promo 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2015-2016 dan diteruskan lagi dengan sumbangan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA 2015-2016 yang didahului oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

251115 MASMALEH-6 DANA

TETAMU kehormat menyampaikan kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim kepada Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah.

251115 MASMALEH-7 DANA

TETAMU kehormat menyampaikan kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

Kemudiannya majlis diteruskan dengan penyampaian poster 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA 2015-2016 dari Kumpulan DST yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof kepada tetamu kehormat.

Sementara itu, sebanyak 3,981 keping kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi tahun 2016 akan disampaikan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA di seluruh negara melalui ketua-ketua kampung.

Setiap seorang anak yatim DANA akan menerima sumbangan berbentuk kupon yang bernilai BND70.

Semasa majlis itu, tetamu kehormat menyempurnakan penyerahan kupon-kupon tersebut kepada Pegawai-Pegawai Daerah iaitu Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam; Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abdul Manap, selaku wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara; dan Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Asdi Khalid bin Zainal.

251115 MASMALEH-8 DANA

TETAMU kehormat menyampaikan kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim kepada Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abdul Manap, selaku wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

251115 MASMALEH-9 DANA

TETAMU kehormat menyampaikan kupon bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak yatim kepada Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Asdi Khalid bin Zainal.

Kupon-kupon tersebut sah ditukarkan/digunakan di kedai-kedai yang telah dikenal pasti oleh DANA iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak (bagi anak yatim yang belum bersekolah).

Sebanyak 31 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah bagi memberikan kemudahan kepada anak-anak yatim dan penjaga mereka untuk menukarkan kupon berkenaan dengan peralatan persekolahan yang mereka perlukan.

Sumbangan ini dihasratkan akan memberi galakan dan kesedaran dalam kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka.

251115 MASMALEH-10 DANA

PENYAMPAIAN cenderamata kepada tetamu kehormat.

Bagi penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya apabila menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka.

Bantuan seperti ini diharapkan akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Dengan terlaksananya projek ini, inysaaAllah, akan dapat memberikan kemudahan kepada setiap individu untuk menyalurkan sumbangan derma mereka hanya dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Juga hadir ialah pegawai-pegawai kanan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Penerangan, pegawai-pegawai kanan YSHHB, pegawai-pegawai DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd.

Close