Pegawai polis digesa untuk keluar dari zon selesa



Oleh : Khartini Hamir, Mahirah Haji Mohd. Raduan / Foto : Hamzah Mohidin


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Mac. - Mesyuarat Dua Hala Ke-12 di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Pasukan Polis Singapura mesti maju ke peringkat seterusnya dan menggesa pegawai polis untuk keluar dari zon selesa mereka dan memberi tumpuan kepada mengenal pasti bukan sahaja trend jenayah semasa tetapi juga sebarang ancaman baharu serta merangka pelan dan strategi sewajarnya antara kedua-dua pasukan polis.

Pesuruhjaya PDB, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al- Islam menekankan perkara itu pada Mesyuarat Dua Hala yang diadakan di Bilik Persidangan, Bangunan Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong.

Dalam pertemuan itu juga turut membincangkan isu-isu strategik kepada pembangunan untuk kedua-dua buah pasukan dengan penekanan untuk mengenal pasti dan merapatkan jurang dengan kepakaran dari kedua-dua pasukan polis melalui pertukaran, pembangunan kapasiti dan perkongsian maklumat.

Mesyuarat Dua Hala antara lain mewakili forum penting untuk memperkenalkan dan memupuk pegawai-pegawai muda yang akan menjadi pemimpin masa depan.

Selain itu, ia juga merupakan satu platform untuk kedua-dua pasukan polis untuk meningkatkan kerjasama dan memupuk hubungan kerjasama yang rapat, bagi membolehkan kedua-dua pasukan untuk berkembang maju dalam mengharungi cabaran baharu.

Mesyuarat Dua Hala dimulakan dengan ucapan aluan-aluan oleh Pesuruhjaya PDB, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy dan Pesuruhjaya Polis Republik Singapura, Dato Paduka Seri Hoong Wee Teck.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Penolong Pesuruhjaya Polis, Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali juga selaku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan PDB dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Loy Chye Meng juga selaku Command Training Komandan, Pasukan Polis Singapura yang juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai ‘ranking’ kanan dari kedua-dua buah pasukan polis.
Close