Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 26 Februari ini



Oleh : Khartini Hamir, Nurafilabibah Mohd. Shafiee / Foto : Azmah Haji Ahad


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Februari. - Riadah Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 yang akan diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 Tahun bertujuan ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pengujudan warga sihat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bercemar duli menyertai Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada hari Ahad, 26 Februari 2017.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Pengerusi Majlis pada Sidang Media Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS, di sini.

Riadah Berbasikal Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 jelasnya lagi, merupakan acara yang dianjurkan oleh KKBS bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kesihatan dan keterlibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, selain sebagai nilai tambah kepada program Bandarku Ceria yang diadakan pada setiap hari Ahad sejak Oktober tahun lalu.

Tambahnya lagi, riadah tersebut akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 16 kilometer dan akan melintasi beberapa jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Pusing Keliling Jalan Utama Berakas / Muara, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. 

Ke arah itu, KKBS mengajak orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara berkenaan yang akan bermula pada pukul 7.00 pagi dan penyertaan adalah percuma bagi semua peringkat umur, namun orang ramai adalah dinasihatkan untuk datang lebih awal bagi kelancaran pelepasan kayuhan.

“Di acara itu nanti terdapat beberapa persembahan menarik antaranya persembahan basikal lama (basikal klasik) dan kemahiran berbasikal (flexi) yang akan ditunjukan pada hari tersebut itu nanti,” jelas Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy.

Menurut beliau lagi, KKBS dalam pada itu akan terus-menerus mengusahakan projek-projek sukan untuk masyarakat dan kali ini ujarnya, KKBS akan melihat respons orang ramai terutama memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal untuk dibudayakan sekali gus menghidupkan sukan berbasikal di negara ini dan menambahkan keceriaan ibu kota pada hujung minggu.

Hadir sama di sidang media itu tadi ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed serta beberapa wakil dari agensi yang berkenaan, iaitu Ketua Penguatkuasa dan Operasi Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), DSP Mohd. Fathdillah bin Haji Hamid; Paramedik, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Zul Azmi bin Haji Abd. Manan dan Awang Omarali bin Haji Ibrahim wakil dari Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

Close