DYTM Presiden BNDOC berkenan berangkat



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 4 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Pin Penyertaan Sukan Olimpik, Rio de Janeiro, Brazil 2016 di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang dan diikuti dengan Penyampaian Pin Olimpik kepada Atlet Sukan Olahraga, iaitu Awang Mohd. Fakhri bin Ismail serta Dayang Maizurah binti Abdul Rahim juga Atlet Sukan Badminton dan Jaspar Yu Woon Chai.

Acara diakhiri dengan bergambar ramai bersama Presiden BDNOC.

Setiap negara mengiktiraf pin penyertaan Sukan Olimpik sebagai peringatan pada penyertaan atlet ke Sukan Olimpik dan sebagai seorang 'Olympian', mereka menjadi pusat gerakan Olimpik (Olympic movement) di Negara Brunei Darussalam.

Sukan Olimpik Rio 2016 adalah titik mula perjuangan mereka ke acara sukan bertaraf dunia, yang mana penyertaan mereka di dalam sukan tersebut adalah sesuatu pengalaman unik yang hanya dapat dirasai sebenar-benarnya oleh mereka yang pernah bersaing di persekitaran Sukan Olimpik.

Sebagai seorang role model, mereka diseru untuk menjadikan pengalaman semasa di Sukan Olimpik untuk sentiasa membakar / menyala semangat Olimpik di dalam diri dan menegakkan nilai-nilai Olimpik (Kecemerlangan - Excellence, Hormat-Menghormati - Respect dan Persahabatan - Friendship) untuk menjadi duta Olympism - sebagaimana falsafah kepada pengasas Sukan Olimpik moden, Pierre de Coubertin, iaitu menjadikan sukan sebagai satu budaya hidup yang positif.

Sukan Olimpik London 2012 menyaksikan pin penyertaan Sukan Olimpik diberikan kepada atlet semasa acara sukan itu berlangsung.

Kali ini, pin penyertaan Sukan Olimpik telah dihantar oleh International Olympic Committee (IOC) ke Majlis Olimpik Kebangsaan di setiap negara termasuklah Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam.

Adalah menjadi hasrat IOC bagi Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk mengadakan satu majlis yang sederhana bagi penyerahan pin penyertaan kepada Atlet-atlet Sukan Olimpik Rio 2016.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd. Noor Jusmin Haji Abdul Samad serta Ahli-ahli Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet, 
Ahli-ahli Persatuan Sukan Kebangsaan, para ibu-bapa serta ahli keluarga para atlet.

Pada majlis itu, Pelita Brunei sempat menemui ketiga-tiga atlet berkenaan, iaitu Awang Mohd. Fakhri bin Ismail yang melahirkan rasa gembira kerana diberi penghargaan.

Menurut beliau, antara pengalaman manis yang diperoleh sepanjang berada di Rio de Janeiro, Brazil ialah berjumpa dengan atlet-atlet terkenal dan bertaraf dunia, di samping mengharumkan nama negara kerana terpilih menyertai 
sukan olimpik.

Sementara itu, Dayang Maizurah binti Abdul Rahim berasa bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik yang diadakan pada tahun lalu.

"Saranan saya kepada belia-belia di luar sana agar tidak pernah berputus asa dan terus berjuang. Untuk menjadi seorang atlet yang baik dan berdisiplin, tidur juga latihan mestilah cukup serta terus berjuang tanpa pernah ada rasa mengalah," jelasnya.

Seorang lagi atlet negara, Jaspar Yu Woon Chai turut berasa berbesar hati kerana diberi penghargaan yang baginya sungguh bernilai.

"Apa yang saya usahakan selama ini ternyata tidak sia-sia. Sepanjang berada di Rio de Janeiro, Brazil, rasa tertekan memang ada memandangkan Sukan Olimpik adalah sukan yang berprestij, tetapi saya tahu saya sudah melakukan yang terbaik dan termampu," katanya.

Perancangan ketiga-tiga atlet ini di masa hadapan adalah untuk terus berlatih dan memberikan lebih fokus untuk menyertai sukan-sukan yang akan datang.

Close