Festival Perkahwinan Brunei promosi industri perkahwinan



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Februari. - Lebih 50 pempamer dalam dan luar negara menyertai Festival Perkahwinan Brunei (BWF) 2017 yang membuka tirainya di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, bermula hari ini hingga 5 Februari nanti.

Festival yang diadakan buat kali ke-7 itu telah dilancarkan oleh tetamu kehormat, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah binti Pengiran Maharaja Lela Sahibul Kahar Pengiran Anak Haji Mohammad Yusof bersama wakil-wakil penaja dengan memotong kek pelancaran.

Terdahulu, pengerusi acara, Liz binti Ali dalam ucapan alu-aluannya melahirkan penghargaan kepada para peserta tempatan dan luar negara yang menyertai festival serta para penaja yang menyokong menjayakan acara tersebut.

Antara tarikan festival yang dianjurkan oleh Songket Wedding yang bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam itu ialah Pertandingan Menggubah Sirih Junjung dan Pertandingan Menambat Dastar yang dianjurkan oleh HYS Tindulang.

Selain itu, cabutan undian bertuah turut diadakan, di mana para pemenang yang bernasib baik akan membawa pulang hadiah berupa sepasang pakaian pengantin bernilai BND10,000 yang ditaja oleh pereka terkenal dari Malaysia, Wanpa.

Festival Perkahwinan itu bukan saja dibukakan untuk mereka yang hendak melangsungkan perkahwinan, tetapi juga kepada semua pengunjung yang berhasrat ingin mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan.

Sehubungan itu, Pelita Brunei telah menemu bual Awang Mohd. Qusyairi bin Zainuddin, jurufoto dari Wedding Structure yang menyediakan pakej-pakej fotografi dan videografi perkahwinan dengan harga yang berpatutan.

''Wedding Structure telah memulakan perniagaannya hampir empat tahun dan dimiliki oleh Awang Rezza bin Nasaruddin. Kami menyediakan perkhidmatan seperti fotografi dan videografi khusus untuk mereka yang bakal melangsungkan hari perkahwinan. Kami juga berkhidmat untuk majlis-majlis lain seperti Mandi Berlawat dan acara-acara korporat,'' jelasnya.

Sementara itu, Awang Hasrin bin Haji Matawi, pemilik Reyn HM Bridal Collection menyatakan ini bukanlah kali pertama beliau menyertai festival tersebut, yang mana festival seumpamanya dapat membantu mempromosikan perniagaannya dengan baik sekali.

''Syarikat saya telah beroperasi selama enam tahun dan alhamdullilah di sepanjang tempoh tersebut perniagaan saya berjalan dengan lancar dan maklum balas daripada para pelanggan juga semuanya positif. Baju pengantin direka khas dan dijahit oleh saya sendiri dengan bantuan para pekerja yang lain,'' jelasnya.

Bagi Awang Sazali bin Ariff, pemilik Moments, iaitu syarikat fotografi menyatakan, ''Pakej kami kali ini agak unik dan hanya boleh didapati semasa festival ini diadakan, iaitu pakej berbulan madu menunaikan Umrah ke Mekah lengkap dengan perkhidmatan sesi fotografi di sepanjang destinasi bulan madu tersebut.''

Menurutnya, Moments juga menawarkan pakej-pakej lain seperti pakej berbulan madu dan sesi fotografi seperti ke Paris dan Istanbul dengan harga yang berpatutan istimewa untuk pengantin baharu.

Ini adalah merupakan kali ke-7 syarikat berkenaan menyertai BFW dan sambutan daripada orang ramai dari tahun ke tahun semakin menggalakkan.

Pameran Perkahwinan itu terus menjadi platform bagi peniaga-peniaga tempatan untuk mempromosikan dan mengembangkan lagi industri perkahwinan di Brunei.

Close