Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohamad Noor / Morshidi, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUNGKU LINK, Sabtu, 3 Februari. - Antara ulama terawal, Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya 'Thibb an-Nabawi' telah menyenaraikan tumbuh-tumbuhan dalam Al-Quran sambil menyebutkan khasiat dan kegunaannya di samping membawakan hadis-hadis yang berkaitan.
Tumbuhan yang disebut oleh Al-Quran dan dibincangkan oleh ulama ialah jenis-jenis kurma seperti 'balah', 'busr', 'ruthab', ''ajwah' dan 'tamar'.
Jenis-jenis anggur termasuk 'zabib' (kismis atau anggur kering), 'bashal' (bawang merah), 'tin', 'raihan' (selasih), 'zaitun', 'rumman' (delima), 'zanjabil' (halia) dan lain-lain.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika menyampaikan Kertas Perdana di Simposium 'Ethnobotany in the Quran and Hadith - An Exploration' anjuran Fakulti Sains dengan kerjasama Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien dan Institute of Biodiversiti and Environmental Research, Universiti Brunei Darussalam (UBD) bertempat di Dewan Canselor UBD.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, para ulama dan sarjana terus memperluas kajian masing-masing dengan lebih pelbagai, sehingga mencakup semua tumbuhan dalam Al-Quran, termasuk pokok-pokok dan sayur-sayuran serta tumbuhan di syurga dan tumbuhan di neraka.
''Mereka telah berjaya menyenaraikan sekian banyak tumbuhan dan bahkan berusaha untuk memberikan nama saintifik bagi tiap-tiap tumbuhan tersebut. Namun, ini bukan bermakna kajian sudah boleh dianggap berakhir,'' jelasnya.
Menurutnya, tumbuhan mempunyai jumlah yang tidak terbatas. Al-Quran cuma menyebut beberapa nama tumbuhan secara khusus. Dan selain itu menyebutnya secara umum melalui perkataan-perkataan seperti 'syajara' atau 'asy-syajara' atau 'asy-syajarat' (pokok) dan 'nabata' atau 'anbatat' atau 'anbatna' (tumbuh).
Kedua-dua perkataan itu katanya, adalah mewakili segala macam pokok dan tumbuhan itu.
Menyentuh mengenai tumbuhan hijau pula, Yang Berhormat menjelaskan, ia adalah kunci kesihatan sebenar, dan hasil kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal 'Neurology' mendapati bahawa, mereka yang biasa memakan setengah mangkuk atau makan sayuran hijau pada setiap hari, mempunyai daya ingatan yang kuat, sama dengan orang-orang yang jauh lebih muda, berbanding dengan mereka yang tidak atau hampir tidak memakannya.
''Demikian kepentingan kajian. Kalau tidak ada kajian, kita hanya makan tanpa mengetahui khasiatnya,'' tegas Yang Berhormat menekankan pentingnya membuat kajian ke atas tumbuhan-tumbuhan yang berkhasiat.