Brunei Maju perlu kerjasama erat semua



Oleh : Hajah Siti Muslihat Haji Salleh, Bolhassan Haji Abu Bakar \ Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Dari tahun ke tahun, kita adalah semakin hampir kepada tempoh sasaran bagi Wawasan 2035.

 

Tempoh itu semakin ia menghampiri kita, maka semakin besarlah tanggungjawab untuk kita mempastikan bahawa, langkah kita tidaklah ke mana-mana, melainkan hanya terarah kepada sasaran sahaja, sehingga tercapainya matlamat "Brunei Maju".

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dalam mendukung "Brunei Maju", negara memerlukan kerjasama erat di antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat seumumnya.

 

Demikian antara petikan Titah Perutusan Kebawah DYMM Sempena Awal Tahun Baharu Masihi 2018.

 

Baginda seterusnya bertitah, dengan kerjasama itulah akan menjadikan iklim perniagaan dan perusahaan bertambah mudah dan sekali gus akan menjadikan negara juga lebih menarik di mata pelabur-pelabur asing.

 

"Jika suasana begini mampu dikekalkan, maka itulah satu kelebihan bagi Brunei, di mana Brunei perlu memilikinya.

 

Di bidang pendidikan, negara adalah berhak untuk berbangga dengan kejayaan Universiti Teknologi Brunei meraih 4 bintang pada penilaian keseluruhan QS, dan juga dengan beroperasinya Pusat Kepimpinan dan pembelajaran Sepanjang hayat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali," titah Baginda.

 

Di tambah lagi dengan pembukaan Pusat Global UBD-FPT di Republik Sosialis Viet Nam baru-baru ini, Kebawah DYMM percaya ini semua adalah bukti kecemerlangan jua.

 

Di bidang sosio-ekonomi, titah baginda, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana, untuk melangkah lebih jauh, sehingga ke pasaran antarabangsa. Ini termasuk penubuhan Bank Usahawan yang akan memulakan operasinya pada awal tahun 2018.

 

Sempena Tahun Baharu Masihi 2018, Kebawah DYMM juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, serta pasukan-pasukan keselamatan, di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2017.

 

Sebelum mengakhiri titah, Kebawah DYMM bersama keluarga turut merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Masihi 2018 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara dan berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua.



Close