Pindaan Akta, Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya berkuat kuasa 1 Januari 2018



Oleh : Hajah Siti Muslihat Haji Salleh, Bolhassan Haji Abu Bakar \ Foto : Sahrizal Haji Mohd. Said

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Pindaan ke atas Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa setiap insan itu mempunyai keupayaan dan kelebihan yang berbeza-beza.

 

"Maka dalam hal ini, demi kesejahteraan Orang-Orang Kelainan Upaya, beta telah memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya", titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Awal Tahun Baharu Masihi 2018.

 

Melalui pindaan itu, titah baginda, elaun kurang upaya juga akan dapat dihulurkan kepada mereka yang berumur di bawah 15 tahun yang layak pada kadar tertentu.

 

Baginda seterusnya bertitah, dengan pindaan itu diharapkan, kebajikan dan kesejahteraan penerima-penerima elaun tersebut akan lebih terjamin.

 

Terdahulu baginda bertitah, merafakkan syukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana kerajaan dapat melaksanakan sebahagian besar daripada rancangan-rancangan negara pada tahun lalu.

 

Kita juga bernasib baik telah menikmati detik gemilang Sambutan Jubli Emas baginda Menaiki Takhta.

 

"Dengan tulus ikhlas beta sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas dan semua acara di dalamnya," titah baginda.

 

Titah baginda, kemeriahan sambutan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk, termasuk para pengunjung daripada luar negara, adalah mencerminkan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

 

Perkara itu, jelas baginda, perlu dipertahankan supaya negara terus kekal dalam aman dan makmur untuk diwarisi oleh generasi demi generasi.



Close