Oleh : Hajah Siti Muslihat Haji Salleh, Bolhassan Haji Abu Bakar \ Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Disember. - Negara Brunei Darussalam akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyuarakan perkara tersebut dalam Titah Perutusan baginda sempena Menyambut Awal Tahun Baharu Masihi 2018.
Dalam hal itu, baginda merasa bangga atas inisiatif dan sambutan orang ramai yang telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya dan kepada mereka yang memerlukan.
Baru-baru ini, titah baginda, Brunei Darussalam adalah antara 57 buah negara anggota OIC telah menyuarakan sokongan penyelesaian bagi sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.
"Beta juga menegaskan dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul itu tentang pentingnya perpaduan umat Islam pada masa ini berbanding sebelumnya," titah baginda.
Pendirian kita, titah baginda, adalah tegas untuk melihat dunia ini dipenuhi dengan keadilan, tanpa siapapun merasa teraniaya oleh sebarang bentuk penindasan dan pencerohohan.